Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syed Maffi didapati bersalah bunuh Atika Dolkifli, angkara telefon bimbit

Seorang lelaki berusia 28 tahun didapati bersalah atas tuduhan membunuh pada Selasa (21 Mei) dengan mencampak seorang wanita dari parapet tempat letak kereta bertingkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Syed Maffi didapati bersalah bunuh Atika Dolkifli, angkara telefon bimbit

Atika Dolkifli dibunuh pada 31 Ogos 2015 di Blok 146A Toa Payoh Lorong 2. (Petikan gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 21 May 2019 08:29PM Dikemas Kini : 22 May 2019 06:51AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 28 tahun didapati bersalah atas tuduhan membunuh pada Selasa (21 Mei) dengan mencampak seorang wanita dari parapet tempat letak kereta bertingkat.

Syed Maffi Hassan, yang meminta untuk dibicarakan, menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan rotan.

Pembunuhan tersebut berlaku pada 31 Ogos 2015. Syed Maffi mencampak Atika Dolkifli, seorang pelayan restoran Pizza Hut berusia 23 tahun ketika itu, dari parapet tempat letak kereta tingkat 5A di Blok 146A Toa Payoh Lorong 2 setelah kedua-duanya bertengkar tentang kos membaiki telefon bimbit.

Pada hari kejadian, tertuduh berjumpa dengan mangsa di tempat letak kereta tersebut pada kira-kira 9.50 malam setelah wanita itu selesai tugas syifnya.

Mereka pergi ke bumbung taman yang terletak di bangunan berkenaan kemudian bergaduh mengenai kos membaiki telefon bimbit yang dituntut Syed Maffi daripada wanita itu.

Syed Maffi menolak Atika, yang jatuh
lalu terhentak kepalanya di tangga, menurut Timbalan Pendakwa Raya Bhajanvir Singh.

Menurut dokumen mahkamah, Syed Maffi kemudian mengheret Atika turun tangga ke tingkat 5A dengan memegang bahagian ketiak wanita itu.

Mahkamah diberitahu, ketika itu, Atika separuh sedar dan sedang mengerang kesakitan. Tertuduh kemudian menggenggam erat bahagian kolar pakaian dan seluar mangsa sebelum mencampaknya dari parapet tempat letak kereta tersebut.

AMBIL TELEFON BIMBIT, BUANG BEBERAPA BARANG ATIKA YANG LAIN

Syed Maffi mengambil beberapa barangan Atika termasuk kasut kanannya serta kunci dan membuang benda lain ke dalam longkang.

Dia juga mengambil iPhone 6 Plus dari beg tangan mangsa sebelum meninggalkannya di dalam longkang berhampiran sebuah perhentian bas dan pulang ke rumah, di mana tertuduh membuang kad SIM telefon bimbit tersebut.

Bapa Atika membuat laporan polis sehari kemudian dengan mengatakan bahawa anaknya tidak pulang rumah semalaman.

Tiga hari selepas pembunuhan itu, seorang pejalan kaki menemui jasad Atika yang sudah reput di tingkat tiga tempat letak kereta berkenaan.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami luka pada kulit kepala serta kepala dan punca kematian adalah konsisten dengan kecederaan kepala.

Rakaman kamera litar tertutup CCTV menunjukkan Syed Maffi dan Atika berjalan masuk ke tempat letak kereta itu sebelum tertuduh kelihatan meninggalkan tempat itu seorang diri dengan membawa beg tangan mangsa sekitar 40 minit kemudian.

Penilaian psikiatri ke atas Syed Maffi mendapati dia tidak mengalami sebarang gangguan psikiatri atau penyakit.

Syed Maffi akan dijatuhkan hukuman pada satu tarikh kemudian.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan