Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman tema, kebun disarankan bagi pembangunan semula Daerah Jana Kuasa Pasir Panjang

Menara yang dibina menggunakan kontena perkapalan lama, kebun-kebun dan taman bertema adalah antara idea-idea yang disarankan bagi pembangunan semula Daerah Jana Kuasa Pasir Panjang (Pasir Panjang Power District); sebahagian rancangan Pemerintah untuk merubah kawasan Greater Southern Waterfront.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Jan 2020 09:08PM Dikemas Kini : 13 Jan 2020 09:14PM

SINGAPORE: Menara yang dibina menggunakan kontena perkapalan lama, kebun-kebun dan taman bertema adalah antara idea-idea yang disarankan bagi pembangunan semula Daerah Jana Kuasa Pasir Panjang (Pasir Panjang Power District), sebagai sebahagian rancangan Pemerintah untuk merubah kawasan Greater Southern Waterfront.

Satu pameran dilancarkan pada Isnin (13 Jan) mempamerkan saranan-saranan bagi pertandingan 'Power-Up Pasir Panjang', yang mengajak orang ramai membayangkan perubahan daerah tersebut dalam masa 15 hingga 20 tahun akan datang.

Pembangunan semula itu adalah langkah pertama merubah Greater Southern Waterfront, menurut Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Diumumkan pada Ogos lalu oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019, projek Greater Southern Waterfront akan merubah kawasan pesisir selatan Singapura sepanjang 30 kilometer menjadi kawasan tempat tinggal, riadah dan kerja.

Daripada 79 saranan yang diterima, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) memilih 10 pemenang.

"Kami teruja dengan idea-idea yang kami terima melalui pertandingan ini. Kerana ia memberikan kami bayangan lebih baik tentang pelbagai kemungkinan bagi Daerah Jana Kuasa itu," kata Encik Wong.

Konsep-konsep daripada saranan terpilih akan digabungkan dalam satu dokumen taklimat, tambah beliau.

Pihak pemaju akan memberi maklum balas terhadap dokumen taklimat itu dalam satu latihan Permintaan Maklumat yang juga dilancarkan hari ini.

SARANAN TERPILIH

Dianjurkan antara April hingga Jun 2019, pertandingan tersebut mengajak para peserta memberi saranan di bawah dua topik. Topik pertama adalah satu pelan induk bagi seluruh Daerah Jana Kuasa, yang kedua adalah untuk mencari kegunaan baru bagi Stesen Jana Kuasa A.

Daerah Jana Kuasa seluas 15 hektar terdiri daripada dua stesen jana kuasa A dan B yang tidak digunakan lagi, tangki minyak dan gas serta beberapa bangunan tambahan.

"Terdapat beberapa saranan baik ... ada yang menyarankan menukarnya menjadi kawasan pelbagai kegunaan, hotel, tempat acara, ruang pameran, taman dalam bangunan, kebun dalam bandar, taman bertema, ruang kerja mahupun ruang bagi industri kreatif," kata Encik Wong.

Pemenang bagi kedua-dua topik terbahagi kepada dua kategori - kategori pelajar pengajian tinggi dan kategori terbuka atau profesional bagi yang lain.

Empat pelajar peringkat sarjana memenangi tempat pertama dalam kategori pengajian tinggi. Antara pemenangnya ialah Nur Fadhilah Nordin, 22 tahun, yang seka bentuknya berkisar kepada cabaran awal Singapura dengan air.

"Pembangunan semula di Singapura tidak bermakna kita perlu memusnahkan kesemua bangunan-bangunan lama," kata Encik Wong.

"Di sini, kita boleh mengekalkan bangunan-bangunan bersejarah dan memberi nafas baru bagi stesen jana kuasa lama."

Maklumat lanjut bagi Permintaan Maklumat boleh didapati di laman URA.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan