Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tangguhkan kenaikan harga air, teliti semula bantuan untuk kelas pertengahan, kata para AP

Kenaikan harga air dan langkah membantu golongan kelas pertengahan mengharungi kenaikan kos sara hidup antara isu-isu yang dibangkitkan para Anggota Parlimen (AP) hari ini (28 Feb), hari pertama perbahasan Parlimen tentang kenyataan Belanjawan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tangguhkan kenaikan harga air, teliti semula bantuan untuk kelas pertengahan, kata para AP

(Gambar hiasan: VOISHMEL/AFP)

Diterbitkan : 28 Feb 2017 10:26PM Dikemas Kini : 28 Feb 2017 10:30PM

SINGAPURA: Kenaikan harga air dan langkah membantu golongan kelas pertengahan mengharungi kenaikan kos sara hidup antara isu-isu yang dibangkitkan para Anggota Parlimen (AP) hari ini (28 Feb), hari pertama perbahasan Parlimen tentang kenyataan Belanjawan.

Para AP juga menarik perhatian tentang perlunya untuk meneliti semula pendekatan Pemerintah menetapkan jenis rumah sebagai kayu ukur untuk menentukan pengagihan geran dan sokongan.

"TENTUNYA BUKAN MASA YANG BAIK UNTUK NAIKKAN HARGA AIR"

Dalam ucapannya, AP SMC Mountabatten, Lim Biow Chuan meminta Pemerintah menimbangkan agar kenaikan harga air tidak dilaksanakan dahulu untuk tahun ini. Dalam kenyataan Belanjawannya, Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan harga air akan dinaikkan sebanyak 30 peratus dalam dua fasa sepanjang dua tahun mendatang.

Meskipun Encik Lim mengambil perhatian bahawa "tidak akan ada masa yang baik" untuk meningkatkan harga api air, ini "tentunya bukan masa yang baik", memandangkan ketidaktentuan ekonomi kini, katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa kenaikan harga air itu nampaknya mengalihkan perhatian ramai warga Singapura daripada "mesej-mesej lebih penting", seperti bagaimana untuk merancang masa hadapan seseorang, dan dunia yang pantas berubah.

"Air itu penting untuk penakatan kami, dan kami perlu mengambil langkah-langkah yang secukupnya untuk memulihara air, tetapi malangnya, kenaikan 30 peratus pada harga itu nampaknya mengalihkan perhatian daripada tujuan utama Belanjawan," katanya.

"Oleh kerana banyak desas-desus yang berleluasa, ramai orang nampaknya terlalu prihatin akan kenaikan harga itu sehingga mereka kelihatan lupa atau tidak mengendahkan langkah-langkah lain yang sudah diperkenalkan Pemerintah untuk membantu mengimbangi kenaikan harga itu," katanya.

Beliau menambah bahawa jika langkah menangguhkan kenaikan harga air itu tidak boleh dilakukan, beliau berharap Pemerintah akan memastikan para ahli perniagaan tidak mengaut untung daripada kenaikan itu. Salah satu cara, katanya, ialah dengan menubuhkan jawatankuasa yang menghambat tindakan mengaut untung, serupa dengan yang ditubuhkan apabila GST dinaikkan.

AP GRC Nee Soon, Henry Kwek juga bercakap tentang kenaikan harga air itu dan kesannya terhadap kos sara hidup, dan menambah beliau sudah melihat bil-bil air sesetengah penjaja di kawasan undinya.

"Saya melihat bil bagi keseluruhan kedai kopi yang mempunyai enam gerai. Secara purata, setiap gerai menggunakan sekitar 50 kubik meter air sebulan, yang menelan belanja sekitar S$100," katanya.

"Dengan tarif air yang baru itu, setiap gerai akan menyaksikan peningkatan bil sekitar S$30 sebulan."

Encik Kwek menarik perhatian, tidak jelas sama ada kenaikan harga air itu akan menyebabkan peningkatan ketara pada kos sara hidup. Bagaimanapun, beliau menyeru Pemerintah untuk terus memantau situasi itu bagi melihat sama ada sebarang perubahan lanjut perlu dilaksanakan.

Isu itu juga dibangkitkan oleh para AP Parti Pekerja, dengan AP Tanpa Kawasan Undi Leon Perera memberi komen bahawa masa kenaikan harga air itu dilaksanakan "lebih selari dengan kitaran politik daripada kitaran ekonomi."

JENIS RUMAH TIDAK SEHARUSNYA JADI PROKSI BAGI UKUR KEKAYAAN

Para AP juga membangkitkan keprihatinan tentang warga Singapura yang bergaji pertengahan dan para pesara yang mungkin tidak meraih manfaat daripada langkah-langkah sokongan yang digariskan dalam Belanjawan.

"Pendekatan kami sekarang ini menggunakan saiz dan nilai jenis perumahan sebagai faktor utama untuk menentukan kelayakan," kata AP GRC East Coast Jessica Tan.

"Kriteria juga tidak berdasarkan pemilikan, tetapi jenis perumahan yang anda tinggal.

"Meskipun ini logikal, ia mungkin tidak lagi boleh dipakai ataupun tepat, kerana sesetengah orang yang tinggal di flat HDB mungkin hidup lebih senang daripada seseorang yang tinggal di hartanah privet."

AP SMC Mountbatten, Encik Lim berkata para pesara ini terpaksa bergantung kepada wang simpanan mereka atau anak-anak mereka untuk menyara kehidupan mereka, kerana pendapatan PMET tidak kemungkinan akan naik akibat pembekuan gaji di banyak syarikat. Namun, kumpulan ini mungkin tidak akan meraih manfaat daripada banyak langkah sokongan dalam Belanjawan, tambahnya.

"Mereka rasa tersisih dalam Belanjawan ini. Mereka rasa seolah-olah mereka dihukum hanya kerana mereka cuba sedaya upaya untuk mencapai aspirasi mereka pada masa dahulu.

"Saya gesa Pemerintah menimbangkan cara-cara di mana kami boleh membolehkan pesara dan rakyat Singapura bergaji pertengahan mengongsi dan maju ke hadapan sebagai sebuah negara," katanya.

"Kami harus mencari lebih banyak cara yang adil untuk mengongsi dan mengagihkan semula kekayaan negara ini, dan bukan hanya bergantung kepada jenis rumah sebagai proksi untuk mengukur kekayaan."

Cik Tan membangkitkan perkara yang sama dan menegaskan bahawa beliau bukan meminta untuk meningkatkan jumlah individu yang menerima bantuan, tetapi berkata ada perlunya bagi Pemerintah meneliti semula pengagihan subsidi untuk memastikan "mereka yang memerlukan bantuan dapat menerimanya."

SARANAN TENTANG GERAN PERUMAHAN

AP GRC Ang Mo Kio, Darryl David memberikan saranan yang serupa berhubung Geran Perumahan CPF yang dinaikkan. Dalam Belanjawan 2017, diumumkan bahawa pasangan yang kali pertama memohon flat yang mahu membeli flat jualan semula, kini akan menerima geran lebih tinggi, dihadkan pada S$50,000 bagi mereka yang membeli flat empat bilik atau lebih kecil, dan S$40,000 bagi pasangan yang membeli flat lima bilik atau lebih besar.

Encik David berkata beliau menghargai rasional bahawa Pemerintah tidak mahu memberikan terlalu banyak subsidi bagi mereka yang membeli flat lebih besar, kerana mereka kemungkinan dari kumpulan bergaji lebih tinggi. Namun beliau berkata, Pemerintah tidak boleh tidak mengendahkan para pengguna bergaji lebih tinggi yang mungkin memilih flat empat bilik lebih mahal oleh kerana lokasinya, usianya dan faktor lain.

"Sesetengah pengguna dengan gaji lebih rendah pula mungkin perlu membeli flat lima bilik, daripada flat empat bilik lebih mahal di lokasi lain disebabkan keperluan keluarga mereka," katanya.

Sebaliknya beliau menyarankan agar Pemerintah menyediakan geran peratusan berdasarkan harga flat itu.

Encik David juga meluahkan harapan agar Pemerintah boleh menyemak skim-skim bantuan yang sedia ada dari masa ke semasa agar ia kekal responsif kepada keperluan orang ramai.

Untuk itu, beliau menyarankan Pemerintah menimbangkan untuk mengetepikan sebuah dana yang dipegang lembaga berkanun atau kementerian, dan membolehkan mereka menyediakan skim sokongan sekali sahaja setiap kali keperluannya timbul.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan