Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tanggalkan serban lelaki Sikh: Pemandu pelancong diperintah ikuti rawatan mandatori

Seorang pemandu pelancong, yang menyerang seorang pejalan kaki beragama Sikh tanpa sebarang sebab dan menanggalkan serban lelaki itu, pada Khamis (20 Dis) diperintah supaya menjalani rawatan psikiatrik selama 18 bulan di bawah perintah rawatan mandatori.

Anggaran Waktu Membaca:
Tanggalkan serban lelaki Sikh: Pemandu pelancong diperintah ikuti rawatan mandatori

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 21 Dec 2018 12:08AM Dikemas Kini : 21 Dec 2018 12:10AM

SINGAPURA: Seorang pemandu pelancong, yang menyerang seorang pejalan kaki beragama Sikh tanpa sebarang sebab dan menanggalkan serban lelaki itu, pada Khamis (20 Dis) diperintah supaya menjalani rawatan psikiatrik selama 18 bulan di bawah perintah rawatan mandatori.

Gan Kian Seng, 46 tahun, yang mengalami masalah skizofrenia, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Encik Saranpal Singh Bhaliwal Peram Singh, 30 tahun.

Satu lagi tuduhan menggunakan kata-kata kesat berunsur perkauman untuk menyakitkan perasaan mangsa turut dipertimbangkan.

Di bawah perintah rawatan mandatori itu, si pesalah harus menjalani rawatan psikiatrik, sebagai ganti hukuman penjara, selama tempoh tidak melebihi dua tahun. Perintah itu dikeluarkan menyusuli saranan daripada seorang pakar psikiatri yang dilantik dari Institut Kesihatan Mental (IMH).

TERTUDUH MENGALAMI MASALAH SKIZOFRENIA

Mahkamah difahamkan bahawa berdasarkan hasil laporan psikiatrik, Gan mengalami masalah skizofrenia dan ini dapat dikaitkan kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukannya.

Gan juga sudah menulis surat kepada Encik Singh bagi meminta maaf atas perbuatannya.

Hakim Daerah May Mesenas pada Khamis (20 Dis) bertanya Gan sama ada dia sudah bersedia untuk mematuhi syarat-syarat perintah rawatan mandatori itu dengan mengambil ubat-ubatannya secara tetap serta bersetuju untuk dipantau. Gan bersetuju.

"Jika anda tidak mematuhi perintah ini, anda boleh dihadapkan ke mahkamah sekali lagi dan anda mungkin dijatuhi hukuman penjara," kata hakim.

Gan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali kerana menggunakan kekerasan jenayah.

Dia juga boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan dikenakan denda maksimum S$5,000 atau kedua-duanya sekali kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Hukuman-hukuman tersebut boleh ditambah lebih satu setengah ganda kerana kesalahan-kesalahan tersebut berunsur perkauman. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan