Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarikat AS dikenakan 91 tuduhan tidak bayar gaji 24 pekerja di S'pura

Wayne Burt Precision Techologies, syarikat pengeluar peralatan minyak dan gas yang berpangkalan di Singapura menghadapi 91 tuduhan kerana tidak membayar gaji kepada 24 pekerjanya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Syarikat AS dikenakan 91 tuduhan tidak bayar gaji 24 pekerja di S'pura

Petikan skrin laman syarikat Wayne Burt Precision Technologies.

Diterbitkan : 30 Nov 2017 04:54PM Dikemas Kini : 30 Nov 2017 04:57PM

SINGAPURA: Wayne Burt Precision Techologies, syarikat pengeluar peralatan minyak dan gas yang berpangkalan di Singapura menghadapi 91 tuduhan kerana tidak membayar gaji kepada 24 pekerjanya.

Demikian menurut kenyataan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (30 Nov).

Syarikat tersebut berhutang tiga hingga empat bulan gaji kepada para pekerja yang terjejas, yang secara keseluruhannya bernilai S$185,000, menurut kenyataan tersebut.

Ini bukan kali pertama Wayne Burt Precision Technologies gagal membayar gaji pekerja tepat pada waktunya. Syarikat tersebut didapati bersalah dan didenda S$17,500 pada 24 November tahun lalu bagi kesalahan yang sama.

Dalam kes terbaru ini, MOM menyatakan ia sudah melakukan siasatan selepas diberitahu oleh Persatuan Pekerja Industri-Industri Besi bahawa anggotanya tidak menerima gaji. Para penyiasat mendapati syarikat berkenaan tidak membayar gaji antara Disember 2016 dengan Mac tahun ini.

Kementerian itu turut menyatakan bahawa ia membantu para pekerja berkenaan untuk mendapatkan semula gaji tertunggak itu serta sumbangan CPF bagi pekerja tempatan.

Syarikat berkenaan dan semua pengarahnya juga diharamkan daripada mengambil pekerja asing.

"Syarikat ini sudah membayar gaji pekerjanya lewat, meskipun sebelum ini pernah didapati bersalah atas kesalahan yang sama. Ini tidak boleh diterima," tegas Pengarah Penguatkuasaan Piawai Pekerjaan MOM Raymond Tan Choon Guan, yang menambah bahawa melewatkan pembayaran gaji akan menambah beban kewangan ramai pekerja.

'MOM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas kepada pesalah berulang," tekan Encik Tan.

Pesalah berulang yang gagal untuk membayar gaji kepada para pekerja tepat pada masanya boleh didenda antara S$6,000 dengan S$40,000 bagi setiap tuduhan.

Para pekerja yang tidak mendapat gaji harus membuat aduan kepada MOM, Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian, ataupun kesatuan buruh untuk mendapatkan bantuan secepat mungkin bagi melunaskan gaji tertunggak mereka, menurut kementerian itu.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan