Images
  • sangkal isis book launch 1
    Menteri Masagos Zulkifli (3 dari kanan) rasmikan pelancaran buku 'Menentang Isis' (Gambar: MUIS)

Tawan hati, minda masyarakat penting dalam banteras pemikiran pelampau: Masagos Zulkifli

SINGAPURA: Penguatkuasaan undang-undang hanya sebahagian daripada huraian menentang pengganasan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menekankan, benteng paling berkesan dalam mengekang pemikiran bersifat eksklusif adalah dengan memenangi hati dan minda masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di seminar berjudul "Masa Depan Islam: Peranan Asatizah dalam Zaman Globalisasi, Kemodenan dan Keganasan" di Hab Islam Singapura hari ini (27 Okt).

CABARAN SEJAGAT HADAPI PEMAHAMAN AGAMA YANG SEMPIT

Berucap kepada sekitar 140 asatizah yang hadir, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air menarik perhatian tentang cabaran semakin rumit yang dihadapi masyarakat sejagat berhubung penafsiran dan amalan agama.

Sebahagian pihak yang berpendidiran tegar menafsirkan agama secara literal tanpa menghidupkan nilai-nilai seperti kesaksamaan dan keharmonian, manakala ada golongan yang memperalatkan agama untuk menyebarkan ideologi berbahaya dan menggalak sifat eksklusif.

Ini, menurut beliau, lebih membimbangkan kerana pihak-pihak tersebut semakin canggih dalam menyebarkan fahaman mereka menerusi internet dan media sosial.

Encik Masagos menambah, masyarakat Islam dan bukan Islam terjejas akibat ekstrimisme yang terbit daripada fahaman salah ini.

"Anggota masyarakat, terutamanya para belia, kini lebih terdedah kepada bahaya menjadi radikal secara sendiri melalui Internet. Ekstremisme menjejas setiap lapisan masyarakat, bukan sahaja umat Islam. Akibatnya, Islamofobia semakin menular di negara-negara barat dan memecahbelahkan masyarakat" kata beliau dalam ucapannya.

PERANAN ASATIZAH MEMBIMBING MASYARAKAT

Dalam pada itu, Encik Masagos menekankan peranan penting yang dimainkan para asatizah dan ulama dalam melindungi masyarakat Islam Singapura daripada dicemari idea-idea bersifat melampau dan eksklusif dengan membimbing masyarakat ke arah pengamalan agama yang "moderat dan inklusif".

"Masyarakat harus meraih ilmu agama daripada asatizah yang bertauliah, yang telah diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS)," kata beliau.

"Bimbingan agama yang padu harus mengimbangi antara ilmu agama yang diraih dari ulama terdahulu sambil mengambil kira konteks Singapura yang majmuk. Nilai-nilai agama kekal mekar, tanpa mengira batas waktu dan zaman."

Beliau menambah, warga Singapura dapat hidup secara aman dan menghormati perbezaan antara satu sama lain hasil kerjasama sekian lama Pemerintah dengan masyarakat serta badan-badan seperti PERGAS, RRG dan MUIS.


BUKU 'MENYANGKAL ISIS' DILANCARKAN

Di acara tersebut, buku berjudul 'Menyangkal ISIS' yang diterjemahkan daripada buku asal berbahasa Inggeris 'Refuting ISIS' hasil tulisan ulama tersohor Shaykh Muhammad Al-Yaqoubi dari Syria turut dilancarkan.

Encik Masagos berharap, buku tersebut yang mengetengahkan contoh-contoh yang menunjukkan bagaimana "tindakan ISIS tidak mewakili Islam", dapat memberi pencerahan tentang nilai-nilai Islam sebenar yang menganjurkan keamanan.

"Saya mengalu-alukan penerbitan edisi ini kerana ia bakal menambah nilai kepada hujah-hujah yang menyangkal ancaman radikalisme, khusus buat masyarakat Melayu/Islam di Singapura dan rantau kita ini," kata Encik Masagos. 

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top