Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat, isi rumah dan bank perlu kekal waspada di tengah-tengah ketidaktentuan: MAS

Syarikat, isi rumah dan bank-bank Singapura perlu terus berwaspada dan bersikap cermat dengan ramalan ekonomi yang tidak menentu, nasihat Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat, isi rumah dan bank perlu kekal waspada di tengah-tengah ketidaktentuan: MAS

Latar langit kawasan perniagaan di Singapura. (Foto: AFP/ROSLAN RAHMAN)

Diterbitkan : 01 Dec 2020 03:06PM Dikemas Kini : 01 Dec 2020 03:11PM

SINGAPURA: Syarikat, isi rumah dan bank-bank Singapura perlu terus berwaspada dan bersikap cermat dengan ramalan ekonomi yang tidak menentu, nasihat Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (1 Dis).

Meskipun sistem ekonomi kekal berdaya tahan sewaktu krisis COVID-19 sejauh ini, proses pemulihan ekonomi yang berlarutan membawa risiko tekanan kewangan, kata bank pusat itu dalam penilaian kestabilan kewangan tahunannya.

Pandemik COVID-19 meninggalkan kesan teruk ke atas ekonomi Singapura, yang tahun ini dijangka mencatat kemelesetan terburuk dengan penguncupan 6 hingga 6.5 peratus.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan minggu lalu menyatakan pihaknya menjangkakan pemulihan pada 2021, dengan pertumbuhan 4 hingga 6 peratus.

Sungguhpun begitu, MAS memberi amaran tentang "ramalan peningkatan tidak menentu" yang akan "menjejas pekerjaan dan keuntungan korporat".

"Risiko tekanan kewangan tetap wujud dalam tempoh pemulihan yang berpanjangan ini. Oleh itu, sikap terus berwaspada dan berhati-hati diperlukan," tulisnya.

RISIKO BAGI PERNIAGAAN LEBIH LEMAH

Dalam penilaiannya bagi sektor korporat, MAS menyatakan firma-firma tempatan telah mengharungi kejutan pendapatan awal pandemik itu dengan "agak baik".

Namun, kemerosotan keuntungan korporat dan hutang yang semakin meningkat memburukkan risiko hutang.

Misalnya, hutang korporat sebagai peratusan hasil dalam negeri kasar (GDP) meningkat kepada 163 peratus pada suku kedua menyusuli hutang korporat yang lebih tinggi dan kemerosotan GDP, menurut laporan itu. Ini berbanding sekitar 150 peratus pada 2019.

Kebanyakan firma dijangka dapat mengatasi tekanan jangka pendek terhadap kedudukan kewangan mereka, walaupun bank pusat itu menyatakan syarikat yang mempunyai hutang lebih besar dan syarikat yang lebih kecil dengan sandaran tunai lebih lemah kekal terdedah kepada risiko dan mungkin mengalami tekanan yang lebih teruk.

BANK AKAN HADAPI KEADAAN MENCABAR

Beralih ke sektor kewangan, MAS menyatakan bank-bank mungkin akan menghadapi keadaan operasi yang mencabar dalam jangka masa terdekat.

MAS juga menggesa pemberi pinjaman untuk terus berwaspada terhadap syarat-syarat baru lebih ketat pembiayaan global dengan memantau dan menguruskan risiko mata wang asing mereka secara berhemah.

Kadar faedah rendah pula akan memberi kesan kepada syarikat insurans yang harus mengawasi kedudukan kemampuan bayar mereka, sambil mengambil pendekatan berhati-hati dan berpandangan ke hadapan untuk pengurusan modal, kata MAS.

ISI RUMAH PERLU CERMAT

Bank pusat menarik perhatian kedudukan kewangan isi rumah "agak sihat" pada awal pandemik ini. Antara lain, ia disebabkan oleh penimbal kewangan yang dibangunkan pada tahun-tahun sebelum ini.

Pemindahan kewangan pemerintah, serta langkah-langkah yang dilaksanakan bersama industri kewangan, mengurangkan kesan kemerosotan pekerjaan dan pendapatan yang mendadak pada separuh pertama tahun ini, tambahnya.

Namun sedang pertumbuhan hutang isi rumah secara keseluruhan mendatar, risiko hutang meningkat sedang kemerosotan GDP suku ketiga yang mendadak mengakibatkan kenaikan sementara dalam nisbah hutang-GDP.

Memandangkan prospek pemulihan yang berpanjangan dalam pasaran tenaga kerja, MAS menggesa isi rumah untuk berhati-hati ketika mengambil hutang baru dan melakukan pembelian hartanah.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan