Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahukah anda apa terjadi kepada ribuan barang tertinggal di masjid? Ini jawapannya...

Pernahkah anda terfikir apa yang berlaku kepada barang-barang yang tertinggal atau tercicir di masjid? Bagaimana para pegawai mengendalikan setiap aduan yang diterima?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bayangkan senario ini. Secara purata dalam setahun, sekitar 150 barang hilang atau tertinggal dijumpai di Masjid Yusof Ishak. Ini baru di sebuah masjid.

Katalah, jumlah yang sama juga ditemui di kesemua 70 masjid Singapura. Ini bermakna barang-barang peribadi yang ‘ditinggalkan’ secara tidak sengaja oleh para jemaah masjid-masjid tempatan - seperti jam tangan, kunci, telefon bimbit, cermin mata dan sebagainya - boleh menjangkau jumlah 10,000 setahun!

Kejadian keciciran/tertinggal/kehilangan barang ini seringkali berlaku selepas para jemaah menunaikan solat di masjid, atau selepas mengambil wuduk.

Pernahkah anda terfikir apa yang berlaku kepada barang-barang yang tertinggal atau tercicir di masjid? Bagaimana para pegawai mengendalikan setiap aduan yang diterima?

Khidmat ‘lost and found’ atau menyimpan barang yang tertinggal dalam tempoh tertentu sebenarnya sudah menjadi amalan lazim masjid-masjid tempatan. Ini mengikut garis panduan agama yang dipanggil ‘luqthoh’.

SETIAP JUMAAT, CUTI UMUM LEBIH BANYAK BARANG TERTINGGAL

Semasa BERITAmediacorp mengunjungi Masjid Yusof Ishak yang terletak di Woodlands Drive 17 baru-baru ini, kami dapat melihat sendiri bagaimana ia mengendalikan khidmat tersebut.

Kami diberitahu, dalam seminggu, pasti ada dua atau tiga kali barang tertinggal yang diserahkan ke meja penyambut tamu di aras satu masjid yang baru berusia dua tahun ini.

Ketua Jabatan Kanan, Khidmat Korporat Masjid Yusof Ishak, Laila Jamali memberitahu BERITAmediacorp, jumlah itu meningkat lebih kurang seganda setiap hari Jumaat dan pada cuti-cuti umum seperti Hari Raya.

“Selalunya pada hari Jumaat yang bila ramai yang datang solat di sini kan, bila masa mereka pergi ke tandas atau mengambil wuduk itulah masanya yang lebih kerap,” kata Cik Laila.

Antara barangan ‘hilang’ yang dianggap berharga dan seringkali ditemui termasuklah jam tangan dan cincin emas.

ADA PROSES TERATUR KENDALI BARANG HILANG

Sejak khidmat itu dimulakan pada April 2017, kira-kira 300 barang yang tertinggal di masjid itu. Daripada jumlah tersebut, masih ada hampir 90 yang belum lagi dituntut oleh pemiliknya, menurut masjid tersebut kepada BERITAmediacorp.

Masjid Yusof Ishak menyimpan barang-barang tertinggal itu sehingga setahun lamanya, kecuali makanan.

Jadi, untuk memastikan barang-barang tersebut dapat dipulangkan kepada pemiliknya dalam keadaan baik sekiranya dituntut kelak, pihak masjid mempunyai satu proses yang cukup teratur.

“Sekiranya jemaah masuk ke dalam pejabat kami menyerahkan barang-barang yang hilang atau pekerja kami sendiri yang hilang barang itu, kita akan membuat rekod haribulan yang dijumpai, pukul berapa kalau boleh, di mana tempatnya. Kemudian kita akan letakkan di dalam plastik dan kita akan labelkan barang-barang ini, keterangan barang itu, di mana haribulannya.

“Dalam masa yang sama, sekiranya ada yang datang menuntut barang mereka, kita akan meminta mereka menyatakan apakah barang yang mereka hilang, bila dan anggaran dalam pukul berapa. Jadi dari situ kita boleh cuba jejaki di mana barang itu,” tambah Cik Laila.

Barang-barang dalam simpanan itu juga dimasukkan ke dalam kotak-kotak berasingan mengikut kategori barangan. Ini bagi memudahkan proses mencarinya kemudian.

Cik Laila berkata, setakat ini, masih ada lebih kurang 80 barang tertinggal yang masih belum ditemui. Kemungkinan barang-barang tidak dituntut lebih tinggi jika ia tertinggal pada hari Jumaat atau cuti-cuti umum kerana jemaah lazimnya bukan penduduk Woodlands.

“Jika tak ada yang menuntut, kita (akan) membuat jualan amal dan memberikan kepada yang memerlukan,” ujar Cik Laila.

HILANG KUNCI! “BAGAIMANA PULANG KE RUMAH?”

Apabila ditanya, apakah antara barangan atau insiden aneh atau lucu yang pernah berlaku melibatkan barang tertinggal di masjid itu, Cik Laila berkongsi, seringkali beliau dan para pegawai yang lain akan tertanya-tanya sekiranya ada yang tertinggal kad-kad seperti EZ Link dan kad pengenalan atau kunci rumah.

“Bagaimana mereka pulang ke rumah atau bagaimana mereka membuka pintu rumah?” selorohnya sambil tersenyum.

Sekali-sekala, apabila ada jemaah yang tertinggal kad pengenalan namun tidak datang menuntutnya, pegawai masjid akan bertindak menjangkaui skop kerja mereka. Iaitu mereka akan ke balai polis membuat laporan bagi memulangkannya.

Beliau juga berkongsi satu lagi insiden lucu melibatkan seorang jemaah yang tertinggal telefon bimbitnya.

“Jemaah ini datang ke pejabat kami kemudian menanyakan barang, dia kehilangan telefon bimbit sebenarnya. Kemudian kita bantu untuk menelefon telefonnya. Jemaah lagi satu mengangkat telefon itu, dia sebenarnya ada di luar sedang cuba hendak keluar dari pekarangan tempat kereta.

“Waktu itu sedang ‘jam’ (sesak), jadi dia tidak dapat keluar dan tidak dapat balik semula ke masjid untuk kembalikan barang itu. Kami tunggu lama juga dalam setengah jam, kemudian jemaah yang kehilangan telefon itu dia keluar untuk ke tempat meletak kereta dan mendapatkan telefonnya kembali,” cerita Cik Laila.

Antara barangan 'tertinggal' yang disimpan Masjid Yusof Ishak. (Gambar: BERITAmediacorp)

MAHU BUAT JEMAAH RASA TENANG

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengesahkan bahawa khidmat menyimpan barang yang tertinggal di masjid adalah suatu khidmat nilai tambah.

Ia bukan hanya untuk memulangkan semula barang itu kepada pemiliknya, malah untuk mewujudkan rasa selesa dan tenang buat para jemaah yang tentu sekali akan resah apabila menyedari barang mereka ‘hilang’.

MUIS menambah, masjid-masjid setempat mengikut SOP atau prosedur operasi standard untuk menguruskan khidmat tersebut. Antaranya, membuat pengumuman kepada para jemaah tentang lokasi di mana mereka boleh bertanya tentang barang yang hilang.

Pihak masjid kemudian akan mengesahkan tuntutan yang dibuat dan sekiranya tiada langsung tuntutan dibuat selepas setahun, barang-barang dalam simpanan akan ditangani atau dihapuskan mengikut cara yang betul.

Para jemaah juga sentiasa diingatkan melalui pengumuman-pengumuman umum dan papan-papan tanda agar menjaga barangan peribadi mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan