Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech percuma kepada semua penduduk Singapura

Kumpulan pertama vaksin COVID-19, iaitu Pfizer-BioNTech, dijadualkan tiba di Singapura menjelang hujung bulan ini setelah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kumpulan pertama vaksin COVID-19, iaitu Pfizer-BioNTech, dijadualkan tiba di Singapura menjelang hujung bulan ini setelah diluluskan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Ini sekali gus menjadikan Singapura antara negara pertama di dunia untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Demikian diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya kepada seluruh negara hari ini (14 Dis).

"Sejak COVID-19 tercetus, pasukan saya gigih berusaha di belakang tabir untuk mendapatkan bekalan vaksin bagi Singapura," kata PM Lee.

"Kerja keras pelbagai agensi sepanjang beberapa bulan lalu, kini sudah berhasil."

Negara-negara lain yang juga bakal memperolehi vaksin tersebut termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Britain dan Malaysia.

Selain Pfizer-BioNTech, vaksin-vaksin lain juga dijangka tiba di Singapura dalam bulan-bulan mendatang.

Menurut PM Lee, jika semua perancangan berjalan lancar, vaksin COVID-19 akan mencukupi untuk semua orang di Singapura.

Malah, Pemerintah memutuskan untuk menawarkan suntikan vaksin secara percuma kepada semua penduduk Singapura kecuali pelawat dan pelancong.

Sebuah jawatankuasa doktor dan pakar juga sudah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) bagi mengusulkan strategi-strategi vaksin.

Antara saranan yang diberikan adalah agar semua warga dewasa diberikan vaksin namun ia adalah secara sukarela.

Menurut Encik Lee keutamaan vaksin akan diberikan kepada mereka yang paling memerlukan.
Ini termasuk kakitangan jagaan kesihatan dan barisan hadapan serta warga tua dan mereka yang mudah terjejas.

Vaksin itu kemudian akan ditawarkan kepada penduduk lain secara bertahap-tahap sepanjang 12 bulan mendatang dan dijangka selesai dilakukan menjelang akhir 2021.

"Pemerintah sudahpun menerima saranan-saranan itu. Saya sendiri berasa yakin dengan para pakar kita. Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet, termasuk mereka yang lebih berusia akan mendapatkan vaksin itu awal.

"Ini bagi menunjukkan kepada anda, khususnya warga senja seperti saya, bahawa kami yakin vaksin itu selamat," kata PM Lee.

"Saya amat menggalakkan anda sekeluarga mendapatkan suntikan vaksin ini apabila di ditawarkan kepada anda. Ini kerana jika anda diberikan vaksin, anda bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga orang lain, khususnya orang-orang yang anda sayangi.

"Lebih ramai di antara kita yang mendapatkan vaksin, lebih sukar untuk virus itu menular dan kita akan menjadi sebuah masyarakat yang lebih selamat dan mutu kehidupan kita boleh kembali hampir seperti sedia kala," kata PM Lee lagi.

Beliau juga berkata vaksin-vaksin itu akan menyokong usaha pemulihan Singapura menerusi pelbagai cara.

Antaranya, Singapura sebagai sebuah hab penerbangan global memainkan peranan penting untuk menghantar vaksin ke merata dunia.

Vaksin-vaksin itu juga memerlukan pengurusan rangkaian sejuk yang bermutu tinggi.

"Ia bukan setakat boleh disimpan dalam peti sejuk biasa. Vaksin Pfizer mesti disimpan pada suhu di bawah 70 darjah Selsius. Lebih sejuk daripada Artik!

"Ini memerlukan prasarana, piawaian tinggi, kakitangan berkemahiran dan ketersambungan yang baik kepada negara-negara berbeza dan juga rangkaian-rangkaian perbekalan," kata PM Lee.

Mujur, Singapura mempunyai ekosistem yang kukuh bagi pengendalian kargo, tambah PM Lee.

Syarikat-syarikat logistik global seperti DHL, UPS dan FedEx berpangkalan di negara ini.

SIA dan rakan-rakan pengendalian darat Lapangan Terbang Changi juga ditauliah oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk mengendalikan dan mengangkut bekalan-bekalan farmaseutikal.

"Kita sedang bersiap sedia untuk mengendalikan penghantaran vaksin dalam jumlah yang besar ke Singapura dan melalui Singapura untuk membantu memenangi perang menentang COVID-19," kata PM Lee.

Beliau menambah, semua ini tidak berlaku semalaman. Sebaliknya, Singapura sentiasa membuat perancangan awal dan secara sistematik sekali gus mewujudkan peluang-peluang untuk negara kita.

"Kita membuat pelaburan dan perancangan selama bertahun-tahun, membangunkan iklim mesra perniagaan dan memperluas rangkaian udara kita di merata dunia.

"Pelaburan jangka panjang ini kini membuahkan hasil," kata PM Lee. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan