Images
  • pasir panjang park
    Lakaran artis menunjukkan Taman Pasir Panjang yang dijadual dibuka secara bertahap-tahap mulai 2021. (Gambar: NParks)

Taman Pasir Panjang yang baru paparkan ciri semula jadi, sejarah kelautan daerah itu

SINGAPURA: Taman Pasir Panjang yang baru, dijadual dibuka secara berperingkat-peringkat mulai 2021, akan meliputi ciri-ciri yang membolehkan pengunjung mengalami sejarah alam semula jadi dan maritim kawasan tersebut. Demikian menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media pada Sabtu (17 Okt).

Taman yang mengajur dari Taman West Coast ke Hutan Simpanan Labrador itu adalah sebahagian daripada Kawasan Pesisiran Selatan (GSW).

Pasir Panjang dahulunya sebuah pantai pasir yang panjang. Kawasan itu melalui pembangunan pesat dari tahun 1970-an menerusi tambakan tanah dan pembangunan Terminal Pasir Panjang.

Dalam mereka bentuk taman baru tersebut, NParks mengadakan perbincangan dengan sekitar 170 pihak berkepentingan termasuk kumpulan penduduk dan kumpulan kepentingan umum antara 18 Januari hingga 31 Mei.

“Para pengunjung masa hadapan akan dibawa menyusuri sejarah Pasir Panjang melalui pertemuan secara kebetulan dengan artifak dan program yang disusun oleh masyarakat untuk masyarakat," menurut agensi itu.

Ini akan termasuk barang-barangan pelabuhan yang didermakan oleh PSA, yang akan diletakkan di beberapa tempat terpilih di taman itu.

Masyarakat juga memainkan peranan aktif dalam usaha menyusun serta mengadakan program di sebalik cerita Pasir Panjang.

“Lembaga warisan dan sebuah galeri warisan akan memaparkan sumbangan gambar-gambar lama oleh orang awam, membolehkan masyarakat untuk berkongsi cerita tentang Pasir Panjang lantas menggalak sumbangan serta perkongsian lanjut," tambah NParks.

LEBIH BANYAK CIRI SEMULA JADI

Tiga suku daripada pihak berkepentingan juga menyatakan ciri utama taman itu seharusnya tertumpu kepada ciri-ciri semula jadi dengan kurang penggunaan bahan buatan manusia.

Struktur di taman itu seperti tandas awam akan mempunyai bumbung yang hijau untuk membangkitkan penampilan halus daripada struktur buatan manusia, jelas NParks.


(Peta menunjukkan lokasi Taman Pasir Panjang. Gambar: NParks)

Sebagai mengenang kawasan pesisir pantai pasir itu sebelum pembangunan dijalankan, landskap taman baru tersebut akan merangkumi plot pasir di tengah-tengah tumbuh-tumbuhan pantai.

Ini akan diperkenalkan semula di lokasi yang tepat di pesisir pantai lama di sepanjang susur konkrit lama bersebelahan terusan, tambah NParks.

Selain itu, menurut agensi tersebut lagi, akan ada sebuah permainan taman semula jadi untuk menggalak kanak-kanak bermain dan mengalami rangsangan deria secara bebas.

Bahagian pertama Taman Pasir Panjang - dari MRT Pasir Panjang ke estet kediaman Jalan Pelepah - dijadual dibuka pada 2021. 

- CNA/FZ/fz

Top