Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Taman atas terusan Bukit Timah ciri koridor hijau baru

Sebuah taman jambatan akan dibina di atas terusan Bukit Timah, dedah Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Sabtu (31 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Aug 2019 12:32PM Dikemas Kini : 31 Aug 2019 10:44PM

SINGAPURA: Sebuah taman jambatan akan dibina di atas terusan Bukit Timah, dedah Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Sabtu (31 Ogos).

Kerja-kerja binaan bagi fasa pertama taman baru sepanjang 1.4 kilometer itu, dari Koridor Rel hingga Elm Avenue, akan bermula pada 2021 dan dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga tahun.

Taman jambatan itu adalah sebahagian daripada rancangan Lembaga Taman Negara (NParks) untuk membangunkan Koridor Hijau Bukit Timah-Rochor, sebuah laluan taman antara Bukit Timah Road dengan Dunearn Road.

Pada masa hadapan, koridor hijau itu mungkin dilanjutkan sehingga ke Kallang Riverside, dengan jarak keseluruhan sepanjang 11 kilometer.

Encik Wong berkata koridor hijau baru itu akan memainkan peranan sebagai laluan kehijauan penting yang menghubungkan tiga taman negara - Taman Tasik Jurong, Kebun Bunga Singapura dan Taman di Pesisiran - dan membantu memanfaatkan sepenuhnya ruang tersedia.

"Ruang ini diperuntukkan untuk kerja penyaliran air kami, yang biasanya tidak akan diganggu. Namun kini, kami akan bangunkan sebuah laluan taman di atas terusan supaya pengguna dipisahkan daripada trafik di bawahnya," kata Encik Wong.

Bercakap di bekas tapak stesen kereta api Bukit Timah, Encik Wong turut mengumumkan bahawa kerja-kerja memulihara stesen itu dan kawasan sekitarnya sudah bermula.

Bekas stesen kereta api itu terletak di hulu bahagian tengah Koridor Rel sepanjang 4 km dan berakhir di stesen MRT Hillview.

Menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan NParks, bangunan itu akan mengekalkan ciri-ciri asal laluan kereta api tersebut namun akan disesuaikan sebagai galeri warisan bagi membolehkan para pengunjung mengenali tentang sejarah stesen kereta api itu dan Koridor Rel. Agensi-agensi tersebut berkata kerja-kerja pemuliharaan akan dilakukan mengikut garis panduan.

Encik Wong berkata beberapa bahagian daripada selatan Koridor Rel itu, yang keseluruhannya berukuran sepanjang 4.2 km, sudah dibuka semula kepada orang awam.

Laluan sepanjang 11 km dari Bukit Timah ke Tanjong Pagar itu ditutup pada 2016 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sistem paip air oleh PUB.

Menjelang 2020, bahagian separuh Koridor Rel di selatan akan dibuka semula sepenuhnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan