Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tawaran diskaun Giant bagi warga emas diperluaskan kepada Isnin hingga Jumaat

Rangkaian pasar raya Giant akan memperluaskan tawaran diskaun bagi warga emas pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sehingga 30 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Tawaran diskaun Giant bagi warga emas diperluaskan kepada Isnin hingga Jumaat

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Jun 2021 09:15PM Dikemas Kini : 11 Jun 2021 09:17PM

SINGAPURA: Rangkaian pasar raya Giant akan memperluaskan tawaran diskaun bagi warga emas pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sehingga 30 Julai.

Ini berbanding setiap hari Selasa sekarang ini.

Diskaun sebanyak tiga peratus ditawarkan kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan bermula Isnin depan (14 Jun).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (11 Jun), pemilik rangkaian pasar raya itu, Dairy Farm Group, menyatakan sejajar dengan pelonggaran sekatan COVID-19, pembeli boleh keluar berbelanja dengan lebih bebas.

Pada Khamis (10 Jun), pihak berkuasa mengumumkan bahawa Singapura akan melangkah ke Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat) secara berperingkat mulai 14 Jun, menyusuli sekatan dipertingkat di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) selama sebulan.

Pengarah pemasaran bagi Makanan Asia Tenggara Dairy Farm, Encik Lee Yik Hun berkata kumpulan itu berharap "tawaran yang diperluaskan ini akan memberi lebih banyak kelonggaran, kebebasan dan memudahkan warga emas untuk membeli-belah pada setiap hari biasa".

Dairy Farm juga memiliki rangkaian pasar raya Cold Storage serta kedai-kedai serbaneka 7-Eleven di Singapura.

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas seorang pembaca TODAY menulis surat yang mencadangkan supaya rangkaian pasar raya NTUC FairPrice memperluaskan program yang menawarkan diskaun serupa kepada pelanggan warga emas.

Penulis surat itu, Encik Paul Wee Kian Nghee, berkata diskaun itu - sehingga tiga peratus - hanya ditawarkan pada setiap hari Isnin dan Rabu.

Beliau menambah dengan menawarkan diskaun itu pada lebih banyak hari akan bantu mengurangkan kesesakan di pasar raya, sekaligus bermanfaat di tengah-tengah pandemik yang berlaku dan keperluan bagi mematuhi langkah pengurusan selamat untuk mengurangkan risiko penularan virus.

FairPrice Group menjawab bahawa diskaun ditawarkan pada awal minggu kepada golongan warga emas supaya mereka tidak perlu berasak-asak dengan pembeli lain yang lazimnya datang berbelanja di pasar raya itu menjelang lewat minggu dan hujung minggu.

Ia menambah bahawa diskaun eksklusif itu sepatutnya berakhir pada hujung tahun lalu namun dilanjutkan setahun lagi.

Dalam surat kepada TODAY, Encik Lee berkata Giant sudah pun melakarkan rancangan untuk menawarkan diskaun pada lebih banyak hari kepada golongan warga emas apabila surat dari Encik Wee diterbitkan.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan