Images
  • surd
    (Gambar: Calvin Oh)

SUTD perkenalkan program penyelidikan mahasiswa pertama S'pura

SINGAPURA: Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) melancarkan program penyelidikan bagi para mahasiswa, yang pertama seumpamanya di Singapura.

Program Kepujian dan Penyelidikan SUTD, atau SHARP, adalah program 3.5 tahun yang boleh disertai di samping kerja kursus sedia ada untuk mendapatkan ijazah.

Para mahasiswa akan diberikan geran S$15,000 untuk menghasilkan projek-projek penyelidikan dalam bidang-bidang seperti penerbangan dan kecerdasan buatan.

Mereka juga berpeluang menghadiri program bekerja sambil belajar di luar negara di institusi-institusi seperti Universiti Zhejiang dan Universiti Carneige-Mellon.

Di bawah program itu, para pelajar akan menjalani kelas-kelas lanjutan dalam tahun pertama bagi menajamkan asas dan pengetahuan mereka dalam subjek-subjek penting.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan seorang pembimbing menerusi projek-projek penyelidikan yang dibiayai sepenuhnya.

Program mahasiswa itu adalah yang pertama seumpamanya di universiti tempatan. Kursus-kursus berasaskan penyelidikan biasanya dijalankan di peringkat pos-siswazah.

Para mahasiswa yang menjalani program SHARP akan dibimbing untuk menghasilkan idea-idea penyelidikan yang boleh diteroka lebih lanjut jika mereka memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pos-siswazah.

SUTD percaya program itu boleh membantu para mahasiswa membangunkan kemahiran penting bagi menangani isu-isu dalam ekonomi yang pantas berubah.

Bagaimanapun, SUTD menetapkan kriteria yang ketat. Para pemohon mesti mencatatkan sekurang-kurangnya dua gred A dalam subjek Matematik dan Sains di peringkat H2 atau serupa untuk melayakkan diri.

Para mahasiswa juga mesti mengekalkan Purata Nilai Gred (GPA) minimum 3.5 untuk terus mengikuti program tersbeut.

Hanya 20 pemohon daripada 500 mahasiswa baru yang memasuki universiti itu akan diterima buat masa ini, namun SUTD berharap untuk meningkatkan bilangan itu kepada dua kali ganda di pada masa hadapan.

KURIKULUM FLEKSIBEL

Para mahasiswa tahun pertama yang menyertai SUTD pada Mei ini juga berpeluang memilih untuk terus diletakkan di bawah sistem bebas gred sepanjang tahun pertama pengajian mereka.

Sebelum ini, sistem itu hanya digunakan bagi subjek-subjek dalam penggal pertama.

Presiden SUTD Profesor Chong Tow Chong berkata perubahan itu akan memberi para mahasiswa lebih banyak masa untuk melakukan kegiatan lain serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran akademik.

Pilihan itu adalah serupa dengan sistem yang diperkenalkan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2016, yang membolehkan gred untuk lapan daripada 10 modul dikecualikan bagi mahasiswa tahun pertama. 

- CNA/AI/ai

Top