Images
  • abuse
    Gambar Hiasan. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Tekanan keluarga meningkat semasa tempoh pemutus jangkitan; pasukan petugas khas bantu cegah keganasan

SINGAPURA: Para individu dan keluarga mungkin mengalami tekanan lebih tinggi sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang kini dilanjutkan sehingga 1 Jun.

Bagi sesetengah kes, ia mungkin menyebabkan berlakunya keganasan, menurut Pasukan Petugas Keganasan Keluarga semasa mesyuarat pertama yang diadakan menerusi persidangan video pada Khamis (23 Apr).

Ia dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling dan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menurut kenyataan MSF pada Khamis.

Menurut MSF, khidmat perlindungan dewasa dan kanak-kanak agensi itu menyaksikan peningkatan sebanyak 14 peratus pada jumlah panggilan meminta bantuan dalam tempoh dua minggu pertama pemutus jangkitan (bermula 6 Apr) berbanding tempoh dua minggu sebelum ia dikuatkuasakan.

Menyentuh tentang hal itu, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menulis dalam catatan Facebooknya pada Khamis bahawa pasukan petugas berkenaan akan terus membantu keluarga sedemikian menangani tekanan yang dialami supaya ia tidak bertukar ganas.

"Kami akur bahawa para individu dan keluarga mungkin mengalami tekanan lebih tinggi semasa tempoh pemutus jangkitan ini. Kami akan terus secara bersama membantu keluarga menangani tekanan, supaya konflik keluarga tidak bertukar menjadi ganas," menurut Dr Faishal.

Semasa pertemuan tersebut, pasukan petugas itu juga berbincang secara menyeluruh mengenai bagaimana mereka dapat menangani keganasan keluarga secara kolektif.

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pasukan petugas itu akan mengkaji cabaran yang dihadapi oleh pelbagai kumpulan yang mengalami keganasan.

Ia juga akan mengenal pasti cara-cara bagaimana Pemerintah dapat bekerja rapat dengan rakan-rakan masyarakat dalam memperkasakan mangsa supaya lingkaran keganasan itu dapat dibanteras dan ditangani dengan sewajarnya.

Ia dilakukan menerusi pelbagai cara iaitu:

1. Mengadakan siri rundingan bersama Agensi Khidmat Sosial (SSA) dan Pertubuhan Bukan Pemerintah (NGO) yang berpengalaman dalam bidang keganasan keluarga untuk memberikan kemas kini dan mendalami pemahaman mereka dalam landskap keganasan keluarga

2. Mengenal pasti bidang utama yang boleh diperbaiki dan membangunkan inisiatif bagi menyokong keluarga mangsa dengan lebih berkesan

Para individu yang mengalami keganasan keluarga perlu segera mendapatkan bantuan dengan menghubungi talian yang dikendalikan oleh MSF atau rakan-rakan kongsinya, gesa pasukan petugas tersebut.

"Keganasan keluarga merupakan isu yang rumit - kami memerlukan usaha seluruh masyarakat untuk menangani keganasan keluarga dan memutuskan lingkaran penderaan," kata Dr Faishal sebelum mengakhiri catatan Facebooknya.

Pasukan Petugas Keganasan Keluarga itu mempunyai seramai 21 anggota yang terdiri daripada agensi Pemerintah, pihak mahkamah dan rakan kongsi masyarakat seperti hospital, pusat pakar keganasan keluarga, tempat perlindungan krisis dan pusat khidmat keluarga.

- BERITAmediacorp/ha

Top