Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman terapeutik mesra demensia dibuka di Bukit Batok

Taman terapeutik pertama di Singapura yang mesra demensia dibuka hari ini (9 Dis) di kawasan kejiranan Bukit Batok, bertujuan untuk memberi sokongan emosi kepada para pesakit demensia serta warga senja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Dec 2018 07:37PM Dikemas Kini : 09 Dec 2018 10:56PM

SINGAPURA: Taman terapeutik pertama di Singapura yang mesra demensia dibuka hari ini (9 Dis) di kawasan kejiranan Bukit Batok.

Ia bertujuan untuk memberi sokongan emosi kepada para pesakit demensia serta warga senja.

Tanam-tanaman yang terdapat di sini bukan sesuatu yang biasanya anda lihat di sebuah taman masyarakat.

Beberapa daripadanya telah dipilih khas atas keupayaannya untuk merangsang deria, sementara yang lainnya dipilih kerana warnanya yang cerah atau rasanya yang unik.

Kesemua ini diletakkan di bawah satu bumbung bagi membantu pesakit demensia sekiranya mereka menjadi keliru.

"Ia adalah penting bagi mereka untuk juga boleh mengenal pasti sudut berbeza daripada tanam-tanaman ini. Jadi apabila mereka melihat sudut dengan bunga merah, mereka akan tahu 'ini adalah di mana saya berada'," kata Huang Jia-yeu, rakan kongsi syarikat penasihat binaan JYHa LLP.

Tanam-tanaman ini juga diletakkan secara sengaja di pelbagai ketinggian, bagi membolehkan mereka yang menggunakan kerusi roda untuk memegangnya dengan mudah.

Anggota Parlimen bagi kawasan itu, Dr Amy Khor berharap kemudahan itu akan memberi manfaat kepada generasi muda dan tua.

"Kami sedang bekerjasama dengan ITE Kolej Barat, dengan pelajar-pelajar mereka dan idea kami adalah untuk mengadakan program di mana mereka boleh datang dan membantu warga senja dengan menanam herba dan sebagainya. Kami juga akan bekerjasama dengan sekolah-sekolah berdekatan, jadi apabila mereka turun ke sini kami juga boleh menjalankan beberapa program antara golongan dua generasi," kata Dr Khor.

Dianggarkan 10 peratus penduduk yang berusia 60 tahun ke atas mengalami penyakit demensia di Singapura.

Jumlah tersebut dijangka meningkat dengan penduduk semakin tua.

Sekiranya taman mesra demensia ini diterima ramai dan 'popular' dalam kalangan penduduk di sini, Dr Khor merancang untuk meningkatkan jumlah taman sebegitu dalam kawasan undinya pada masa hadapan. 

Sumber : CNA/UR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan