Images
  • Tariq
    Anak warga Singapura, Tariq Rashid, yang terkorban dalam serangan di Masjid Al Noor, Christchurch. (Gambar: Facebook/Rosemary Omar)

Tariq Rashid - anak warga S’pura antara korban serangan pengganas Christchurch

BERITAmediacorp: Seorang anak kepada warga Singapura adalah salah seorang daripada 50 mangsa yang terkorban dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Tariq Rashid, 24 tahun, berada di Masjid Al Noor - salah satu daripada dua buah masjid yang diserang pada Jumaat lalu (15 Mac).

Ini disahkan sendiri oleh bapanya, Rashid Omar yang merupakan warga Singapura semasa dihubungi BERITAmediacorp. Allahyarham, sudah menetap di New Zealand bersama keluarganya sejak lahir. 

Pada hari kejadian, Allahyarham berada di masjid terlebih dahulu sebelum anggota keluarganya yang lain. Menurut Encik Rashid, Allahyarham adalah seorang yang sangat taat pada agama dan selalu merupakan antara yang paling awal tiba di masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

Ibunya, Rosemary Omar, seorang warga New Zealand sedang berada di kawasan meletak kenderaan di belakang masjid apabila serangan kejam itu berlaku dan beliau nampak “dengan mata sendiri dari dalam kereta”.

“Isteri saya kata beliau terdengar bunyi tembakan. Namun pada awalnya beliau menyangka ia hanyalah bunyi bising. Apabila terdengar bunyi tembakan seterusnya, beliau ternampak orang berlari keluar masjid.

“Isteri saya terus pandu kereta ke depan masjid untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Pada ketika itu, beliau nampak mayat bergelimpangan di tengah jalan, di luar masjid,” kata Encik Rashid, yang kali terakhir melihat Allahyarham pada Khamis (14 Mac) malam.

Akibat serangan tidak berperikemanusiaan itu, Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian - di dalam masjid Al Noor.


Ibu bapa Tariq - Rashid dan Rosemary. (Gambar: Facebook/Rashid Omar)

Ditanya tentang adik-beradik Allahyarham, Encik Rashid berkata mereka sekeluarga masih lagi cuba mengharungi dugaan ini secara perlahan-lahan.

“Kami semua berdukacita. Rasa masih kosong dalam hati ini. Tetapi kami sudah menerima hakikat ini. Kami sudah reda,” ujar Encik Rashid dengan sebak.

Buat masa ini, beliau sekeluarga belum dapat melihat jenazah Tariq dan masih menunggu keputusan koroner. Namun, beliau menambah, urusan memandikan dan mengebumikan jenazah akan dijalankan segera sebaik sahaja selesai proses koroner itu.

SANGGUP HARUNGI PERJALANAN 12 JAM KE CHRISTCHURCH HULUR BANTUAN

Turut berada di Christchurch sekarang ini adalah Pengasas Masjid Ad-Deen di Taihape, New Zealand, Saifudin Abu, yang juga anak kelahiran Singapura.

Didorong rasa simpati dan semangat persaudaraan Islam, beliau meredah perjalanan selama 12 jam untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan dan bertemu keluarga Allahyarham serta keluarga-keluarga mangsa yang lain yang merupakan sahabatnya.

Encik Saifudin memberitahu BERITAmediacorp, sebaik sahaja beliau tiba di pekarangan rumah keluarga Allahyarham Tariq semalam (17 Mac), bapanya meluru keluar dan memeluk Encik Saifudin sambil menangis.

“Saya pun terus menangis. Nampak jelas rasa kehilangan pada wajah anggota keluarga Allahyarham. Malah, Encik Rashid sendiri meminta saya untuk bersama-sama beliau memandikan jenazah anaknya nanti.

“Saya pun sudah mendapatkan bantuan pekerja sosial yang juga seorang rakan beragama Islam untuk memberikan bantuan,” katanya kepada BERITAmediacorp.

Semasa menceritakan tentang Allahyarham, kedua ibu bapanya memuji sikap positif dan ciri-ciri kepimpinan dalam diri anak mereka.

Allahyarham Tariq adalah seorang ahli sukan dan pemain bola sepak aktif di sebuah kelab bola sepak di Christchurch. Allahyarham juga seorang yang amat prihatin dan gemar membantu kanak-kanak serta mencintai haiwan.

Sikapnya itu dijadikan peran contoh oleh adik-beradiknya. Allahyarham mempunyai seorang kakak dan dua orang adik - seorang lelaki dan seorang perempuan.

Serangan di dua buah masjid di bandar Christchurch itu mengorbankan 50 orang manakala 50 yang lain cedera. Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyifatkan insiden tersebut sebagai "serangan pengganas".

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/nk

Top