Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suspek rompakan StanChart boleh diekstradisi ke S'pura: Mahkamah Britain

Seorang hakim Britain memutuskan bahawa warga Kanada, David Roach, suspek dalam kes rompakan bank Standard Chartered pada 2016 boleh diekstradisi ke Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Suspek rompakan StanChart boleh diekstradisi ke S'pura: Mahkamah Britain

Suspek rompakan bank Standard Chartered, David Roach. (Gambar: Nation TV)

Diterbitkan : 30 Aug 2018 08:00AM Dikemas Kini : 30 Aug 2018 08:05AM

LONDON/SINGAPURA: Seorang hakim Britain memutuskan bahawa warga Kanada, David Roach, suspek dalam kes rompakan bank Standard Chartered pada 2016 boleh diekstradisi ke Singapura.

Hakim tersebut menolak cabaran Roach terhadap perintah ekstradisi ke Singapura atas sebab hak asasi manusia, menurut koresponden Olly Barrett.

Kes tersebut diserahkan kepada Setiausaha Negara Britain bagi keputusan muktamad, yang dijangka akan dibuat dalam sebulan.

"Mahkamah Britain memberi keputusannya hari ini dalam perbicaraan ekstradisi berkaitan David James Roach, suspek dalam rompakan Bank Standard Chartered," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama.

"Mahkamah sudah memutuskan bahawa syarat-syarat permohonan ekstradisi Singapura di bawah undang-undang Britain sudah dipenuhi. Maka itu, kes itu diserahkan kepada Setiausaha Negara bagi memberi kata putus tentang sama ada Roach akan diekstradisi ke Singapura."

"Pihak berkuasa Singapura bekerja rapat dengan pihak berkuasa Britain berkaitan langkah selanjutnya dalam hal ini."

Suspek rompakan hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada Rabu (29 Ogos) untuk mendengar keputusan kes ekstradisinya.

Pada Februari lalu, pihak berkuasa Singapura bersetuju dengan permintaan Britain supaya tidak merotan Roach sekiranya dia didapati bersalah, sebagai sebahagian daripada perbicaraan ekstradisi.

Roach, 28 tahun, disyaki mencuri S$30,000 daripada sebuah cawangan bank Standard Chartered di Holland Village pada Julai 2016.

Roach melarikan diri ke Thailand di mana dia dipenjara selama 14 bulan kerana gagal mengisytiharkan jumlah besar wang tersebut. Singapura meminta pihak berkuasa Thailand supaya mengekstradisi Roach ke Singapura untuk menghadapi dakwaan. Namun, Thailand memutuskan untuk mengusir Roach ke Kanada.

Roach dalam perjalanan ke Kanada apabila dia ditahan di Lapangan Terbang Heathrow London oleh para pegawai polis dari unit ekstradisi pada 11 Januari.

Singapura membuat permohonan ekstradisi ke atasnya bagi satu tuduhan merompak dan satu lagi tuduhan pelaburan wang haram.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan