Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taufik Supan antara barisan pertama calon PSP bagi Pilihan Raya 2020

Parti Kemajuan Singapura (PSP) pimpinan Dr Tan Cheng Bock hari ini (18 Jun) memperkenalkan enam calonnya bagi Pilihan Raya Umum (GE) yang akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Taufik Supan antara barisan pertama calon PSP bagi Pilihan Raya 2020

Calon Melayu parti PSP, Taufik Supan. (Gambar-gambar: Parti Kemajuan Singapura)

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) pimpinan Dr Tan Cheng Bock hari ini (18 Jun) memperkenalkan enam calonnya bagi Pilihan Raya Umum (GE) yang akan datang. Barisan tersebut termasuk seorang karyawan Melayu/Islam bernama Muhammad Taufik Supan.

Mereka diperkenalkan oleh Dr Tan sendiri selaku Setiausaha Agung parti, dalam satu sesi sidang media yang diadakan secara online.

Menurut Dr Tan, enam individu tersebut adalah "barisan pertama" calon PSP bagi GE yang akan datang. Ini memberi bayangan bahawa akan ada lagi sesi-sesi lain bagi memperkenalkan calon-calon PSP.

SIAPA TAUFIK SUPAN?

Satu-satunya calon Melayu/Islam yang diperkenalkan hari ini, Encik Muhammad Taufik Supan, 40 tahun, adalah seorang karyawan IT.

Latar belakangnya disifatkan sebagai "rakyat biasa" lantas "pengalaman hidupnya seperti rakyat Singapura yang lain", kata Dr Tan.

Encik Taufik disebut PSP sebagai datang dari keluarga berpendapatan pertengahan, bersekolah di sekolah kejiranan dan bukan penerima sebarang biasiswa.

Sebaliknya beliau pernah melakukan pelbagai pekerjaan untuk menanggung pengajiannya di peringkat ijazah sarjana dalam bidang IT. Beliau juga pernah melalui pengalaman dibuang kerja.

Calon Melayu parti PSP, Taufik Supan. (Gambar: Parti Kemajuan Singapura)

Encik Taufik mempunyai tiga orang anak dan salah seorang daripadanya mengalami autisme. Pengalaman hidup seperti itulah yang menjadikan beliau "komited untuk membina Singapura yang lebih baik", kata Dr Tan.

Dalam sesi pengenalan itu, Encik Taufik memberitahu pihak media bahawa beliau bukan setakat wakil parti PSP tetapi juga mewakili masyarakat. Maka itu beliau mahu menjadi "pemangkin kepada Singapura yang lebih baik". Beliau melahirkan hasrat mahu menjadi suara bagi rakyat Singapura yang kurang bernasib baik dan melabur dalam rakyat.

"Saya berada di sini untuk berkhidmat untuk masyarakat bukan ekonomi semata-mata kerana saya percaya kita perlu mendahulukan rakyat," menurut Encik Taufik.

Beliau berkata "apabila rakyat dijaga dan didahulukan, kemajuan mereka akan secara semula jadi membangunkan ekonomi negara".

Menyentuh tentang isu-isu masyarakat Melayu yang ingin beliau perjuangkan, Encik Taufik berkata ia "perlu diteliti secara mendalam" dan "bukan pada dasarnya sahaja". Ini kerana "terdapat keprihatinan kemajuan masyarakat Melayu", kata beliau, sambil memetik kemiskinan dan diskriminasi sebagai contoh.

"Bersama-sama kita mesti perbetulkan kesilapan kita dan bangunkan semula masyarakat kita demi kebahagian, kejayaan dan kemajuan," menurut Encik Taufik.

CALON-CALON LAIN

Calon-calon lain PSP ialah Encik Francis Yuen Kin Pheng, 70 tahun, yang pernah menerima biasiswa SAF dan berkhidmat dalam RSAF selama 18 tahun. Beliau dikatakan pernah menjalani latihan ketenteraan di Perancis, Britain dan Amerika Syarikat.

Kerjayanya bermula di ST Aerospace dan termasuk syarikat-syarikat global lain seperti Honeywell dan Ingersoll Rand.

Francis Yuen Kin Pheng. (Gambar: Parti Kemajuan Singapura)

Calon ketiga Cik Gigene Wong, 54 tahun, yang pernah menyandang pelbagai jawatan dalam syarikat-syarikat berbilang negara di China selama 20 tahun.

Gigene Wong. (Gambar: Parti Kemajuan Singapura)

Calon keempat, ialah Naib Pengerusi PSP, Cik Hazel Poa, 50 tahun, yang juga pengasas kepada lima pusat tusyen dan sekolah privet iaitu.

Hazel Poa. (Gambar: Parti Kemajuan Singapura)

Calon kelima, Encik Sri Nallakaruppan, 56 tahun, yang merupakan pengasas bersama dan bendahari parti PSP.

Beliau seorang akauntan bertauliah yang berdaftar dengan Institut Akautan Bertauliah Singapura dan sekarang bekerja sebagai pakar pelaburan dalam pasaran modal (capital modal).

Sri Nallakaruppan. (Gambar: Parti Kemajuan Singapura)

Calon keenam ialah bekas anggota Parti Tindakan Rakyat dan Suara Rakyat, Encik Bradley Bowyer, 53 tahun. Beliau berpengalaman 30 tahun dalam bidang media dan pernah mengendalikan perniagaan sendiri sepanjang 12 tahun.

Bradley Bowyer. (Gambar: Parti Kemajuan Singapura)

Ini merupakan sesi ketiga bagi parti itu memperkenalkan para anggotanya.

Sebelum ini parti itu memperkenalkan 10 muka baru yang menyertai parti itu sebagai ahli melalui dua sesi pertemuan, yang pertama diadakan pada 21 Mei.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan