Images
  • ganja plant
    Para pegawai menemui rumah hijau sementara bagi penanaman pokok ganja dalam sebuah flat di Yishun. (Gambar: CNB)

Tanam ganja di flat Yishun; 2 suspek diberkas dalam serbuan

SINGAPURA: Seorang lelaki 44 tahun dan seorang wanita 52 tahun ditangkap dalam satu serbuan dadah di flat Yishun pada Isnin (9 Sep). Ini setelah peralatan berkaitan dadah ditemui di Bahagian Pos Bungkusan SingPost Centre, menurut pihak-pihak berkuasa pada Selasa (10 Sep).

Kenyataan tersebut menambah kedua-dua pesalah dadah yang disyaki itu adalah warga Singapura dan siasatan sedang dijalankan.

Artamu Ibrahim, 44 tahun, didakwa dengan satu tuduhan menanam sejenis dadah terkawal Kelas A.

Dia dituduh menanam tumbuh-tumbuhan yang dipercayai genus ganja antara Julai dengan 9 Sep di flat tingkat 13 Blok 336 A, Yishun Street 31.

Para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), yang menggeledah unit berkenaan, menemui perkakas gelas - disyaki digunakan untuk menghisap dadah - dan dua pasu tumbuhan ganja serta beberapa peralatan dan arahan bertulis mengenai cara penanaman tanaman tersebut.

Butiran penggeledahan diberikan dalam satu kenyataan bersama oleh CNB dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Para pegawai juga menemui rumah hijau sementara untuk penanaman pokok ganja dalam flat berkenaan, menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memaklumkan bila peralatan berkaitan dadah tersebut dikesan di SingPost Centre oleh para pegawai ICA.

CNB mengingatkan orang ramai bahawa ganja adalah dadah terkawal Kelas A yang disenaraikan di bawah Akta Salah Guna Dadah Singapura.

Pengambilan, pemilikan, pemerdagangan, mengimport atau mengeksport sebarang dadah terkawal adalah satu kesalahan.

Penanaman pokok ganja adalah satu kesalahan di bawah akta yang sama.

Artamu kini ditahan bagi siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Rabu (18 Sep) depan.

Jika didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Akta Salah Guna dadah, dia boleh dipenjara tempoh minimum tiga tahun, didenda S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sesiapa didapati menanam pokok ganja boleh menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun, didenda S$40,000 atau kedua-duanya, menurut pihak-pihak berkuasa.
 

- TODAYonline/FZ/fz

Top