Images
  • stone
    Hujan batu. (Gambar: Twitter/LauraPhenomenon) 

Sydney dilanda hujan batu sebesar bola tenis

SYDNEY: Bandar terbesar Australia sedang beransur pulih pada Jumaat (21 Dis) setelah petir dan hujan batu yang sebesar saiz bola tenis menghentam kereta-kereta.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran mengenai ribut dahsyat, tetapi kemusnahan akibat bencana alam itu sudah mencecah berjuta-juta dolar.

"Setakat jam 6.30 pagi, kami sudah menerima 15,000 tuntutan dan kemusnahan dianggarkan bernilai A$80 juta (S$78 juta)," menurut Majlis Insurans Australia kepada AFP.

Semasa ribut tersebut melanda, para penduduk Sydney hanya mampu melihat hujan batu yang berbentuk kubis bunga meremukkan cermin depan kereta dan menjadikan Pelabuhan Sydney seolah-olah kawah yang bergelora.

Ramai pemandu mendapatkan perlindungan di stesen-stesen minyak dan sesetengah peluncur berlindung di bawah papan lungsur mereka di Pantai Bondi.

Ribut hujan batu adalah sesuatu yang biasa berlaku di New South Wales, namun skala sebegini belum pernah dilihat sejak 1999.

Ketika itu, ribut hujan batu menimpakan kemusnahan bernilai A$1.7 bilion (S$1.65 bilion).

- AFP/NA/na

Top