Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sylvia Lim akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan

Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP) yang didapati oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi sebagai bertanggungjawab atas salah guna puluhan juta dana majlis bandaran, akan merayu terhadap keputusan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sylvia Lim akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan
Diterbitkan : 05 Nov 2019 11:03PM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 11:07PM

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP) yang didapati oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi sebagai bertanggungjawab atas salah guna puluhan juta dana majlis bandaran, akan merayu terhadap keputusan itu.

Pengerusi WP Sylvia Lim memberitahu sedemikian kepada Parlimen pada Selasa (5 Nov), menjelaskan bahawa beliau bersama pihak pembela lain Encik Pritam Singh dan Encik Low Thia Kiang sudah menyemak keputusan itu dengan peguam mereka dan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kannan Ramesh mengeluarkan keputusan bertulisnya pada 11 Oktober, menyatakan terdapat "kesangsian serius" berhubung kejujuran Cik Lim dan Encik Low, dan mereka gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka dalam melantik FM Solutions and Services (FMSS) sebagai ejen pentadbir Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).

Cik Lim berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh memfailkan rayuan dalam masa sebulan, atau selewat-lewatnya 11 November. Setelah keputusan mahkamah dikeluarkan, ketiga-tiga mereka sudah menulis di blog mereka bahawa mereka "sedang menyemak keputusan mahkamah dan akan mendapatkan nasihat dari peguam mereka".

"Kami masih mempunyai masa untuk melakukan sedemikian dan ia akan difailkan selewat-lewatnya 11 November," kata Cik Lim pada Selasa.

"Apa-apa keputusan oleh mahkamah perbicaraan adalah tertakluk kepada semakan Mahkamah Rayuan. Ini adalah prosiding sivil dan melibatkan unsur baru undang-undang (yang tidak mempunyai duluan).

"Bercanggah dengan apa yang saya rasa DPM (Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat) bayangkan, belum diputuskan lagi sama ada sebarang kerugian ditanggung majlis bandaran itu."

Cik Lim memberi penjelasan tersebut setelah Encik Heng membentangkan usulan pada Selasa, menyeru agar AHTC mengarahkan Cik Lim dan Encik Low "mengecualikan diri mereka" daripada semua hal kewangan berhubung AHTC.

Encik Heng berkata rayuan itu mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk dimuktamadkan, dan menarik perhatian kepada dapatan "sangan serius" tentang "ketidakjujuran anggota-anggota tertentu Dewan ini, dan salah guna serta kerugian dana awam".

"Persoalannya adalah apa yang akan dilakukan buat masa ini sebelum rayuan, jika ada rayuan dikemukakan," tambah beliau.

"Adakah Parti Pekerja akan memberi Dewan ini sebarang jaminan untuk menegakkan kebertanggunjawapan dan ketelusan antara sekarang sehingga rayuan?"

Cik Lim berkata Encik Heng bertindak secara "pramatang" dalam keputusannya untuk memfailkan usulan ini, semasa beliau menyeru Dewan untuk menolaknya.

"DPM Heng memfailkan usul pada waktu ini menunjukkan sesuatu, namun pramatang," kata beliau.

"Pemerintah PAP (Parti Tindakan Rakyat) jelas tidak sabar mengenai dapatan dan komen tertentu dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 11 Oktober. Dan ini adalah dapatan berhubung tindakan tertentu oleh sebilangan kita setelah Pilihan Raya Umum 2011."

Namun Cik Lim menegaskan Singapura mempunyai "struktur kehakiman" yang membolehkan pihak-pihak yang terjejas oleh keputusan Mahkamah Tinggi untuk memohon semakan oleh Mahkamah Rayuan.

"Mahkamah Rayuan ... akan menyemak dapatan semasa perbicaraan dan boleh mengesahkan, menolak atau meminda dapatan," kata beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan