Images
  • Singapore

Suspek dadah 17 tahun maut terjatuh dari tempat tinggi 'tidak dianiaya' semasa disoal siasat CNB

SINGAPURA: Suspek kes dadah berusia 17 tahun yang meninggal dunia setelah terjatuh daripada tempat tinggi, tiga bulan setelah dia didakwa di mahkamah, diberi layanan secara "profesional dan adil" semasa siasatan dijalankan, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Jumaat (22 Okt).

CNB menambah bahawa siasatan dalaman menunjukkan "tiada penganiayaan berlaku" ketika dia dalam tahanan.

Suspek yang dikenal pasti oleh CNB sebagai Justin Lee, diberkas pada Februari lalu. Dia didakwa dengan tuduhan mengedar dadah pada Jun dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Dia meninggal dunia pada 16 September setelah terjatuh daripada tempat tinggi.

CNB melancarkan siasatan berhubung bagaimana Justin dilayani dan disoal siasat setelah ibunya, Cecilia Ow, mendakwa bahawa anaknya dianiaya sepanjang proses itu. Pada awal bulan ini, beliau mendedahkan secara terbuka surat yang ditulis kepada Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam, di mana beliau meluahkan perasaannya setelah kehilangan anaknya yang membunuh diri.

Semasa mendedahkan hasil siasatannya pada Jumaat, CNB turut mendedahkan bahawa ujian toksikologi yang dijalankan menyusuli kematian remaja itu menemui bahan LSD dan nitrazepam dalam air kencing dan darahnya. LSD adalah dadah terkawal Kelas A yang tersenarai dalam Akta Penyalahgunaan Dadah.

Hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian disebabkan oleh pelbagai kecederaan dialami yang konsisten dengan kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi, menurut CNB, sambil menambah bahawa hasil dapatan itu akan diserahkan semasa siasatan koroner.

PENANGKAPAN

Dalam kenyataan terperinci yang dikeluarkan pada Jumaat, CNB menyatakan bahawa ia menjalankan siasatan pada Januari lalu setelah seseorang disyaki mengedar lembar LSD dan mengiklankannya secara terbuka menerusi sebuah aplikasi pengiriman mesej.

Menyusuli penangkapan Justin pada 3 Februari, CNB menjalankan operasi susulan pada keesokan hari di mana 131 lembar LSD dirampas daripada satu lagi lokasi.

"Siasatan menunjukkan bahawa 131 lembar LSD itu adalah milik Justin. Dia mengaku bahawa lembar LSD itu untuk dijual, termasuk kepada teman-temannya. Dia juga mengaku bahawa dia sendiri menggunakan lembar LSD itu," menurut CNB.

Apabila dia diberkas, Justin "memberi kerjasama" dan tidak meronta-ronta, menurut CNB. Para pegawai memegangnya semasa dia digari dan menggiringnya ke beberapa lokasi sepanjang siasatan dijalankan.

Ini adalah prosedur operasi standard bagi mencegah suspek daripada meloloskan diri atau mencederakan diri mereka sendiri dan tiada kekerasan yang keterlaluan digunakan terhadap Justin, menurut CNB.

JUMLAH PEGAWAI DIKERAHKAN

Menyusuli penangkapan Justin pada 3 Februari, CNB menyatakan sembilan pegawai dikerahkan ke rumahnya bagi operasi susulan pada hari yang sama.

Enam daripada sembilan pegawai memasuki unitnya setelah dibenarkan untuk berbuat demikian oleh Cik Ow, yang turut hadir ketika itu, menurut CNB.

Justin kemudian dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan CNB di Ibu Pejabat Divisyen Polis Bedok.

TIADA PENGANIAYAAN KETIKA DALAM TAHANAN: CNB

Ketika ditahan dalam lokap, rakaman CCTV menunjukkan bahawa dia diberikan selimut, menurut CNB.

CNB menambah bahawa dia juga diberikan makan, termasuk minuman semasa dia dalam tahanan - kedua-duanya pada Februari dan Jun. Dia juga dimaklumkan tentang haknya untuk meminta barang-barang itu jika dia mahu.

Berdasarkan soal siasat bersama para pegawai, Justin juga tidak ditolak air semasa dia dalam tahanan, bertentangan dengan dakwaan yang dibuat, menurut CNB.

"Malah, kesemua suspek kes dadah diberikan bekalan air yang secukupnya supaya mereka boleh memberikan spesimen air kencing untuk menjalani ujian dadah," menurut agensi tersebut.

DIBEBASKAN DARI TAHANAN

CNB juga menyatakan bahawa kes Justin disiasat sepanjang tempoh yang "munasabah" dan dia dibebaskan daripada tahanan "tanpa berlengah".

CNB turut menyatakan bahawa bagi suspek-suspek muda yang disiasat bagi kes-kes bukan hukuman mati, ia akan memastikan para suspek dibebaskan daripada tahanan "secepat mungkin".

Bagi kes Justin, CNB menyatakan bahawa penangkapannya pada 3 Februari dijalankan pada kira-kira pukul 7.25 malam dan rumahnya digeledah dari sekitar 9.00 malam hingga 9.20 malam.

Selepas ujian air kencing, rakaman keterangan lanjut dan pencarian lebih terperinci dan dokumentasi harta benda peribadi, Justin dimasukkan ke dalam lokap pada sekitar pukul 1.30 pagi keesokan hari.

Dia dibenarkan berehat sebelum soal siasat pertama yang dirakam pada waktu hampir tengah hari pada 4 Februari. Menyusuli penemuan 131 lembar LSD, soal siasat kedua yang dirakam dijalankan dari sekitar pukul 7.30 malam hingga 8.00 malam.

Selepas soal siasat yang kedua, Justin dibenarkan menghubungi ibunya pada sekitar pukul 8.50 malam dan dibebaskan dengan ikat jamin kira-kira pukul 10.40 malam pada 4 Februari, menurut CNB.

Menurut CNB, kali terakhir ia berhubungan dengan Justin adalah pada 23 Jun di mana dia disuruh untuk melaporkan diri ke ibu pejabat CNB untuk didakwa.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin pada sekitar pukul 7.50 malam itu.

"Apabila Justin dibebaskan dari tahanan, dia menandatangani kenyataan untuk mengesahkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang aduan. Ini adalah kali terakhir CNB berhubungan dengannya," menurut agensi itu.

Remaja itu didakwa di mahkamah pada 24 Jun dan dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah.

- CNA/HA/ha

Top