Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tayangan filem, lawatan kokpit antara idea ganti rancangan 'terbang tanpa tujuan' SIA

Orang ramai mengemukakan ratusan idea untuk membantu Singapore Airlines (SIA) menjana pendapatan yang sangat diperlukan semasa pandemik COVID-19,  untuk mengelakkan rancangan yang dilaporkan sedang dipertimbangkan oleh SIA: Memulakan "penerbangan tanpa tujuan".

Anggaran Waktu Membaca:
Tayangan filem, lawatan kokpit antara idea ganti rancangan 'terbang tanpa tujuan' SIA

(Gambar fail: SIA)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 09:57AM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 10:01AM

SINGAPURA: Orang ramai mengemukakan ratusan idea untuk membantu Singapore Airlines (SIA) menjana pendapatan yang sangat diperlukan semasa pandemik COVID-19, seperti menggunakan pesawat yang digantung khidmatnya untuk menayangkan filem atau menganjurkan sesi cari jodoh. Bayaran yang dikenakan mungkin berbeza-beza bergantung kepada sama ada pelanggan duduk di kelas ekonomi, perniagaan atau kelas pertama.

Idea-idea itu dikumpulkan dalam usaha untuk mengelakkan rancangan yang dilaporkan sedang dipertimbangkan oleh SIA: Memulakan "penerbangan tanpa tujuan", yang membolehkan penumpang terbang dari Singapura dan kembali tanpa mendarat di mana-mana tempat lain, sebagai cara untuk menjana pendapatan.

Pengumpulan idea itu bermula ketika empat penggiat alam sekitar dari kumpulan alam sekitar Neighborhood Greenwatch bersepakat untuk cuba mencegah rancangan tersebut yang kali pertama dilaporkan oleh The Straits Times pada Ahad (13 Sep).

Cik Melanie Ang, salah seorang penganjur daya usaha "Save SIA" itu berkata seorang anggota kumpulan itu menyarankan mereka menyediakan borang untuk orang ramai mengemukakan idea-idea mereka.

Selain Cik Ang, 26, seorang penghasil kandungan, penganjur-penganjur lain ialah: Cik Chevon Low, 30, anggota lembaga di badan bukan meraih untung People’s Movement to Stop Haze; Encik Sean Yap, 21, penuntut tahun pertama Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura; dan Encik Mark Tszo, 37, yang sedang mencari pekerjaan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SIA menyatakan pada Selasa bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa inisiatif yang akan membolehkannya untuk terus melibatkan pelanggannya dan orang awam, namun tiada rancangan yang sudah ditetapkan.

BERSIAR-SIAR, JAMU SELERA DALAM PESAWAT

Setakat Isnin, para penganjur Save SIA telah menerima lebih 500 cadangan dari orang ramai sejak membuka saluran bagi sumbangan idea pada Sabtu lalu, kongsi Cik Ang.

Cadangan lain termasuk menjenguk di balik tabir kokpit pesawat dan pengendaliannya, menawarkan pengalaman menjamu selera bertemakan penerbangan, dan menjual kredit syarikat penerbangan yang boleh digunakan orang ramai untuk membayar tambang penerbangan pada masa hadapan.

Cik Ang berkata bahawa tarikh tutup untuk menghantar cadangan adalah 20 September dan penganjur kemudian akan menghantar kesemua idea itu kepada SIA termasuk senarai 10 idea yang paling sesuai.

"Kami berharap bahawa SIA akan menghentikan pelancaran (penerbangan tanpa haluan) dan mempertimbangkan pilihan lain. Namun jika mereka tidak melakukannya, kami harap mereka sekurang-kurangnya akan menjelaskan mengapa mereka memilih untuk meneruskannya walaupun terdapat pilihan lain yang mampan,” kata Cik Ang.

Industri penerbangan menjana 915 juta tan pengeluaran karbon tahun lalu, membentuk 2 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau sejagat. Bagaimanapun satu kajian oleh Institut Australia, sebuah badan pemikir alam sekitar, meramalkan bahawa pengeluaran tersebut boleh merosot sebanyak 38 peratus tahun ini kerana penggantungan penerbangan akibat pandemik virus korona.

KURANG PENDAPATAN BERULANG

Para penganalisis penerbangan memberitahu Mediacorp bahawa walaupun penerbangan tanpa tujuan boleh menjana pendapatan jangka pendek untuk SIA, terdapat kelemahan seperti kurangnya pendapatan berulang dan kesan terhadap imej korporatnya.

Encik David Leo, seorang veteran penerbangan dengan pengalaman tiga dekad dalam industri tersebut berkata bahawa melancarkan penerbangan tanpa tujuan akan menjejas imej SIA ketika terdapat kesedaran yang meningkat mengenai isu-isu alam sekitar.

Penganalisis penerbangan bebas Brendan Sobie berkata bahawa syarikat penerbangan negara lain seperti Royal Brunei Airlines dan syarikat penerbangan Jepun All Nippon Airways telah melancarkan penerbangan tanpa tujuan, dan syarikat-syarikat penerbangan akan mempertimbangkan rancangan ini sekiranya terdapat permintaan dalam pasaran. Ini akan menjadi satu peluang untuk SIA memanfaatkan pesawatnya dan mengerahkan anak kapalnya, sambil menjana pendapatan.

Namun, cara terbaik ke hadapan adalah dengan Pemerintah membuka lebih banyak laluan hijau bagi lawatan percutian supaya SIA boleh menyambung lebih banyak penerbangan, lantas penerbangan tanpa haluan tidak diperlukan, tambahnya.

Encik Priveen Raj Naidu, juga seorang penganalisis bebas bersetuju dengan Encik Sobie dan berkata bahawa penerbangan tanpa haluan adalah satu cara untuk SIA "menukar kos (penerbangan yang kurang digunakan) kepada pendapatan".

Namun, para penumpang mungkin berasa langkah keselamatan ketat bagi COVID-19 seperti memakai pelitup dan sarung tangan di dalam pesawat, tidak mudah dipatuhi walaupun ia sesuatu pengalaman baru.

Dari sudut perniagaan, ia juga tidak akan menghasilkan pendapatan berulang kerana orang ramai tidak mungkin menaiki penerbangan sebegitu berkali-kali.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan