Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tegur tingkah laku perkauman tapi jangan cepat bersangka buruk, nasihat Lawrence Wong

Menegur sikap perkauman dan berpendirian tegas terhadap tingkah laku sedemikian adalah penting. Namun apabila melakukan demikian, warga Singapura tidak harus tergesa-gesa bersangka buruk terhadap orang lain, nasihat Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (25 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Tegur tingkah laku perkauman tapi jangan cepat bersangka buruk, nasihat Lawrence Wong

Encik Lawrence Wong (kiri) semasa perbincangan panel anjuran IPS dan RSIS pada 25 Jun 2021 (Gambar: IPS)

Diterbitkan : 25 Jun 2021 11:18PM Dikemas Kini : 25 Jun 2021 11:22PM

SINGAPURA: Menegur sikap perkauman dan berpendirian tegas terhadap tingkah laku sedemikian adalah penting.

Namun apabila melakukan demikian, warga Singapura tidak harus tergesa-gesa bersangka buruk terhadap orang lain, nasihat Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (25 Jun).

“Jika sesuatu tingkah laku itu bersifat diskriminasi dan menyakitkan, kita mesti mengambil pendirian yang tegas, itu tidak dapat dinafikan lagi. Namun mungkin juga berlaku tingkah laku yang tidak disengajakan dan tidak jelas," kata Encik Wong.

Beliau berkata demikian semasa perbincangan panel mengenai kaum dan perkauman yang dianjurkan Institut Pengajian Dasar dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), ketika beliau ditanya oleh moderator panel Shashi Jayakumar sama ada menegur tingkah laku berbaur perkauman boleh menjadi "pedang bermata dua", memandangkan ia boleh menyinggung perasaan.

Dr Shashi adalah ketua Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Nasional RSIS.

Menekankan mesej yang disampaikan dalam ucaptamanya bahawa orang ramai tidak seharusnya bertanggapan buruk terhadap setiap kejadian yang dianggap menyinggung perasaan atau tidak sensitif, Encik Wong berkata langkah mengambil pendirian sedemikian ketika menegur tingkah laku berbaur perkauman akan menyebabkan salah faham dan akhirnya memburukkan lagi keadaan.

"Pada akhirnya, ini berkaitan dengan sikap dan cara pemikiran, bagaimana kita menangani masalah seperti ini. Dalam mana-mana masyarakat berbilang kaum, akan ada ketidaksempurnaan, akan ada kegenjotan, akan ada kelemahan,” katanya.

"Anda perlu mencari cara untuk mengatasinya dan juga dengan semangat muhibah."

Encik Wong memetik satu wawancara yang dijalankan oleh TODAY bersama bekas pelari pecut negara Canagasabai Kunalan, 79 tahun, yang berkata "untuk hidup harmoni seperti di kampung, mesti ada persefahaman dan mesti ada kemafaan".

Hari ini, Encik Wong menekankan: “Itulah kuncinya. Kita perlu mendekati isu-isu sebegini dengan persefahaman, dengan rasa hormat, bukan dengan sikap ingin memecahbelahkan atau bersemuka, tapi untuk menanganinya kita perlu dan berusaha memaafkan antara satu sama lain jika kita melakukan kesilapan."

Bertanya lanjut, Dr Shahshi berkata beliau mengamati bagaimana terdapat pihak yang biasanya tidak bersuara tentang isu kaum, namun kini kurang selesa dengan cadangan agar mereka membuat teguran seperti seorang aktivis.

"Saya mempermudahkan sudut pandangan mereka, tetapi hujah mereka adalah bahawa kita sudah mencatat kemajuan agak baik sebagai sebuah masyarakat berbilang kaum dan harmoni hingga saat ini sejak kemerdekaan, dan beberapa perkara, seperti isu-isu sensitif, harus dibiarkan saja," kata Dr Shashi.

Menjawab pertanyaan tersebut, Encik Wong berkata beliau menghormati pandangan rakyat Singapura seperti itu yang pernah melalui masa-masa yang lebih sukar dan memahami bahawa isu kaum adalah perkara yang sensitif.

"Isu sebegini boleh memburuk dan keadaan boleh berubah dengan mudah menjadi negatif, mencetuskan ketegangan kaum atau lebih buruk lagi, keganasan, jadi saya rasa kita harus menghormati pandangan ini dan akur dengan nasihat mereka," katanya.

Pada masa yang sama, jika seseorang meminta maaf atas tingkah laku mereka, mesti ada jalan untuk memperluas ruang bersama dan memperkukuh keharmonian kaum berdasarkan sikap saling memahami dan percaya antara satu sama lain, kata Encik Wong.

Matlamat sama yang dikongsi dalam wacana berkaitan isu kaum akan membolehkan semua orang melangkah ke hadapan bersama-sama, tambahnya.

DASAR MENGIKUT KAUM

Dr Shashi juga bertanya tentang masa depan dasar-dasar berkaitan kaum dan sejauh mana relevan rangka kerja Cina, Melayu, India dan Lain-lain (CMIO), yang merupakan soalan paling kerap ingin ditanya dalam kalangan peserta forum tersebut.

Encik Wong berkata ramai orang beranggapan bahawa dasar yang mengambil kira kaum akan menjejas semangat berbilang kaum.

Kata beliau: “Saya menghargai pandangan itu. Apa yang saya ingin katakan adalah, pertimbangkan ini: jika kita mengetepikan CMIO, adakah ini bermaksud bahawa orang akan mula melupakan identiti etnik mereka atau kurang memberi perhatian terhadapnya?

“Sekiranya kita mengabaikan perbezaan kaum, apakah itu bererti bahawa perbezaan itu tidak wujud? Tidak begitu jelas bagi saya."

Sebaliknya, dasar yang mengambil kira kaum, seperti Dasar Integrasi Etnik, membantu memperkukuhkan keharmonian kaum dan pada hakikatnya, membantu orang kurang kurang menitikberatkan tentang kaum.

Encik Wong kemudian akur bahawa dasar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tersebut, yang menghalang terbentuknya kawasan mengikut etnik di estet perumahan, menyebabkan beberapa pemilik minoriti berdepan kesukaran semasa menjual flat mereka.

Namun beliau menjelaskan bahawa dasar yang sudah wujud selama bertahun-tahun itu memupuk rasa kekitaan dan identiti warga Singapura, mengelakkan pemisahan mengikut kaum yang dilihat di negara-negara lain.

Sekalipun demikian, dasar-dasar boleh berubah, jadi Pemerintah perlu menilainya dengan teliti untuk memahami mengapa dasar-dasar itu wujud dan sama ada ia masih mencapai matlamat yang dinyatakan, atau sama ada terdapat kelemahan, kata Encik Wong, yang merupakan Menteri Pembangunan Negara hingga tahun lalu .

"Mari berusaha memperbaikinya, memperhalusinya, menjadikannya lebih baik. Jangan buang kesemuanya bulat-bulat apabila ingin menangani masalah. "

PM DARIPADA KALANGAN MASYARAKAT MINORITI

Moderator kemudian mencungkil pandangan Encik Wong untuk mengetahui sama ada Singapura boleh mempunyai perdana menteri daripada masyarakat minoriti. Beliau merujuk kepada topik yang hangat diperdebatkan pada 2019 apabila Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata bahawa generasi Singapura yang lebih berusia belum bersedia untuk menerima PM yang bukan daripada masyarakat Cina.

Encik Wong menjawab bahawa setiap individu di Singapura yang ingin menjadi perdana menteri harus dapat berhubung dengan pengundi, menggembleng warga Singapura dan memimpin parti itu untuk memenangi pilihan raya.

Namun tinjauan IPS menunjukkan bahawa sebilangan besar rakyat Singapura lebih selesa dengan PM daripada kaum etnik sendiri, dan ini jelas bagi kumpulan-kumpulan etnik di sini.

"Inilah yang ditunjukkan oleh tinjauan itu. Saya harap ia tidak begitu, tetapi begitulah dapatan tinjauannya. Oleh itu, minoriti yang ingin menjadi PM harus sedar akan sikap ini - itu tidak bermaksud bahawa beliau tidak boleh menjadi perdana menteri. Inilah realiti di lapangan."

Walaupun ini adalah hakikat yang digambarkan menerusi tinjauan tersebut, ia tidak bermaksud bahawa Singapura harus menerima sikap seperti itu, tegas beliau. Sebaliknya, Singapura harus bekerja keras untuk mengubahnya.

"Saya pasti akan menantikan hari apabila Singapura mempunyai perdana menteri daripada masyarakat minoriti. Saya mengalu-alukannya,” kata Encik Wong.

Seramai 1,600 orang mengikuti perbincangan panel online.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan