Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suri rumah 34 tahun dikenakan Arahan Penahanan ISA

 Seorang suri rumah warga Singapura yang juga merupakan bekas guru agama sambilan yang sebelum ini dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini dikenakan Arahan Penahanan (OD) setelah tingkah lakunya didapati semakin bertambah radikal.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang suri rumah warga Singapura yang juga merupakan bekas guru agama sambilan yang sebelum ini dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini dikenakan Arahan Penahanan (OD) setelah tingkah lakunya didapati semakin bertambah radikal.

Demikian menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam kenyataan medianya pada Rabu (9 Jun), yang turut mengumumkan bahawa seorang lagi individu warga Singapura dikenakan RO, manakala dua lagi dibebaskan dari tahanan kerana didapati tidak lagi menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

RUQAYYAH RAMLI: MAKIN RADIKAL, ENGGAN SERTAI PROGRAM PEMULIHAN SEJAK RO

Individu pertama, Ruqayyah Ramli, 34 tahun, sebelum ini dikenakan RO di bawah ISA pada Ogos 2020. Ini setelah dia didapati terpengaruh oleh suaminya.

Siasatan pada waktu itu mendapati Ruqayyah menyokong hasrat suaminya, Mohd Firdaus Kamal Intdzam, warga Malaysia berusia 33 tahun, untuk menyertai kumpulan ISIS dan peperangan di Iraq dan Syria.

Ruqayyah malah sanggup menemani suaminya ke medan konflik untuk menjaga anggota keluarga dan membantu anggota ISIS yang cedera.

Menurut ISD, suaminya, Mohd Firdaus dihantar pulang ke Malaysia pada Ogos 2020. Pada 15 April, Mahkhamah Tinggi Malaysia menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun ke atasnya atas kesalahan memiliki bahan-bahan propaganda yang berkaitan dengan pengganasan.

Pada Rabu, ISD menyatakan Ruqayyah semakin bertambah radikal dan pelibatannya dalam "kegiatan yang menggugat keselamatan Singapura" turut meningkat sejak dikenakan RO.

Seseorang yang dikenakan RO perlu mematuhi beberapa syarat dan sekatan. Ini termasuk tidak boleh menukar alamat atau pekerjaan mahupun ke luar negara tanpa kebenaran Pengarah ISD. Mereka juga tidak boleh mengakses internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, berucap dalam mesyuarat secara lisan ataupun menerusi bahan cetakan dan menyumbang artikel kepada sebarang penerbitan. Selain itu, mereka tidak boleh memegang jawatan atau menganggotai mana-mana badan atau kumpulan tanpa kelulusan Pengarah ISD.

"Ruqayyah enggan berusaha sedaya upaya untuk menyertai program pemulihan dan tetap berpegang kepada kepercayaan radikalnya. Dia masih menyokong tindakan ganas ISIS dan taksub kepada penggunaan keganasan terhadap apa yang disifatkannya sebagai musuh Islam," menurut kenyataan yang dikeluarkan ISD hari ini (9 Jun).

ISD menambah, Ruqayyah melanggar syarat-syarat RO dengan terus "berhubungan secara online dengan para penyokong ISIS di luar negara yang merupakan kenalan Firdaus."

"Maka itu, dia ditahan untuk mencegahnya daripada terjerumus lebih jauh ke jalan radikal yang ganas".

DIKENAKAN ARAHAN SEKATAN

Sementara itu, seorang lelaki warga Singapura Ahmed Hussein Abdul Kadir Sheik Uduman, 36 tahun, dikenakan RO pada Mei 2021.

Ahmed Hussein sebelum ini dikenakan OD pada Ogos 2018 kerana menyokong ISIS, namun perintah OD itu dibatalkan pada Oktober 2019 setelah dia dijatuhi hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan membiayai pengganasan, di bawah Akta Pengganasan (Sekatan Pendanaan).

Menurut ISD, Ahmed Hussein "menunjukkan kemajuan" dalam proses pemulihannya semasa di penjara dan dinilai tidak lagi menimbulkan ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan bagi pencegahan.

"Maka itu Hussein dikenakan RO setelah selesai tempoh hukuman penjara atas kesalahan membiayai pengganasan pada Mei 2021."

DIBEBASKAN DARI TAHANAN 

Dalam pada itu, ISD turut mengumumkan dua warga Singapura yang dibebaskan daripada tahanan di bawah ISA pada 2021.

"Kedua-dua individu menunjukkan kemajuan baik dalam proses pemulihan dan didapati tidak lagi menimbulkan sebarang ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan pencegahan," menurut ISD.

Mohamed Faishal Mohd Razali, 30 tahun, sebelum ini ditahan di bawah ISA pada April 2018 kerana mempunyai hasrat untuk menyertai keganasan bersenjata dalam konflik di luar negara. Dia dikenakan Arahan Penggantungan (SD) pada Mei 2021.

SD adalah arahan dari Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk menggantung OD sedia ada. SD boleh ditarik balik jika individu yang dikenakan arahan itu melanggar syarat-syaratnya termasuk dilarang melibatkan diri dengan mana-mana individu atau kumpulan militan mahupun pengganas. Individu yang dikenakan SD juga tidak dibenarkan ke luar negara tanpa izin Pengarah ISD.

Kuthubdeen Haja Najumudeen, 38 tahun, yang sebelum ini adalah pengikut pendakwah radikal dari Sri Lanka, Zahran Hashim yang juga merupakan dalang dan salah seorang pengebom nekad dalam serangan Hari Easter 2019 di negara itu. Kuthubdeen Haja dibebaskan dengan RO pada Mei 2021.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan