Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat jual kereta bakal tarik balik sekatan waranti bagi bolehkan bengkel bebas bersaing

Syarikat-syarikat penjual kereta bersetuju untuk menarik balik sekatan-sekatan ke atas waranti dan dokumen-dokumen berkaitan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Dec 2017 04:00PM Dikemas Kini : 11 Dec 2017 11:12PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat penjual kereta bersetuju untuk menarik balik sekatan-sekatan ke atas waranti dan dokumen-dokumen berkaitan.

Demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Persaingan Singapura (CCS) hari ini (11 Dis).

Suruhanjaya itu menyatakan demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan setelah memuktamadkan siasatan ke atas bekalan bahagian-bahagian kereta di Singapura.

Menerusi dapatannya, CCS menyatakan ia bimbang tentang para penjual yang mewajibkan para pelanggan mendapatkan khidmat penyenggaraan dan pembaikan kereta daripada bengkel yang diluluskan bagi memastikan waranti terus sah.

"Untuk menangani perkara ini, CCS menyuarakan kebimbangan tersebut kepada syarikat-syarikat penjual kereta dan bekerjasama dengan mereka untuk menarik balik sekatan itu daripada waranti-waranti dan dokumen-dokumen berkaitan," menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan medianya.

Semua syarikat penjual kereta sudahpun bersetuju untuk mengubah syarat-syarat pada waranti-waranti sedia ada dan juga waranti baru yang akan dilaksanakan menjelang 31 Disember.

Menurut CCS sekatan-sekatan sedemikian menghalang para pemilik kereta daripada mendapatkan khidmat dari bengkel-bengkel bebas sekaligus menyekat keupayaan untuk bersaing dengan sihat dengan bengkel-bengkel yang bertauliah.

Sekatan-sekatan itu juga membolehkan para penjual kereta untuk membatalkan waranti-waranti jika kereta pernah disenggara atau dibaiki oleh bengkel bebas.

CCS menambah dengan perubahan itu, para penjual kereta dibenarkan untuk membatalkan waranti atau menolak tuntutan hanya sekiranya kerosakan yang dituntut di bawah waranti tersebut disebabkan oleh bengkel bebas.

Siasatan itu dijalankan untuk lebih memahami operasi pasaran bahagian kereta dan kesan ciri-ciri persaingan pasaran.

Satu lagi dapatan CCS adalah kegiatan import dan pengedaran bahagian kereta secara borong lazimnya sengit. Bahagian-bahagian kereta boleh diperolehi dari banyak pembekal di Singapura dan luar negara, menurut suruhanjaya itu.

Meskipun terdapat bekalan terhad bagi bahagian-bahagian yang jarang sekali digantikan atau model-model tertentu kereta, menurut CCS ini disebabkan oleh jumlah kecil pembeli dan penjual di pasaran.

CCS juga mendapati maklumat teknikal, peralatan dan peralatan diagnostik disediakan.

Ini meskipun para pembuat kereta dan penjual yang bertauliah tidak membekalkannya kepada bengkel-bengkel bebas.

"Ini kerana bengkel-bengkel bebas lazimnya boleh mendapat akses kepada alternatif-alternatif berdaya maju seeperti yang dibekalkan oleh para pembekal peralatan pihak ketiga," menurut CCS.

Sumber : CNA/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan