Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teknologi digital di Kampong Gelam disambut baik rakyat, pelancong

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan tiga cabaran - isu prasekolah, kencing manis dan pembentukan Negara Bijak dalam ucapan beliau pada Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan tiga cabaran - isu prasekolah, kencing manis dan pembentukan Negara Bijak dalam ucapan beliau pada Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu.

Apakah perkembangan dan kemajuan yang sudah dicapai?

BERITAmediacorp mengupas usaha menjadikan Kampong Gelam sebuah kawasan runcit pertama yang berdaya digital di Singapura.

PM Lee berkongsi wawasan Singapura untuk menggunakan teknologi maklumat (IT) sepenuhnya, dengan tujuan mencipta peluang dan pekerjaan bagi semua rakyat Singapura.

Itulah yang dicapai di bawah Inisiatif IT dan digital yang diperkenalkan kepada peniaga di Kampong Gelam. Ia membuka peluang bagi lebih banyak kerjasama dengan pelajar Politeknik Temasek untuk membangunkan aplikasi digital.

Manfaatnya juga amat ketara di kalangan 150 peniaga yang menyertai fasa pertama pendigitalan Kampong Gelam. Para pekerja di kafe Tash Tish Tosh, misalnya, menggunakan sistem tempahan digital yang langsung disampaikan kepada cef di dapur.

Pemilik restoran Tash Tish Tosh, Wahid Allapitchay, berkata: "Mereka tidak perlu berjalan lagi, menggunakan pen dan kertas untuk mengambil pesanan ataupun meninggikan suara untuk memberi pesanan."

Jumlah pelawat turut meningkat menerusi aplikasi Locomole, yang membolehkan pengunjung di Kampong Gelam menyusur lokasi kedai menggunakan realiti maya tambahan.

Ia juga menunjukkan potongan harga yang ditawarkan dalam masa nyata.

"Ini kali kedua saya mengunjungi Kampong Gelam. Pertama kali saya di sini, saya sesat. Dan aplikasi ini, amat berguna," kata Giulia Freni, seorang pelancong.

Seorang lagi pelancong dari Jerman, Andre Piechatzek, pula berkata: "Ia membantu saya ketika saya ingin membeli cenderamata dan jika saya mahu ke restoran."

Bukan sahaja pelancong, penggunaan aplikasi digital juga menerima sambutan baik rakyat tempatan.

"Saya rasa aplikasi Dining Butler ini amat bagus sebab ia dapat mengurangkan masa untuk kami membuat pesanan kerana pesanan boleh dibuat melalui telefon bila kami di rumah ataupun di mana-mana sahaja," kata Umar Sidiq Bamadhaj.

Penggunaan pembayaran elektronik GrabPay, khususnya amat dialu-alukan pembeli.

"Tempat ini memang susah untuk mendapatkan duit, tak ada, tak banyak ATM pun," kata Dini Haziqah yang sering mengunjungi Kampong Gelam.

"Kita tak perlu risau kalau kita tidak ada wang yang mencukupi," kata Wan Muhd Aliff, yang mengunjungi kawasan itu setiap bulan.

Setelah berbelanja, pengunjung juga boleh menggunakan khidmat penghantaran langsung melalui aplikasi logistik bimbit ditawarkan syarikat Riverwood Integrated Logistics Solutions.

"Banyak yang dapat diraih dari segi produktiviti dan maklumat bagi para pelanggan. Ini satu perubahan baik," kata Penasihat Khas bagi Projek Transformasi Digital Kampong Gelam, Dr Yaacob Ibrahim.

Mantan Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim dilantik penasihat khas bagi projek transformasi digital Kampong Gelam. Pelantikan itu, menurut Menteri MCI sekarang S Iswaran, menunjukkan pentingnya projek pendigitalan Kampong Gelam sebagai contoh apa yang ingin dilakukan secara digital di Singapura.

Fasa kedua pendigitalan Kampong Gelam dijadual diperkenalkan pada tahun depan termasuk inisiatif e-dagang, papan tanda digital dan wi-fi luar bangunan.

Inisiatif pendigitalan itu diusahakan oleh Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA), Enterprise Singapore (ESG), Persatuan One Kampong Gelam (OKG) dan DPPMS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan