Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat boleh pertimbang langkah potong gaji sementara bagi selamatkan kerja: NWC

Syarikat-syarikat yang sudah melaksanakan segala bentuk langkah penjimatan kos harus mempertimbangkan untuk melaksanakan potongan gaji sementara selagi perlu bagi mengurangkan pemberhentian pekerja, demikian menurut Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) pada Jumaat (16 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Oct 2020 05:48PM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 09:21PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang sudah melaksanakan segala bentuk langkah penjimatan kos harus mempertimbangkan untuk melaksanakan potongan gaji sementara selagi perlu bagi mengurangkan pemberhentian pekerja, demikian menurut Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) pada Jumaat (16 Okt).

Potongan gaji itu juga perlu bergantung pada prestasi dan ramalan bagi syarikat itu serta perusahaan dengan beban potongan gaji itu tidak dipikul oleh mana-mana kumpulan pekerja sahaja, menurut NWC.

Ia menambah bahawa pihak pengurusan harus memimpin usaha itu melalui teladan.

"Potongan gaji itu juga harus dihentikan apabila keadaan perniagaan membenarkannya berbuat demikian," demikian menurut NWC dalam garis panduan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Garis panduan yang dikemas kini itu, yang berkuat kuasa mulai 1 November hingga 30 Jun tahun depan, bertujuan mengekalkan perniagaan dan menyelamatkan pekerjaan dalam keadaan yang mencabar akibat krisis COVID-19.

GARIS PANDUAN BAGI MELAKSANAKAN POTONGAN GAJI

Majlis itu menetapkan beberapa prinsip utama bagi syarikat-syarikat yang melaksanakan potongan gaji, termasuk menetapkan majikan mengamalkan Sistem Gaji Fleksibel dan memanfaatkan pelbagai fleksibiliti yang diperuntukkan di bawah komponen struktur gaji yang berubah-ubah.

Di bawah sistem itu, komponen berubah-ubah harus meliputi 30 peratus daripada pakej gaji tahunan pekerja bukan eksekutif, 40 peratus bagi pekerja peringkat pengurusan pertengahan dan 50 peratus bagi pekerja peringkat pengurusan kanan.

Potongan sementara pada gaji asas juga boleh dipertimbangkan selepas penyesuaian sedemikian dilakukan jika perlu untuk mengelakkan pemberhentian kerja, menurut NWC.

NWC juga menggesa syarikat-syarikat yang belum lagi mengamalkan Sistem Gaji Fleksibel supaya berbuat demikian. Menururtnya sebarang potongan gaji yang sudah dilaksanakan boleh dianggap sebagai penyesuaian pada komponen berubah-ubah.

Ia juga menggesa pihak pengurusan supaya menerajui usaha itu menerusi teladan dengan menerima potongan gaji lebih awal dan jumlah lebih tinggi supaya ada penjimatan kos, dan menyeru syarikat-syarikat yang membayar gaji tambahan tahunan - lazimnya bonus bulan ke-13 - untuk meneruskannya jika boleh.

BEKU BUKAN POTONG GAJI BAGI PEKERJA BERGAJI RENDAH

Majlis itu juga mengulangi seruannya supaya pertimbangan khas dibuat bagi pekerja bergaji rendah dan menggalak majikan membekukan gaji pekerja bergaji rendah yang mendapat gaji asas bulanan sehingga $1,400.

Ia juga menyatakan bahawa meskipun cadangan untuk mengurangkan sumbangan CPF majikan dipertimbangkan, kata sepakat yang diperolehi adalah untuk tidak berbuat demikian.

Ia menambah langkah potongan sedemikian adalah "tidak wajar" dan ia tidak akan mengambil kira keadaan berbeza-beza yang dialami setiap syarikat dan pekerja, di samping mempunyai kesan tidak seimbang terhadap pekerja tempatan.

Pemerintah menerima garis panduan yang ditetapkan oleh NWC, dengan Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Aubeck Kam berkata pihak berkuasa komited untuk menghulurkan bantuan kepada pekerja yang terjejas oleh krisis COVID-19.

Encik Kam berkata meskipun jika majikan mahu elakkan daripada perlu melaksanakan pemberhentian pekerja, jika perlu, mereka harus merujuk kepada Nasihat Tiga Pihak berhubung Pengurusan Tenaga Manusia Berlebihan dan Pemberhentian Secara Bertanggungjawab yang dikemas kini dan diiktiraf NWC.

Ia akan diumumkan pada Sabtu (17 Okt).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan