Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat katering, khidmat perkahwinan sekali lagi terkena tempias peraturan ketat tapi...

Berita pagi tadi pasti mengejutkan ramai bakal mempelai. Berkuat kuasa lusa (16 Mei), majlis persandingan tidak akan dibenarkan selama sekitar sebulan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berita pagi tadi pasti mengejutkan ramai bakal mempelai. Berkuat kuasa lusa (16 Mei), majlis persandingan tidak akan dibenarkan selama sekitar sebulan.

Namun selain bakal mempelai, antara yang sangat terpukul pastinya adalah syarikat-syarikat katering dan khidmat perkahwinan.

"Para pelanggan panik. Sebaik berita keluar, telefon saya tidak henti-henti berdering seperti yang saya jangkakan," kata pemilik syarikat Charisma D'venue, Cik Salwah Baharudin.

Cik Salwah memberitahu BERITAmediacorp, sekitar 25 pasangan yang melanggani khidmatnya, terjejas oleh peraturan-peraturan lebih ketat yang baru diumumkan pada Jumaat (14 Mei).

Sungguhpun demikian, kurang 20 peratus sahaja pelanggannya meminta wang mereka dikembalikan buat masa ini - sesuatu yang Cik Salwah sifatkan sebagai lebih baik berbanding sebelumnya.

"Kita sudah menjangkakannya... dah boleh terima. Reaksinya itu, rasa terkejutnya itu, tidak sama seperti pertama kali kami melaluinya," tambah beliau.

Malah, syarikat Cik Salwah kini sudah bersedia untuk membuat beberapa penyesuaian untuk para pelanggannya.

MAJLIS AKAD NIKAH MASIH BOLEH DIADAKAN TAPI...

Namun demikian pemerintah menyatakan ia maklum akan ada pasangan-pasangan pengantin yang sudahpun merancang persandingan pada Ahad ini (16 Mei) akan terjejas dan sukar untuk mereka melakukan perubahan saat-saat akhir.

Pasangan sebegitu boleh meneruskan majlis mereka menurut pemerintah kerana ini adalah acara sekali seumur hidup bagi mereka. Tapi untuk majlis-majlis pada Ahad ini sahaja.

Sebelum peraturan baru itu, majlis perkahwinan boleh dianjurkan untuk 100 orang tanpa menjalani ujian COVID-19 dan sehingga 250 tamu jika menjalani ujian COVID-19 terlebih dahulu.

Di bawah peraturan lebih ketat, majlis akad nikah masih boleh berlangsung. Jika ujian COVID-19 tidak diatur bagi para tetamu, majlis boleh dihadiri sehingga 50 orang. Semua ini terkandung di bawah langkah "Fasa 2 (Waspada Dipertingkat)", menurut pemerintah.

Majlis bagaimanapun masih boleh dihadiri sehingga 100 orang sekiranya mereka menjalani ujian COVID-19 sebelum menghadiri majlis akad nikah.

Inilah 'kelonggaran' yang membolehkan syarikat-syarikat seperti Charisma D'venue melakukan penyesuaian.

"Mempelai masih boleh adakan majlis akad nikah... kami juga boleh sediakan mereka tempat, dekor dan segalanya. Mereka boleh merakamkan detik-detik penting akad nikah," terang Cik Salwah.

"Cuma mengenai makanan dan minuman, kita hanya boleh sediakan 'bento'."

Makan minum di majlis seperti ini sememangnya tidak dibolehkan sama sekali sehingga 13 Jun. Sama seperti di tempat-tempat makan, orang ramai tidak boleh makan di luar.

TANGGUH ACARA, BAYAR BALIK BUKAN SATU-SATUNYA JALAN KELUAR

Satu lagi jalan keluar yang Cik Salwah sarankan kepada bakal mempelai adalah untuk menangguhkan hari istimewa mereka tetapi ia ternyata bukan huraian terbaik bagi sesetengah mempelai.

"Ada pihak yang sudah banyak kali menangguhkan rancangan mereka kerana mereka ingin menyesuaikan diri kepada keadaan. Saya faham rasa kecewa mereka sehingga mereka tidak mahu menangguhkan lagi rancangan," ujarnya.

"Kita kini ada norma baru, dan saya mengingatkan para pelanggan bahawa situasi sekarang tidak seperti dahulu. Apa yang kita rancang tidak semestinya akan terjadi. Kita harus sesuaikan diri kepada situasi yang cepat berubah. Jadi kita perlu cari jalan keluar terbaik bagi kedua-dua pihak (antara mempelai dan penyedia khidmat perkahwinan)."

Cik Salwah turut menegaskan, meminta wang dikembalikan tidak semestinya satu-satunya jalan keluar.

"Seberapa teruk mereka (mempelai) terjejas, kami juga terjejas. Pandemik ini menjejas semua orang. Jika mereka ingin bercakap tetang kerugian, dalam perniagaan, kami pun mengalami kerugian," katanya.

Cik Salwah menganggarkan pendapatan syarikatnya akan merosot antara 50 hingga 80 peratus. Ini membuat beliau mengutamakan cara untuk memastikan syarikatnya terus bertahan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan