Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahap penyebaran jangkitan pesakit COVID-19 tertinggi dalam minggu pertama: Kajian

Kemungkinan pesakit COVID-19 menjangkiti orang lain melalui udara dan permukaan yang tercemar adalah tertinggi pada minggu pertama beliau mengalami penyakit.

Anggaran Waktu Membaca:
Tahap penyebaran jangkitan pesakit COVID-19 tertinggi dalam minggu pertama: Kajian

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 10:33AM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 10:42AM

SINGAPURA: Kemungkinan pesakit COVID-19 menjangkiti orang lain melalui udara dan permukaan yang tercemar adalah tertinggi pada minggu pertama beliau mengalami penyakit.

Namun selepas minggu kedua, kemungkinan menjangkiti orang lain hampir tidak dikesan, kata para pengkaji di Singapura yang menguji sampel udara dan permukaan bilik-bilik hospital di mana pesakit COVID-19 dirawat.

Demikian hasil kajian baru-baru ini oleh para penyelidik dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Makmal Nasional DSO.

Hasilnya diterbitkan dalam jurnal santifik Nature Communications lewat bulan lalu.

Ia menyusuli kajian lebih awal dari Singapura pada Mac, yang menunjukkan bahawa para pesakit virus korona meninggalkan kesan virus secara meluas di bilik tidur dan bilik mandi mereka.

Kajian terbaru itu yang dapatannya diumumkan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat (19 Jun) - hanyalah yang kedua di dunia yang mengkaji taburan saiz zarah Sars-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19, dalam lingkungan udara di sekitar pesakit.

DAPATAN KAJIAN

Kajian mendapati bahawa pencemaran pada permukaan kerap disentuh adalah jauh lebih tinggi di bilik pesakit pada minggu pertama mereka dijangkiti.

Tahap pencemaran berkurangan dari masa ke masa.

Walaupun tujuh dari 30 pesakit itu tidak menunjukkan gejala semasa pengambilan sampel, kajian mendapati bahawa pesakit boleh meninggalkan kesan virus yang tinggi pada permukaan, tidak kira gejala mereka.

Permukaan lantai berkemungkinan paling tinggi tercemar (65 peratus), diikuti oleh ekzos saluran udara (60 peratus), susur katil (59 peratus) dan loker sisi tempat tidur (47 peratus).

Tempat duduk tandas dan butang pam tandas di bilik yang menempatkan lima pesakit didapati tercemar. Kesemua lima pesakit telah melaporkan gejala gastrousus dalam tempoh seminggu pengambilan sampel.

Tiada pencemaran permukaan dikesan di ketiga-tiga bilik ICU, yang menunjukkan bahawa pesakit dalam rawatan rapi kurang meninggalkan kesan virus kerana mereka biasanya sudah berada di mimggu kedua jangkitan, kata para pengkaji.

Tiga bilik di wad umum yang diuji bagi pencemaran udara juga menunjukkan hasil yang berbeza-beza.

ELAKKAN DISKRIMINASI PESAKIT YANG PULIH

Dr Kalisvar Marimuthu, seorang konsultan kanan di NCID dan penyelidik utama kajian itu, berkata dapatan tersebut menyokong kajian-kajian lain, yang menunjukkan bahawa pesakit COVID-19 tidak berjangkit selepas Hari Ke-11 penyakit.

Dapatan itu, katanya, juga menunjukkan bahawa virus itu wujud dalam saiz zarah yang cukup kecil untuk menunjukkan potensi penularan virus menerusi udara (aerosol). Tetapi ini saja tidak cukup untuk membuktikan bahawa virus korona itu boleh berjangkit menerusi udara, kerana "ketahanan virus di udara perlu dibuktikan", tambahnya.

Profesor Leo Yee Sin, pengarah eksekutif NCID, berkata bahawa dapatan epidemiologi bagi penularan COVID-19 sekarang juga tidak menunjukkan penularan melalui udara pada skala virus campak dan varicella, yang menyebabkan cacar air.

NCID, Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Makmal Nasional DSO sedang menyiasat jarak dan tempoh virus itu dapat berlegar di udara untuk mengetahui potensi jangkitannya menerusi udara.

Para pengkaji berkata hasil kajian mereka tidak hanya menunjukkan corak pencemaran udara dan persekitaran yang penting bagi meningkatkan piawai perubatan.

Ia juga membantu pihak berkuasa untuk memperbetul salah faham masyarakat mengenai ciri penularan virus itu dan "mengurangkan diskriminasi sosial terhadap pesakit yang dibenarkan pulang".


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan