Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat didenda S$190,000 selepas pekerja maut ketika memotong pokok

Sebuah syarikat yang menyediakan khidmat penyelenggaraan landskap didenda S$190,000 pada Selasa (24 Sep) setelah seorang pekerjanya maut ketika menjalankan kerja-kerja memotong pokok, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat didenda S$190,000 selepas pekerja maut ketika memotong pokok

(Gambar: MOM)

Diterbitkan : 25 Sep 2019 03:26PM Dikemas Kini : 25 Sep 2019 03:34PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat yang menyediakan khidmat penyelenggaraan landskap didenda S$190,000 pada Selasa (24 Sep) setelah seorang pekerjanya maut ketika menjalankan kerja-kerja memotong pokok, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sin Eng Cleaning Services (Sin Eng) dilantik untuk menebang enam pokok selama tempoh beberapa minggu pada awal Ogos 2015. Pokok-pokok tersebut terletak di tapak milik pemerintah yang kosong di belakang 62 Jalan Kheam Hock.

Pada 27 Ogos 2015, pekerja Sin Eng, Chinniah Ganeshan ditugaskan bersama dua pekerja lain untuk memotong sebahagian daripada salah satu pokok tersebut.

Warga India itu sedang menggunakan gergaji untuk memotong sebahagian pokok tersebut apabila bahagian yang dipotong jatuh dan terkena beliau.

Beliau terjatuh dari pokok itu, namun berada dalam keadaan tergantung di udara dengan abah-abahnya sekitar 23 meter di atas tanah.

Beliau akhirnya diturunkan oleh pekerja dari syarikat kontraktor landskap lain yang berdekatan, namun meninggal dunia akibat kecederaan pada dada dan leher di tempat kejadian hampir dua jam kemudian, menurut MOM.

Siasatan lanjut mendapati Sin Eng gagal menjalankan penilaian risiko yang mencukupi dan menetapkan prosedur yang selamat.

"Siasatan mendedahkan bahawa rancangan asal Sin Eng adalah untuk mangsa menggunakan kren lori yang dipasang dengan keranjang kerja untuk menjalankan tugas yang diberikan," kata MOM. "Namun kerana terdapat struktur yang menyekat akses kren itu, Sin Eng mengarahkan pekerja itu untuk menggunakan kaedah mengakses pokok secara manual."

Bagaimanapun risiko berkaitan dengan penggunaan kaedah ini - seperti kegagalan alat akses pokok dan dahan pokok yang patah - tidak dikenalpasti atau dikurangkan, menurut kementerian itu.

Para pekerja sebaliknya dibiarkan sahaja untuk menentukan bagaimana untuk menyelesaikan tugas itu sendiri.

"Pekerja yang maut ialah satu-satunya pemanjat pokok bertauliah di Sin Eng," tambah MOM. "Apabila kejadian itu berlaku, tiada pemanjat pokok berkebolehan yang dapat memberinya bantuan."

Sin Eng "amat membahayakan" keselamatan para pekerjanya apabila ia gagal mengenal pasti dan menangani risiko berkenaan, kata Pengarah Keselamatan Pekerjaan dan Inspektorat Keselamatan MOM, Sebastian Tan.

"Proses pengurusan risiko amat penting memandangkan terdapat perubahan dalam kaedah kerja," katanya. "Kemalangan itu boleh dicegah jika pihak majikan mengkaji penilaian risiko mereka, melaksanakan langkah-langkah kawalan untuk kaedah kerja baru itu dan menyampaikan langkah-langkah ini kepada para pekerjanya."

Para Anggota Parlimen menyeru supaya layanan lebih baik diberikan kepada para pekerja asing yang cedera, sedang Parlimen meluluskan Akta Pampasan Kecederaan Pekerjaan yang dipinda pada awal bulan ini.

Seramai 41 orang meninggal dunia pada tahun 2018 selepas mengalami kecederaan di tempat kerja.

Jumlah keseluruhan kecederaan di tempat kerja meningkat daripada 12,498 kes pada 2017 kepada 12,810 kes pada 2018, iaitu peningkatan kira-kira 2.5 peratus.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan