Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat 'tetap harus waspada' bila kembali beroperasi: Josephine Teo

Sedang Singapura secara bertahap-tahap melangkah keluar dari tempoh pemutus rantaian jangkitan mulai 2 Jun, sebilangan pekerja melaporkan diarah majikan untuk kembali ke pejabat untuk bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat 'tetap harus waspada' bila kembali beroperasi: Josephine Teo

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 01 Jun 2020 04:35PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 04:40PM

SINGAPURA: Sedang Singapura secara bertahap-tahap melangkah keluar dari tempoh pemutus rantaian jangkitan mulai 2 Jun, sebilangan pekerja melaporkan diarah majikan untuk kembali ke pejabat untuk bekerja.

Ini meskipun menurut mereka yang ditemui Mediacorp, tugas mereka dapat dilakukan secara berkesan dari rumah sepanjang tempoh pemutus jangkitan COVID-19 sebelum ini, dan Pemerintah mengumumkan kedudukan jelas semua pekerja perlu terus bekerja dari rumah sepanjang fasa pertama pembukaan semula ekonomi, kecuali jika ada keperluan mendesak.

Malah, ada sebilangan kakitangan yang mendakwa majikan mereka tidak dapat memberi alasan kukuh untuk mereka kembali ke pejabat.

Beberapa pakar sumber manusia dan pemain industri menjelaskan apa yang patut dilakukan seorang pekerja yang menghadapi situasi sedemikian.

LAPOR KEPADA PIHAK BERKUASA JIKA RUNDINGAN DENGAN MAJIKAN GAGAL

Cik Amarjit Kaur, rakan kongsi di firma guaman Withers Khattar Wong, berkata sekiranya pekerja merasakan bahawa kembali ke tempat kerja adalah tidak wajar, mereka boleh mengambil langkah pertama dengan "menyampaikan keprihatinan khusus mereka mengenai kembali bekerja kepada majikan."

Sekiranya gagal, langkah seterusnya adalah memaklumkan pihak berkuasa, seperti Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) atau kepada Kementerian Tenaga Kerja (MOM) menerusi aplikasi SnapSAFE, tambah Cik Kaur.

Encik Leong Chee Tung, pengasas bersama syarikat teknologi sumber manusia, EngageRocket, berkata syarikat yang mengutamakan kehadiran fizikal pekerja di hadapan majikan perlu "menyemak semula" pandangan mereka dalam sistem pengurusan prestasi.

Beliau berkata memandangkan risiko kesihatan yang mungkin berlaku, "amat mengecewakan apabila mendengar adanya sebilangan pasukan atau syarikat yang terus beroperasi dengan cara ini".

Encik Ho Meng Kit, ketua pegawai eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura, meminta majikan supaya "memandang serius situasi ini".

“Pendekatan bertahap-tahap ini, dimulakan bagi memastikan penularan dalam masyarakat dapat dikawal dan dikendalikan dengan lebih baik.

"Ia langkah yang sukar tetapi perlu," katanya.

MAJIKAN KONGSI CABARAN DIHADAPI

Beberapa pemilik perniagaan yang dihubungi Mediacorp mengatakan mereka sedar hukuman bagi majikan yang melanggar peraturan dan akan mematuhinya. Namun pada masa yang sama, mereka turut faham mengapa sebilangan syarikat bersungguh-sungguh meminta pekerja kembali ke pejabat.

Mantan Anggota Parlimen (AP) Inderjit Singh, pengarah syarikat pemborong elektronik Tri Star Electronics, berkata perniagaan seperti syarikat beliau lebih cenderung "kembali normal", kerana 40 pekerjanya dapat menandatangani dokumen dan dapat berurusan lebih cekap lagi dengan orang ramai dari pejabat.

"Banyak syarikat akan mengatakan bahawa mereka telah cuba terbaik mungkin dan ia berjaya (sampai tahap tertentu), tetapi belum cukup cekap... saya tidak fikir semua syarikat sudah bersedia," kata Encik Singh, yang pernah menjadi AP GRC Ang Mo Kio bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari tahun 1996 hingga 2015.

Meskipun aturan bekerja dari rumah telah menyebabkan penjualan syarikatnya merosot 40 peratus, Encik Singh akan meneruskan cara kerja itu sejajar dengan keperluan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beberapa syarikat juga sedang cuba menyesuaikan aturan kerja mereka susuli penjelasan MOM pada Jumaat bahawa pekerja hanya harus kembali ke pejabat "jika tiada jalan alternatif".

Encik Kelvyn Chee, pengarah urusan pemborong fesyen Decks, berkata bahawa pada awalnya beliau berharap bahawa empat daripada 10 pekerjanya yang sebelum ini bekerja dari rumah dapat kembali ke pejabat semasa fasa pertama, kerana mereka boleh bekerja secara lebih produktif di sana dan menyuarakan keinginan untuk melakukan demikian.

Namun, beliau membatalkan rancangan ini setelah membaca penjelasan MOM. Ini meskipun kesan ekonomi COVID-19 ke atas syarikatnya bernilai ratusan ribu sepanjang dua bulan lalu.

Encik Singh berkata bahawa pelaksanaan fasa satu tidak akan membawa perbezaan kepada cara kebanyakan syarikat beroperasi semasa pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

"Kami tidak sabar untuk meneruskan operasi tetapi apabila melihat syarat-syarat yang dikenakan, hakikatnya kami tidak dapat melakukan demikian," katanya.

"Lebih tepat kalau mereka (pihak berkuasa) katakan kita harus lalui satu bulan lagi tempoh pemutus jangkitan."

Sumber : CNA/TQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan