Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahap profesionalisme ejen hartanah bertambah baik, tegas pemain industri

Tahap profesionalisme para ejen hartanah sudah menunjukkan peningkatan sejak tahun-tahun yang lalu menurut para pemain industri di tengah-tengah kritikan online bahawa sesetengah ejen gagal membantu pelanggan mereka dan bertindak atas kepentingan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Tahap profesionalisme ejen hartanah bertambah baik, tegas pemain industri

(Gambar fail: TODAY).

Diterbitkan : 23 Oct 2019 08:55AM Dikemas Kini : 23 Oct 2019 08:59AM

SINGAPURA: Tahap profesionalisme para ejen hartanah sudah menunjukkan peningkatan sejak tahun-tahun yang lalu menurut para pemain industri di tengah-tengah kritikan online bahawa sesetengah ejen gagal membantu pelanggan mereka dan bertindak atas kepentingan mereka.

Kritikan tersebut dibuat menyusuli kes melibatkan seorang ejen hartanah PropNex, James Ngu, yang didenda S$30,000 dan digantung lesen 12 bulan kerana berkelakuan tidak profesional dan beretika dalam satu urus niaga hartanah, menurut Majlis Agensi-Agensi Hartanah (CEA) pada Isnin (21 Okt).

Perbuatan Ngu menyebabkan pelanggannya mengalami kerugian sekitar S$20,000 hingga S$30,000, menurut majlis itu lagi.

"HANYA PENTINGKAN KOMISYEN"; ADUAN KE CASE MENINGKAT

Beberapa pengguna Facebook yang menulis di ruang komen rencana Mediacorp tentang kes Ngu berkata kes seperti itu bukan perkara baru. Mereka mendakwa telah mengalami urus niaga melibatkan ejen yang melakukan apa sahaja untuk mendapatkan komisyen lebih tinggi.

"Seperti pengalaman saya, terlalu ramai ejen hartanah yang tidak beretika dan tidak bersikap profesional," menurut pengguna Derrick Woon. "Mereka hanya mahukan wang."

Tann Chee pula menulis: "Saya tidak pernah ada pengalaman baik dengan ejen hartanah. .... Mereka tidak mengutamakan kepentingan anda. Mereka pentingkan komisyen anda sahaja."

Pengarah eksekutif Persatuan Pengguna Singapura (CASE) , Loy York Jiun memberitahu Mediacorp pada Selasa pihaknya menerima 153 aduan terhadap industri ejen hartanah sepanjang lima tahun lalu. Jumlah aduan meningkat daripada 29 pada 2017 kepada 37 tahun lalu.

Ini termasuk kegagalan menyediakan khidmat, seperti tidak membantu pelanggan dengan proses permohonan geran rumah dan membuat dakwaan mengelirukan seperti meminta komisyen daripada kedua-dua pembeli dan penjual - sesuatu yang tidak dibenarkan.

"PENINGKATAN TETAP" PIAWAI

Bagaimanapun seorang jurucakap CEA memberitahu Mediacorp pada Selasa ia mendapati "kemerosotan secara keseluruhan" dari 2017 ke 2018 bagi jumlah aduan berhubung ejen-ejen yang bertindak secara tidak beretika atau bertentangan dengan kepentingan pelanggan.

Beliau berkata kebanyakan aduan yang diterima pada 2018 melibatkan kelemahan khidmat yang tidak melanggar peraturan.

CEA menjelaskan, aduan berhubung ejen yang "tidak bertindak bagi pihak kepentingan pelanggan" merosot daripada 42 pada 2017 kepada 39 tahun lalu.

Aduan tentang ejen-ejen yang "tidak bertindak secara beretika dan adil terhadap pihak selain pelanggan" turut merosot daripada 43 kepada 26 dalam tempoh sama.

Jurucakap badan itu menarik perhatian kepada tinjauan pendapat umum pada 2018 yang menunjukkan para pelanggan lebih berpuas hati dengan ejen-ejen hartanah berbanding tahun-tahun yang sudah.

"Ini petanda industri telah membuat kemajuan dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan etika, dan dalam memperbaiki khidmat kepada pelanggan," menurut jurucakap itu.

"Namun seperti industri-industri lain, akan sentiasa terdapat individu atau syarikat yang membuat kesalahan. CEA tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah yang perlu dan langkah disiplin sewajarnya ke atas individu atau syarikat sedemikian." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan