Images
  • smrt amk depot
    Depot Ang Mo Kio SMRT. (Gambar: Google streetview)

Teknisyen SMRT maut; seorang lagi cedera terhempap bas sedang dibaiki

SINGAPURA: Seorang teknisyen SMRT meninggal dunia pada Ahad (6 Jun) setelah terhempap bas yang sedang dibaikinya.

Teknisyen itu dan seorang lagi pekerja cedera tatkala sedang membaiki sebuah bas mini di pusat pembaikan komersil Automotive Services di depot Ang Mo Kio pada pagi Ahad.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di 6 Ang Mo Kio Street 62 pada 9.45 pagi.

SCDF kemudian membawa dua orang ke Hospital Khoo Teck Puat. Seorang daripadanya cedera parah di kepala manakala seorang lagi mengadu sakit dada, kata seorang jurucakap.

"Kami berdukacita kerana salah seorang daripada mereka, seorang pegawai teknikal Automotive, meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital," kata Encik Venkatesan P V, Pengurus Besar SMRT Automotive Services pada Rabu (9 Ju).

"Kami sudahpun menyampaikan takziah mendalam kami kepada keluarga kakitangan itu dan sedang menghulurkan bantuan serta sokongan pada waktu amat sukar ini."

Beliau menambah syarikat itu sedang menyediakan jagaan dan sokongan kepada anggota kakitangan yang cedera. Beliau sudahpun dibenarkan keluar hospital dan kini sedang cuti sakit.

Satu arahan berhenti kerja dikeluarkan terhadap pusat pembaikan komersil Automotive Services di depot Ang Mo Kio manakala satu lagi bengkel automotif menjalankan tempoh rehat keselamatan.

"Kami sedang membantu MOM dan polis dengan siasatan mereka," ujar Encik Venkatesan.

Satu makluman dari Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) memaklumkan pada Rabu bahawa dua pekerja menaikkan sebuah bas menggunakan dua bicu kereta dan sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di bawah kenderaan itu apabila salah satu daripada bicu itu tiba-tiba terjatuh.

Majlis WSH menyatakan bicu-bicu kereta tidak seharusnya digunakan untuk mengangkat kenderaan berat seperti bas dan lori. Sebaliknya, peralatan bicu bagi kenderaan berat seharusnya digunakan.

Peralatan serta peletak kenderaan juga sepatutnya digunakan untuk menyediakan sokongan tambahan. Jika boleh, tambah Majlis WSH, sebuah pit penyenggaraan kenderaan mahupun tanjakan atau lif kenderaan yang dibina khas seharusnya digunakan.

Dalam satu lagi nahas di tempat kerja yang membawa maut pada Khamis lalu, sebuah pemuat roda digunakan untuk memindahkan kelikir dan pasir terlanggar seorang pekerja ketika ia sedang mundur.

Sebuah kamera pandang belakang dipasang pada pemuat roda itu tetapi suar amaran dan penggera mundurnya tidak berfungsi, menurut Majlis WSH lagi.

Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung kemalangan-kemalangan itu.  

- CNA/FZ/fz

Top