Images
  • bas (1)
    (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

Tahap kepuasan penumpang terhadap pengangkutan awam tertinggi dalam 10 tahun: Tinjauan PTC

SINGAPURA: Tahap kepuasan penumpang terhadap pengangkutan awam meningkat pada 2018, menurut dapatan tinjauan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) pada Rabu (13 Feb).

Tinjauan Kepuasan Pelanggan Pengangkutan Awam yang dijalankan Oktober tahun lalu menunjukkan tahap kepuasan purata naik kepada 7.9 mata daripada 10 mata pada 2018, tertinggi dalam lebih 10 tahun dan naik daripada 7.7 pada 2017.

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan berkata bahawa dapatan tinjauan itu "memberi inspirasi" kepada para pekerja pengangkutan.

Beliau menambah bahawa para pekerja menyedari bahawa para pengguna pengangkutan mempunyai jangkaan yang tinggi dan mereka perlu "bekerja lebih keras dan bijak untuk menepati jangkaan tersebut".

Kadar responden yang berpuas hati dengan pengangkutan awam pada 2018 turut meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, ia meningkat kepada 97.9 peratus dari 94.5 peratus pada 2017.

Tahap kepuasan terhadap khidmat MRT meningkat,dari purata 7.5 mata pada 2017 kepada 7.9 mata pada 2018, menurut PTC.

Ciri-ciri khidmat seperti masa menunggu dan keandalan mencatatkan peningkatan terbesar dari 2017 hingga 2018, masing-masing naik daripada 7.0 ke 7.6 dan 6.7 ke 7.6.

Tahap kepuasan terhadap khidmat bas kekal 7.9 mata secara purata, menurut tinjauan itu.

Meskipun tahap kepuasan purata meningkat bagi cici-ciri khidmat seperti masa menunggu, masa perjalanan dan keandalan, kemudahan perhentian/stesen sebaliknya merosot pada tahun 2018.

- CNA/NA/na

Top