Images
  • handcuff (2)
    Gambar fail seseorang digari. (Gambar: Reuters) 

Suspek dadah panjat keluar tingkap flat semasa serbuan CNB

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki seorang pesalah dadah diberkas pada Khamis (13 Jun) setelah dia memanjat keluar dari sebuah flat lalu menuruni blok HDB di Sin Ming Avenue sedang pihak berkuasa melancarkan serbuan.

Suspek adalah antara enam lelaki rakyat Singapura yang diberkas dalam kes berkenaan, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataannya pada Jumaat. Sekitar 1,206 gram Ice, 891 gram ganja dan 137 pil Ecstasy bernilai kira-kira S$143,000 dirampas CNB dalam serbuan tersebut.

Dua suspek pertama diberkas dalam lif di tingkat pertama blok berkenaan di Sin Ming. Dadah dirampas daripada mereka sebelum para pegawai membuat persediaan untuk menyerbu sebuah flat di tingkat 12.

Suspek berusia 38 tahun itu dilihat membuang beberapa barangan dari tingkap dapur.

"Tidak lama kemudian, dengan tidak mempedulikan keselamatan dirinya dan orang lain, suspek mula memanjat keluar lalu turun dari unit itu yang terletak di tingkat 12," menurut CNB.

Dia memasuki sebuah flat di tingkat 9 di mana dia diberkas.

Dua lagi suspek yang terbabit dalam kes itu diberkas semasa serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan Marine Vista. Para pegawai CNB turut memberkas suspek yang digiring ke apartmen privet sewa di sekitar Robey Crescent dekat Hougang.

Ganja dirampas daripada kedua-dua unit itu, menurut CNB.

Kes ini adalah sebahagian daripada operasi merata negara yang dijalankan dari Isnin hingga Jumaat. Sejumlah 115 suspek pesalah dadah diberkas, menurut biro itu.

Selain Sin Ming, operasi CNB itu turut meliputi kawasan-kawasan seperti Balestier, Boon Lay, Buangkok, Bukit Batok, Eunos, Marsiling, Sembawang, Whampoa, Woodlands dan Yishun.

Siasatan ke atas kegiatan dadah kesemua suspek masih diteruskan.

- CNA/ZM/tq

Top