Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat tempatan PropNex kukuhkan jenama di ASEAN; kini catat nilai $700 juta

Bak pepatah Melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bak pepatah Melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Begitulah kejayaan bukan calang-calang yang dikecapi CEO PropNex, Encik Ismail Gafoore.

Di bawah kepimpinan beliau, PropNex berjaya disenaraikan sebagai salah sebuah syarikat dalam bursa saham.

Bermula pada 1996 dengan hanya dua pekerja iaitu Ketua Pegawai Eksekutifnya sendiri, Ismail Gafoore dan isterinya, syarikat itu kini mempunyai 9,500 ejen rumah di Singapura sahaja.

PROPNEX MELUASKAN RANGKAIAN KE 4 NEGARA

Syarikat Singapura itu kini bernilai S$700 juta dan sudah meluaskan rangkaian pasarannya ke empat negara lain yang termasuk Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Vietnam.

Secara keseluruhannya, ia kini mempunyai lebih 12,000 ejen rumah.

"Sejujurnya, sebagai jenama tempatan Singapura, ia bukan mudah. Kami adalah syarikat SME. Bahkan 25 tahun lalu, syarikat ini ditubuhkan oleh saya dan isteri saya sahaja. Pencapaian terbesar bagi saya adalah ini. Pada 2018, apabila syarikat ini dimasukkan ke dalam senarai utama SGX. Saya amat gembira kerana hari ini, PropNex bukan sahaja satu jenama tempatan," menurut Encik Ismail.

PROPNEX JANA PENDAPATAN REKOD

Dalam pada itu, meskipun keadaan pasaran yang lebih sukar akibat COVID-19, PropNex menjana pendapatan rekod bernilai S$515.6 juta bagi tahun kewangan 2020.

Bahkan bagi tahun 2020, syarikat itu 'menghasilkan' seramai 30 ejen hartanah yang kini bergelar jutawan.

Para individu tersebut masing-masing meraih komisyen lebih S$1 juta dalam setahun.

PropNex adalah jenama Singapura kedua yang dipaparkan BERITAmediacorp dalam siri khas sempena Hari Kebangsaan, meraikan jenama-jenama Singapura yang sudahpun meraih pencapaian yang luar membanggakan.

Walaupun pada awalnya matlamat utama Encik Ismail hanyalah untuk mengukuhkan lagi jenamanya di rantau ASEAN, beliau kini mahu mengorak langkah lebih jauh lagi.

PROPNEX MENARIK PERHATIAN NEGARA ANTARABANGSA

Malah, beliau menjangkakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun PropNex bukan sahaja boleh menjadi sebuah jenama tempatan terbesar dan memiliki kedudukan kukuh dalam ASEAN tetapi juga bakal menjadi jenama bertaraf antarabangsa.

"Selain kehadiran di rantau ini, negara-negara sejauh Australia atau termasuk Timur Tengah di mana kami tidak menghantar sebarang pengiklanan, orang ramai mula mencari maklumat tentang kisah kejayaan PropNex. Sebagai sistem Singapura, syarikat yang ditubuhkan di Singapura dan mereka menginginkan sistem kami di negara masing-masing.

"Itulah testimoni mengenai apa yang kami sudah melakukan dan menambah nilai, dan secara amnya, kebanyakan orang amat mengalu-alukannya, apabila mereka mengetahui ia adalah prestasi Singapura dan kami berasa amat bangga," tambah Encik Ismail lagi.

Menurut Encik Ismail, Singapura memiliki kadar pemilikan hartanah tertinggi di dunia dan berharap rakyat Singapura mengambil pendekatan aktif dalam menjadikannya sebagai satu aset yang berharga.

RAMAI RAKYAT S'PURA LABUR DI LUAR NEGARA

Beliau berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa ramai rakyat Singapura yang turut melabur dalam hartanah-hartanah di Malaysia dan juga Vietnam.

Selain itu, para pemaju Singapura juga sedang membangunkan projek-projek perbandaran dan kondominium-kondominium di Kemboja, di mana PropNex dilantik sebagai agensi pasaran.

Lantaran ini, rakyat Singapura juga membeli hartanah di beberapa negara ASEAN itu dan di situlah Encik Ismail melihat adanya satu peluang keemasan.

"Disebabkan PropNex sudah meluaskan rangkaian ke negara-negara ini, kami dapat membantu klien rakyat Singapura kami untuk memahami bukan sahaja tentang produk-produk mereka tetapi lebih penting lagi membantu rakyat Singapura mengendalikan pelaburan hartanah mereka itu," kata Encik Ismail. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan