Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suratman Markasan, Zaqy Mohamad diiktiraf anugerah alumni tertinggi NTU

Sasterawan ulung negara Suratman Markasan diiktiraf anugerah alumni tertinggi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di satu acara penyampaian anugerah pada Sabtu malam (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Suratman Markasan, Zaqy Mohamad diiktiraf anugerah alumni tertinggi NTU

Tokoh sastera Melayu Suratman Markasan (tengah) menerima Anugerah Alumni Cemerlang Nanyang pada 19 Okt (Gambar: NTU)

SINGAPURA: Sasterawan ulung negara Suratman Markasan diiktiraf dengan anugerah alumni tertinggi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di satu acara penyampaian anugerah pada Sabtu malam (19 Okt).

Tokoh kesusasteraan itu ialah antara tiga anggota alumni NTU yang menerima Anugerah Alumni Cemerlang Nanyang daripada Menteri Negara Kanan Pendidikan merangkap Perdagangan dan Perusahaan Chee Hong Tat di majlis tersebut.

Dua lagi penerima penghormatan tertinggi itu ialah Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, dan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan Teckwah Industrial Corporation Ltd, Chua Kee Seng Thomas.

'PERINTIS PERSURATAN YANG TERUS MEMBERI INSPIRASI'

Sasterawan mapan terkemuka, Suratman Markasan, 89 tahun, merupakan lulusan fakulti Sastera di Universiti Nanyang pada 1971. Beliau telah banyak menerima anugerah bagi karya-karyanya serta diberi pengiktirafan atas jasanya dalam bidang kesusasteraan, termasuk Anugerah Tun Seri Lanang (1999) dan anugerah tertinggi Singapura dalam bidang seni, Pingat Budaya (2010).

Tokoh sastera Melayu yang disegani itu mendapat pujian khas dalam ucapan Encik Chee di acara tahunan bagi meraikan alumni NTU semalam. Beliau menyifatkan Encik Suratman sebagai seorang perintis yang masih giat dalam bidang kesusasteraan hingga ke hari ini.

"Seorang perintis persuratan, beliau (Encik Suratman) pengkhususan penulisan beliau adalah tentang pengalaman masyarakat Melayu setempat dalam bahasa Melayu," kata Encik Chee.

"Pada usia 89 tahun, beliau terus memberi inspirasi kepada ramai orang dalam bidang tersebut."

2 AP MELAYU TURUT TERIMA ANUGERAH

Juga menerima Anugerah Alumni Cemerlang Nanyang ialah Encik Zaqy Mohamad.

Menurut NTU, lulusan Sekolah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (1999) dan Sekolah Perniagaan Nanyang (2003) itu diiktiraf atas pencapaiannya sebagai seorang pejawat awam yang memperjuangkan sebuah masyarakat yang bersifat inklusif dan penyayang.

Encik Zaqy Mohamad (tengah) menerima Anugerah Alumni Cemerlang Nanyang pada 19 Okt 19 (Gambar: NTU)

Encik Zaqy sebelum ini pernah menerima dua lagi anugerah alumni NTU - Anugerah Pencapaian Alumni Nanyang pada 2013 dan Anugerah Alumni Muda Menyerlah Nanyang pada 2006.

Di acara yang sama pada Sabtu, Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari turut menjadi satu daripada enam penerima Anugerah Pencapaian Alumni Nanyang.

Disifatkan NTU sebagai seorang "ketua kesatuan yang memperjuangkan kepentingan pekerja bergaji rendah", Penolong Setiausaha Agung NTUC itu dipuji atas khidmat dan jasa beliau sebagai seorang pejawat awam dan ketua kesatuan pekerja.

Encik Zainal Sapari (tengah) menerima Anugerah Pencapaian Nanyang pada 19 Okt (Gambar: NTU)

(Gambar-gambar: NTU)

Mengulas tentang para penerima anugerah tahun ini, Presiden NTU Profesor Subra Suresh berkata: "Para penerima tahun ini memberi kesan positif dalam pelbagai bidang seperti seni kesusasteraan, perniagaan, masyarakat dan khidmat awam.

"Menerusi pencapaian kerjaya mereka dan pelibatan mereka dengan universiti dan masyarakat, para anggota alumni ini menjadi peran contoh yang boleh diteladani para pelajar dan anggota alumni."

Kesemuanya 39 anggota alumni NTU diberi penghormatan di acara yang diadakan di Auditorium Nanyang, NTU itu yang dihadiri sekitar 1,200 anggota alumni dan tetamu lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan