Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tadika Masjid Kg Siglap terima Anugerah ECDA bagi daya inovasi projek Taman Khalifah

Tadika Masjid Kampung Siglap menjadi antara penerima Anugerah Inovasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kepujian) tahun ini daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tadika Masjid Kampung Siglap menjadi antara penerima Anugerah Inovasi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kepujian) tahun ini daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Kesemuanya, ECDA mengeluarkan 22 anugerah bagi mengiktiraf para pendidik dan pusat-pusat prasekolah yang menunjukkan semangat inovasi dan piawai profesionalisme yang tinggi.

Anugerah tersebut disampaikan pada Jumaat (13 Sep) di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec City.

APA INOVASI TADIKA MASJID KAMPUNG SIGLAP?

Pembelajaran di luar bilik darjah dapat menghasilkan pengalaman pelajaran yang lebih menyeluruh untuk kanak-kanak.

Lantaran itu tadika Masjid Kampung Siglap secara kreatif mendirikan sebuah taman di dalam pekarangan sekolah itu demi memupuk nilai kesedaran dan cinta terhadap alam sekitar dalam diri si cilik.

Lebih 20 jenis tumbuhan mengisi ruang taman di tadika Masjid Kampung Siglap itu, menjadikannya seperti sebuah 'kebun bunga mini'.

Diberi nama "Taman Khalifah", taman itu diusahakan murid-murid tadika itu dengan bantuan guru-guru mereka.

Di taman itu juga, murid-murid dapat menghidu dan menyentuh tumbuh-tumbuhan selain melihat pelbagai serangga yang singgah ke taman itu.

Ini sekali gus merangsang naluri ingin tahu dan membangunkan pemikiran mereka - suatu bentuk pembelajaran yang mungkin tidak dapat diraih menerusi sesi kelas biasa ataupun menerusi bahan-bahan bacaan sahaja.

"Mereka teruja apabila pertama kali kita ke dalam taman, mereka suka sangat melihat bunga yang berwarna-warni dan cerah. Mereka menanyakan soalan seperti "Rama-rama suka bunga atau daun yang berbau kuat?"

"Daripada situ baru kami memulakan aktivitinya. Kita tanam bunga di sini, buah-buahan di situ dan rempah-ratus di kawasan itu. Setelah itu, kita akan lihat ke manakah rama-rama akan menghinggap," menurut guru tadika K2 di masjid tersebut, Cik Salwaa Jumat.

MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA...

Sedang Singapura kini rancak membincangkan isu pemuliharaan alam sekitar dan kesan perubahan iklim, tadika Masjid Kampung Siglap nampaknya sudahpun mengamalkan falsafah 'kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya'.

Selain mempelajari tentang jenis-jenis tumbuhan dan serangga, murid-murid juga diajar tentang amalan kitar semula dan bahan-bahan mesra alam.

Maka itulah, sekitaran taman itu dihias menggunakan bahan-bahan dikitar semula seperti botol-botol plastik, tayar-tayar lama dan kotak-kotak 'styrofoam.

Malah, baja untuk tanaman juga dihasilkan sendiri menggunakan sisa-sisa makanan.

"Matlamat kami adalah untuk memupuk nilai kesedaran dan cinta terhadap alam sekitar ke dalam kanak-kanak prasekolah kami. Kami ingin anak-anak ini membudayakan nilai seperti penggunaan bahan mesra alam, pengitaran semula dan menghormati biologi yang ada di alam sekitar mereka," kata Pengetua Tadika Masjid Kampung Siglap, Cik Hadijah Abu Bakar.

Bukan setakat untuk para pelajar dan guru sahaja, taman itu juga cukup inklusif untuk melibatkan para ibu bapa dan sukarelawan agar menyumbang bahan-bahan dan kemahiran pertukangan.

Dek semua daya inovasi menarik yang diterapkan itulah, tadika Masjid Kampung Siglap terpilih menjadi pemenang Anugerah ECDA.

Orang ramai boleh mengunjungi projek 'Taman Khalifah' dan beberapa projek lain di pameran ECDA di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec City esok dan lusa (13 dan 14 September). 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan