Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tambah 700 lagi keluarga layak dapat sokongan zakat setelah ukur tara dilonggarkan

Pengagihan wang zakat Ramadan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), melonjak lebih 23 peratus tahun ini kepada $2.3 juta, berbanding tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengagihan wang zakat Ramadan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), melonjak lebih 23 peratus tahun ini kepada $2.3 juta, berbanding tahun lalu.

Ini bermakna sekitar 4,300 keluarga dan 2,050 individu fakir miskin serta memerlukan akan mendapat manfaat pengagihan tersebut.

Tambahan 700 keluarga juga kini layak mendapat sokongan zakat mulai September ini, setelah ukur tara kelayakan untuk mendapatkannya dilonggarkan lagi.

Ini didedahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkilfli di majlis pengagihan habuan zakat, 'Rahmah Ramadan MUIS', lewat petang tadi (8 Jun).

LEBIH RAMAI AKAN LAYAK TERIMA ZAKAT

Menjelaskan lebih lanjut tentang kelonggaran mendapatkan bantuan zakat, Encik Masagos berkata MUIS akan meningkatkan kadar pendapatan keluarga per kapita atau PCI, dari $350 kepada $400.

Semakan ini dibuat kerana mengambil kira kenaikan dalam kos sara hidup dan kadar inflasi.

Dalam ucapannya, Encik Masagos memberi contoh keluarga-keluarga yang akan meraih bantuan zakat tersebut: "Sebagai contoh keluarga Encik A, seramai 6 orang tidak memenuhi had kelayakan kerana had gaji bulanannya, sebanyak S$2,400 telah melebihi PCI S$350."

"Namun dengan kenaikan kepada PCI S$400, keluarga mereka kini layak menerima agihan bulanan zakat. Insya Allah kenaikan ini akan dijalankan pada bulan September."

"Demi semakan ini, MUIS akan membuat peruntukan tambahan sebanyak S$1.6 juta bagi belanjawan zakat untuk asnaf fakir dan miskin," tambah beliau.

BONUS ZAKAT DITAMBAH

Dalam pada itu, Encik Masagos juga mengatakan bahawa MUIS menyemak dan memambah jumlah wang bonus yang diagihkannya menerusi wang zakat.

Menteri Masagos Zulkifli di majlis pengagihan zakat (Gambar: BERITAMediacorp/Ummu Rabbisyfina)

Seorang penerima bonus zakat akan mendapat S$150 manakal keluarga kecil akan mendapat S$400. Bagi keluarga yan gmempunyai antara 5-8 orang anak, MUIS akan memberikan mereka bonus S$700, sementara keluarga yang lebih besar daripada itu akan mendapat pemberian bonus zakat sebanyak S$1,000.

Beliau memberikan contoh keluarga Cik Aminah yang seramai sembilan orang. Bonus S$1,000 itu tambah beliau boleh digunakan untuk keperluan Ramadan dan juga persiapan Hari Raya.

Menerusi bantuan tersebut terang Encik Masagos, Cik Aminah yang sakit-sakit melahirkan rasa bersyukur kerana ia bukan sahaja meringankan beban kewangannya, malah juga "memberi sedikit keceriaan kepada anak-anaknya".

KUTIPAN TINGGI TANDA KEYAKINAN MASYARAKAT

Pada tahun lalu MUIS berjaya mengutip lebih S$44 juta dalam bentuk wang zakat.

"Saya rasa ini adalah satu refleksi sikap prihatin dan juga keyakinan masyarakat bahawa MUIS dapat mengagihkan zakat kepada semua asnaf dan saban tahun kami telus dengan agihan kami," kongsi ketua Unit Strategik Pembangunan Sosial, Cik Muzaiyanah Hamzah.

"Pungutan yang tinggi ini memberikan isyarat bahawa masyarakat yakin dengan tugas dan amanah yang dilakukan oleh MUIS kepada masyarakat," tambah beliau lagi.

Daripada jumlah itu sekitar S$20 juta diagihkan untuk asnaf fakir dan miskin menerusi pelbagai bantuan kewangan.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan