Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tahap 2 Laluan Thomson-East Coast bakal beroperasi mulai 28 Ogos

Selepas tertunda dua kali, Tahap 2 Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan mula beroperasi pada 28 Ogos, dedah Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Rabu (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2021 02:12PM Dikemas Kini : 30 Jun 2021 10:16PM

SINGAPURA: Selepas tertunda dua kali, Tahap 2 Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan mula beroperasi pada 28 Ogos, dedah Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Rabu (30 Jun).

Ini selepas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada April lalu bahawa ia telah menyerahkan enam stesen yang membentuk laluan sepanjang 13 kilometer - Springleaf, Lentor, Mayflower, Bright Hill, Upper Thomson dan Caldecott - kepada pengendali kereta api SMRT.

Pada masa itu, LTA menyatakan bahawa kerja-kerja sivil dan struktur kesemua enam stesen sudah siap, dengan beberapa kerja seni bina, elektrikal dan mekanikal masih dijalankan.

Pembukaan Tahap 2 TEL pada asalnya dijadualkan dibuka menjelang akhir 2020 tetapi ditangguhkan kepada penghujung suku pertama tahun ini disebabkan oleh penangguhan akibat pandemik COVID-19.

Selepas itu, gangguan selama lima jam pada Disember tahun lalu yang disebabkan kerosakan isyarat mendorong LTA untuk menyemak semula sistem itu lantas menunda pembukaannya kepada suku ketiga 2021.

Semasa melakukan lawatan ke stesen Caldecott, Encik Iswaran berkata laluan Thomson-East Coast (TEL) adalah contoh usaha menjadikan rangkaian pengangkutan awam Singapura "inklusif, mesra pengguna dan dapat diakses semua pengguna".

Memandangkan stesen Caldecott terletak berhampiran dengan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) dan Sekolah Lighthouse, Encik Iswaran berkata butang lif, tempat duduk di platform dan papan-papan tanda stesen itu mempunyai warna-warna yang lebih menonjol untuk membantu para pengguna kurang daya penglihatan.

Selain itu, tempat duduk di stesen itu akan dilengkapi tempat duduk bersandar dan juga pemegang tangan untuk manfaat warga tua dan pengguna yang mengalami masalah pergerakan.

Ia juga akan menyediakan sambungan perjalanan yang lebih baik serta masa perjalanan yang lebih singkat, tambah beliau.

"Lebih banyak keluarga kini akan tinggal lebih dekat dengan stesen MRT," kata Encik Iswaran sambil menambah bahawa pembukaan Tahap 1 dan Tahap 2 TEL akan membawa manfaat kepada sekitar 10,000 keluarga.

Beliau juga maklum bahawa pembinaan TEL lebih mencabar disebabkan pandemik COVID-19.

"Pembukaannya tidak akan dapat dilakukan tanpa kerja keras, keupayaan menyesuaikan diri dan pengorbanan peribadi semua teknisyen, jurutera dan kakitangan kami," kata Encik Iswaran.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja pengangkutan darat barisan hadapan di merata Singapura yang membolehkan kami terus bergerak di tengah-tengah COVID-19".

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan