Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Syarat bagi perjalanan S'pura-M'sia termasuk notis jangan keluar rumah 7 hari, ujian COVID-19

Warga dan penduduk tetap Malaysia dengan pas kerja Singapura yang layak memasuki Singapura di bawah Aturan Perjalanan Berkala (PCA) harus menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sekurang-kurangnya tujuh hari dan mengambil ujian swab COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Syarat bagi perjalanan S'pura-M'sia termasuk notis jangan keluar rumah 7 hari, ujian COVID-19

Pemandangan Koswe dari Johor Bahru (Gambar fail: Wong Pei Ting/TODAY)

Diterbitkan : 01 Aug 2020 09:53PM Dikemas Kini : 01 Aug 2020 09:58PM

SINGAPURA: Warga dan penduduk tetap Malaysia dengan pas kerja Singapura yang layak memasuki Singapura di bawah Aturan Perjalanan Berkala (PCA) harus menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sekurang-kurangnya tujuh hari dan mengambil ujian swab COVID-19.

Ini adalah antara langkah-langkah yang diumumkan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) pada Sabtu (1 Ogos), ekoran perjanjian antara kedua-dua negara untuk membuka permohonan bagi perjalanan rentas sempadan mulai 10 Ogos.

PCA akan membolehkan penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan kerja untuk memasuki negara satu sama lain untuk bekerja.

Mereka harus tinggal di negara tujuan sekurang-kurangnya 90 hari sebelum kembali untuk cuti pulang.

Mereka juga hanya dibenarkan masuk atau keluar melalui dua pusat pemeriksaan darat - di Woodlands atau Tuas.

Permohonan PCA, yang dibuka mulai tengah hari 10 Ogos, harus dihantar oleh majikan bagi pihak pekerjanya sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum mereka masuk.

Satu lagi skim perjalanan rentas sempadan - Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) - adalah bagi perjalanan jangka pendek sehingga 14 hari, untuk perjalanan perniagaan dan rasmi.

Mereka yang melakukan perjalanan di bawah RGL harus memohon Pas SafeTravel atau pas perjalanan selamat sebelum memulakan perjalanan, menurut ICA di laman webnya. Ia harus ditaja oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura atau sebuah agensi pemerintah.

ATURAN PERJALANAN BERKALA

Bagi mereka yang diluluskan untuk memasuki Singapura di bawah PCA, mereka harus menjalani SHN sekurang-kurangnya tujuh hari, menurut ICA.

Buat masa ini, semua pengunjung yang memasuki Singapura harus menjalani SHN selama 14 hari .

SHN di bawah PCA harus dilakukan di hotel, apartmen servis atau kediaman untuk satu orang, tambah ICA.

"Penginapan bersama hanya dibenarkan hingga empat orang, dengan syarat kumpulan pekerja berkenaan tiba di Singapura pada hari yang sama dan menggunakan permohonan PCA yang sama," tambahnya.

Setelah melepasi imigresen di Singapura, mereka harus menggunakan pengangkutan peribadi mereka, bas privet yang hanya membawa penumpang Malaysia di bawah SHN, atau teksi dan kereta sewa privet terus dari pusat pemeriksaan ke tempat kemudahan SHN mereka.

Mereka tidak boleh menaiki kereta api atau bas awam.

Pekerja boleh mula bekerja dan menaiki pengangkutan awam hanya setelah mereka diuji negatif COVID-19.

Majikan atau pekerja akan menanggung kos ujian swab dan penginapan mereka selama tempoh SHN.

Maklumat lanjut mengenai PCA boleh didapati di sini.

LALUAN HIJAU TIMBAL BALIK

Selain merentasi pusat pemeriksaan darat, pengunjung di bawah RGL boleh melakukan perjalanan antara lapangan terbang di Singapura dan Malaysia yang melakukan penerbangan langsung antara kedua-dua negara.

Mereka harus mengambil ujian COVID-19 dalam masa 72 jam sebelum berangkat, dan mendapatkan sijil ujian negatif dari makmal yang diiktiraf. Sijil ini harus ditunjukkan di negara yang dituju.

Satu lagi ujian swab akan dilakukan, dan pengunjung harus tinggal di tempat penginapan yang diisytiharkan sehingga keputusan negatif didapati.

Apabila mereka diisytiharkan bebas COVID-19, pengunjung tersebut kemudian boleh meneruskan jadual perjalanan yang diisytiharkan sebelumnya.

"Syarikat atau agensi pemerintah tuan rumah bertanggungjawab untuk memastikan pengunjung mematuhi jadual terkawal yang telah ditetapkan," kata ICA.

Pengunjung tanpa Pas SafeTravel yang sah tidak akan dibenarkan masuk ke Singapura.

Maklumat lanjut mengenai PCA boleh diperolehi di sini.

Sebelum sekatan perjalanan COVID-19 dilaksanakan, lebih 300,000 orang melakukan perjalanan ulang alik melalui Koswe setiap hari, menjadikannya salah satu lintasan sempadan darat yang paling sibuk di rantau ini.

Singapura dan Malaysia telah membincangkan untuk menyambung semula sebahagian perjalanan, sedang kedua-dua negara secara bertahap-tahap memulakan semula ekonomi masing-masing.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan