Images

Syarikat tempatan boleh manfaatkan S$30,000 pertingkat sistem HR

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang ingin mempertingkat sistem sumber manusia (HR) kini boleh mendapatkan sokongan tambahan, setelah Program Transformasi Teknologi HR (HRTTP) diperluas untuk membantu 50 syarikat.

Ini menyusuli percubaan yang dilakukan tahun lalu melibatkan 10 syarikat.

Di bawah program itu, syarikat-syarikat boleh menerima pembiayaan sehingga S$30,000 bagi khidmat-khidmat runding cara dalam mengubah pekerjaan.

"Teknologi HR boleh menjadi pemangkin bagi karyawan HR untuk memberi nilai strategik kepada perniagaan mereka," kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad.

"Dalam hal itu karyawan HR boleh mengukuhkan syarikat masing-masing dengan menimba kemahiran penting seperti kecekapan digital untuk meningkatkan penggunaan data bagi memahami keperluan perniagaan."

"Jawatan-jawatan dan proses pekerjaan HR juga perlu diubah untuk memanfaatkan sepenuhnya huraian teknologi HR," beliau tekankan lagi.

Sebuah wadah bantu diri dilancarkan untuk membimbing syarikat-syarikat dalam mengubah pekerjaan.

Tujuannya untuk membantu para karyawan HR agar lebih memahami wadah-wadah teknologi yang mungkin sesuai bagi tempat kerja mereka.

Wadah interaktif itu disediakan di laman Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura.

Syarikat makanan dan minuman Fei Siong Group Management adalah antara yang sudah melakukan uji cuba.

Fei Siong Group telah beralih kepada kursus-kursus singkat menerusi telefon bimbit.

Ini menjimatkan masa selain meningkatkan keberkesanan latihan.

- CNA/ZM/tq

Top