Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tambang bas, kereta api dinaikkan 3-4 sen mulai 26 Dis; 600,000 baucar pengangkutan diagihkan

Mulai 26 Disember, tambang kad bas dan kereta api untuk orang dewasa akan naik 3 hingga 4 sen, umum Majlis Pengangkutan Awam (PTC) hari ini (3 Nov). Sementara itu 600,000 baucar akan dihulurkan untuk digunakan bagi menokok nilai kad tambang dan membeli pas konsesi bulanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Nov 2021 06:14PM Dikemas Kini : 04 Nov 2021 12:08AM

SINGAPURA: Mulai 26 Disember, tambang kad bas dan kereta api untuk orang dewasa akan naik tiga hingga empat sen.

Demikian diumumkan oleh Majlis Pengangkutan Awam (PTC) hari ini (3 Nov).

Sementara itu, tambang kad untuk pelajar, warga emas, orang kurang upaya dan pekerja bergaji rendah akan dinaikkan sebanyak satu sen bagi setiap perjalanan.

Tiada perubahan kepada tambang konsesi bulanan dan pas perjalanan, serta tambang tunai.

Mengumumkan keputusan semakan terkini tambang, PTC menekankan bahawa kenaikan tambang tahun ini tidak mengambil kira kemerosotan ketara dalam jumlah penumpang yang dicatat pada 2020 akibat pandemik COVID-19. Jika tidak, tambang perlu dinaikkan lebih tinggi lagi.

PTC memutuskan untuk mengecualikan faktor kapasiti rangkaian (NCF) dari Februari hingga Disember 2020, ketika jumlah penumpang menjunam akibat pandemik itu.

Sebaliknya ia hanya mengambil kira NCF untuk Januari tahun lalu.

NCF untuk Februari hingga Disember 2020, jika diambil kira, akan membawa kepada kenaikan 60 sen dalam tambang pengangkutan dewasa.

Faktor rangkaian itu merupakan komponen utama dalam formula tambang, yang digunakan untuk menentukan kenaikan maksimum tambang yang dibenarkan.

Parameter ini bertujuan untuk memberi pampasan kepada pengendali pengangkutan bagi kos operasi mereka berbanding dengan permintaan penumpang.

"MUSTAHIL KEKALKAN HARGA TAMBANG SEMASA"

Secara amnya, tambang akan dinaikkan sebanyak 2.2 peratus, selepas mengambil kira kenaikan 4.4 peratus daripada semakan semula tambang sebelum ini yang ditangguhkan tahun ini akibat COVID-19.

Keseluruhan penyesuaian tambang sebanyak 2.2 peratus bermakna kenaikan pendapatan hasil daripada kutipan tambang, iaitu sekitar S$34.2 juta setahun.

Ini jauh lebih rendah daripada apa yang akan dikutip hasil kenaikan 51.5 peratus harga tambang jika kesan daripada jumlah penuh penumpang diambil kira berdasarkan formula tambang semasa.

Pada 2020, jumlah penumpang bas menjunam 30 peratus kepada purata 2.88 juta perjalanan sehari sepanjang tahun, yang merupakan paras terendah sejak 2006. Jumlah penumpang MRT juga menjunam 40 peratus kepada 2.02 juta perjalanan sehari tahun lalu, terendah sejak 2009.

Keputusan PTC bermakna pengendali pengangkutan awam seperti SMRT dan SBS Transit, yang menerima subsidi pemerintah sekitar S$2 bilion setiap tahun, perlu menanggung kesan kemerosotan jumlah penumpang akibat pandemik walaupun rata-rata mengekalkan kekerapan bas dan kereta api seperti tahap sebelum COVID-19.

Pada masa yang sama, pandemik itu juga menyebabkan kenaikan kos bagi pengendali pengangkutan yang terpaksa menambah khidmat pembersihan dan pembasmian kuman, yang menelan kos sebanyak S$4 juta bagi satu pengendali, di samping kos-kos lain, jelas PTC.

Kedua-dua pengendali kereta api akan mengalami "kerugian besar" jika tiada sokongan meluas daripada Pemerintah, tambah majlis itu.

Pengerusi PTC Richard Magnus berkata dalam sidang media hari ini bahawa majlis itu perlu mencari "keseimbangan yang bijak" mengenai siapa yang patut berkongsi beban kos pengangkutan awam namun dalam masa yang sama tidak membenarkan tahap perkhidmatan merosot, terutamanya di tengah-tengah pandemik.

“Tahun lalu, tiada perubahan dalam tambang untuk semua penumpang dan saya benar-benar harap kami boleh membuat pengumuman yang sama tahun ini. Tetapi selepas beberapa hari mempertimbangkan pilihan yang ada, kami membuat kesimpulan bahawa mustahil untuk kekalkan tambang semasa,” katanya.

JANGKAAN SEMAKAN TAMBANG

Prinsip untuk tidak membiarkan penumpang menanggung kos jumlah penumpang, dengan mengecualikan NCF bagi bulan-bulan terjejas, akan digunakan pada tahun depan juga, jika jumlah penumpang kekal rendah sepanjang tahun, tambah ketua eksekutif PTC Tan Kim Hong.

Kata Encik Tan: “Jika benar permintaan waktu sibuk sudah merosot, terdapat peluang untuk menyesuaikan kapasiti agar lebih sejajar dengan permintaan supaya ia lebih menjimatkan kos.”

Beliau menambah bahawa pengendali pengangkutan awam juga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mencari cara lain menguruskan kos, seperti menggunakan lebih banyak automasi, mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh dan menjadi lebih cekap tenaga.

Encik Magnus berkata PTC perlu menimbangkan pelbagai faktor dalam pelaksanaan semakan tambang tahun depan, serta semakan semula formula tambang.

JUMLAH REKOD BAUCAR PENGANGKUTAN AWAM AKAN DIAGIHKAN

Kedua-dua pengendali kereta api juga perlu menyumbang S$2.23 juta pendapatan kepada Dana Pengangkutan Awam tahun ini, tambah PTC. Dana itu membantu keluarga-keluarga berdepan dengan penyesuaian tambang melalui baucar pengangkutan awam.

Dalam satu kenyataan berasingan pada Selasa (2 Nov), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Persatuan Rakyat (PA) mengumumkan sebanyak 600,000 baucar sedemikian, bernilai S$30 setiap satu, akan dihulurkan kepada keluarga-keluarga untuk digunakan bagi menokok nilai kad tambang dan membeli pas konsesi bulanan.

Kali ini, baucar-baucar itu akan merangkumi lebih banyak keluarga penduduk dan mereka dengan pendapatan bulanan isi rumah tidak lebih S$1,600 setiap seorang akan layak untuk menerima agihan tersebut. Had tersebut dinaikkan daripada syarat pendapatan S$1,200 dalam agihan terakhir pada 2019.

Ekoran langkah-langkah jarak selamat, baucar akan diagihkan dalam tiga peringkat:

  • Keluarga yang layak yang menerima baucar semasa agihan 2019 akan menerima baucar terbaru melalui pos secara automatik. Surat makluman akan dihantar kepada mereka yang layak menjelang hujung Disember 2021.
  • Keluarga yang memenuhi kriteria pendapatan tetapi tidak menerima baucar secara automatik boleh memohon secara online bermula awal 2022
  • Keluarga yang memenuhi kriteria pendapatan, tetapi memilih untuk membuat permohonan secara fizikal di pusat masyarakat berdekatan, boleh berbuat demikian pada peringkat ketiga. Butiran lanjut akan dimaklumkan kelak.
Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan