Images
  • main1

Tarian beramai-ramai Inang dan Ronggeng di Perpustakaan Negara pecahkan Buku Rekod Singapura

SINGAPURA: Seawal jam 9 pagi Sabtu (13 Jul), para pelajar dari 39 sekolah rendah dan menengah gigih menjalani latihan tarian Melayu di pekarangan Perpustakaan Negara di Victoria Street.

Persiapan itu bagi satu percubaan untuk memecahkan Buku Rekod Singapura bagi jumlah penari tarian Melayu yang paling ramai pada satu-satu masa.

Setiausaha Parlimen Kanan, Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim tidak mahu ketinggalan untuk turut sama memberikan sokongannya. Acara diadakan sempena Karnival Kesantunan Melayu 2019 yang dianjurkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) buat kali kedua.

MENARI 6 MINIT TANPA HENTI UNTUK PECAHKAN REKOD

Tarian yang harus dilaksanakan adalah gabungan Inang dan Ronggeng kerana pergerakannya mempunyai unsur-unsur tata tertib budaya Melayu.

Setelah menari enam minit tanpa henti, disahkan 363 orang mengambil bahagian - melebihi rekod sebelumnya yang disertai 204 orang sekali gus memecahkan rekod!

Menurut sesetengah pelajar dan pengunjung yang ditemui, bukan rekod baru sahaja yang mereka idamkan.

Seorang pelajar menengah satu dari Sekolah Menengah Marsiling, Nurul Jannah Nesrian berkata: "Kesantunan ini amat penting kerana ia mengingatkan kita untuk menjaga adab dan sikap kita di khalayak ramai." Nurul Jannah, gembira dapat menyumbang bersama-sama teman sekolahnya bagi mencatat rekod baru.


Acara hari ini juga menarik perhatian berapa pelancong termasuk dua peserta dari Australia.

"Saya amat tertarik untuk belajar lain-lain budaya dan tarian. Saya benar-benar suka tarian tadi," kata Mahnaz Armat.

"Semua orang peramah terutama sekali anak-anak kecil yang mengajar kami apa yang harus dibuat dan cara pergerakan," kata Sean Derriman.

INFOGRAFIK TENTANG KESANTUNAN TARIAN ZAPIN MEMBAWA KEJAYAAN

Satu segmen baru yang diperkenalkan tahun ini juga adalah Pertandingan Infografik Kesantunan Melayu di antara sekolah-sekolah.

Setelah mengalahkan 60 sekolah yang lain, dua pelajar menengah dua dari Raffles Institution, Muhd Haziq Mohd Azhan dan Hilman Faiz Mohd Nurfithri, muncul juara dengan penyertaan infografik mereka bertajuk Kesantunan Dalam Zapin.


"Daripada kajian kami, kami dapat mengetahui yang tarian zapin Melayu merupakan sesuatu yang lebih lemah lembut dan ada banyak kesantunan.

"Ia juga berasal dari sejenis tarian di timur tengah yang lebih kasar," kata Muhd Haziq yang mengambil masa seminggu untuk menyiapkan infografik itu bersama kumpulannya.

VIDEO BARU KELUARAN MLLPC BOLEH DIJADIKAN BAHAN RUJUKAN

Di acara yang sama, Dr Faishal turut melancarkan satu siri video yang akan dimuat naik setiap minggu bermula hari ini (13 Julai) di lelaman media sosial MLLPC untuk membangkitkan kesedaran dan menyebarkan mesej kesantunan Melayu.


Berkongsi tentang manfaat siri video tersebut kepada para pelajar, ahli MLLPC, Encik Abdul Rohim Sarip berkata: "Video ini boleh dijadikan sebagai bahan pengajaran bagi pelajar-pelajar di sekolah dan ia memberikan mereka satu tontonan yang bernas dan yang baik untuk mereka".

Dr Faishal turut menegaskan peri pentingnya acara seperti itu dianjurkan bagi menerap nilai-nilai kesantunan kepada para pelajar.

"Kalau kita memikirkan masyarakat Melayu, satu ciri utama yang kita ingat adalah kesantunan, adab dan budi pekerti.

"Tetapi dengan peredaran masa, kita dapat melihat anak-anak kita perlukan pendekatan yang relevan bagi kehidupan mereka,"

Karnival yang diadakan dari 9 pagi hingga 2 petang itu turut menyajikan tiga astaka interaktif sekolah CHIJ Katong Convent, Sekolah Menengah Pasir Ris Crest dan Sekolah Rendah Yio Chu Kang serta lantai interaktif yang memberikan pengalaman suasana kesantunan masyarakat Melayu. 

- BERITAmediacorp/na

Top