Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

T5 akan dibina dengan cara pendanaan paling optimal, kata Indranee

Pembiayaan dana 'paling optimal' akan digunakan untuk membina Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi, kata Menteri Negara Kanan Kewangan Indranee Rajah di Parlimen hari ini (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
T5 akan dibina dengan cara pendanaan paling optimal, kata Indranee

Gambar: Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: FYROL MOHD/AFP)

Diterbitkan : 06 Feb 2018 12:30PM Dikemas Kini : 06 Feb 2018 12:36PM

SINGAPURA: Pembiayaan dana 'paling optimal' akan digunakan untuk membina Terminal 5 di Lapangan Terbang Changi, kata Menteri Negara Kanan Kewangan Indranee Rajah di Parlimen hari ini (6 Feb).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan dari Anggota Parlimen Parti Pekerja Pritam Singh.

Encik Singh meminta respons pemerintah mengenai komen CEO Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) Alexandre de Juniac yang berkata semalam bahawa pertubuhan itu 'menentang keras sebarang pembiayaan awal prasana' apabila diminta mengulas tentang laporan media yang mendakwa bahawa Singapura mungkin mengenakan bayaran terhadap para pengunjung bagi membantu membiayai kos pembinaan terminal baru itu.

Laporan Straits Times pada bulan lalu melaporkan bahawa para penumpang yang melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Changi mungkin dikenakan bayaran tambahan S$10 hingga S$15 bagi peluasan lapangan terbang itu, termasuk bangunan T5.

Caj bagi syarikat penerbangan, termasuk yuran untuk meletak pesawat dan pendaratan kapal terbang, juga dijangka meningkat sekitar 30 peratus, menurut laporan tersebut.

Menurut Cik Indranee, pemerintah masih lagi sedang dalam proses mencari 'cara paling optimal untuk membiayainya'.

"Kami tidak menolak cara-cara pembiayaan yang lain dan kami juga tidak tertakluk kepada satu-satu model saja," tegas beliau. "Pokoknya, kami akan cuba mencari cara paling optimal untuk berbuat demikian dan menampung kos itu berdasarkan satu tempoh masa.

Bagi projek-projek prasarana yang dibiayai umum, Cik Indranee menarik perhatian bahawa langkah-langkah yang menyeluruh sudah diambil bagi memastikan keberkesanan kos, dengan pemerintah menumpukan lebih banyak perhatian terhadap projek-projek yang berisiko atau tinggi nilainya.

Projek-projek yang nilainya melebihi S$100 juta akan diteliti dengan lebih terperinci oleh kementerian yang menyelia projek tersebut serta Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ia diluluskan.

Bagi projek-projek yang dianggarkan bernilai lebih S$500 juta seperti Terminal 5, ia akan melalui proses penilaian yang 'amat rapi dan teliti'. Ini melibatkan semakan di pelbagai peringkat oleh para pegawai kanan perkhidmatan awam, ahli akademik dan pengamal industri yang membentuk Panel Penasihat Projek Pembangunan (DPAP) sebelum diserahkan kepada Jawatankuasa Perancangan Pembangunan (DPC) yang terdiri daripada tiga menteri kabinet. 

Sumber : CNA/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan