Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suntikan S$187 juta bagi cergaskan sektor penerbangan; baucar S$320 juta SingapoRediscovers rangsang pelancongan domestik

Pemerintah S'pura akan salurkan dana tambahan untuk membantu industri aeroangkasa, penerbangan dan pelancongan - tiga sektor yang terjejas paling teruk - di tengah-tengah pandemik COVID-19, kata DPM Heng semasa menyampaikan Kenyataan Menteri pada Isnin (17 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Suntikan S$187 juta bagi cergaskan sektor penerbangan; baucar S$320 juta SingapoRediscovers rangsang pelancongan domestik

Gambar fail pesawat Scoot, Silkair dan SIA di landasan Lapangan Terbang Changi (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 17 Aug 2020 06:01PM Dikemas Kini : 17 Aug 2020 06:05PM

SINGAPURA: Pemerintah Singapura akan menyalurkan dana tambahan untuk membantu industri aeroangkasa, penerbangan dan pelancongan - tiga sektor yang terjejas paling teruk - di tengah-tengah pandemik COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat semasa menyampaikan Kenyataan Menteri pada Isnin (17 Ogos).

Dalam kenyataannya itu, Encik Heng turut menjelaskan bahawa sektor-sektor tersebut perlu disokong kerana ketiga-tiganya adalah pemacu utama ekonomi dan juga pengganda bagi sektor-sektor lain di Singapura.

"Kedudukan Singapura sebagai nadi perniagaan global bergantung kepada ketersambungan kita sebagai sebuah hab udara. Hab Udara Changi dan industri-industri berkaitan menyumbang lebih 5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dan menggajikan lebih 190,000 pekerja. Sektor pelancongan merancakkan sektor runcit dan makanan dan minuman (F&B) kita," jelas Encik Heng.

Lagi S$187 juta akan disuntik ke dalam pakej sokongan penerbangan yang dipertingkat - yang diumumkan pada Mac tahun ini - agar ia dapat bertahan sehingga Mac 2021.

Antara lain skim ini memberikan rebat untuk yuran pendaratan dan tempat letak pesawat dan pelepasan sewa untuk syarikat-syarikat penerbangan, pengendali khidmat darat dan ejen muatan udara.

"Ini akan memberikan pelepasan kos bagi syarikat-syarikat penerbangan, pengendali khidmat darat, ejen muatan dan penyewa lapangan terban. Pakej ini juga akan menyokong syarikat-syarikat penerbangan tempatan untuk mengembalikan ketersambungan udara kita dengan dunia,” tambah Encik Heng.

KEMAHIRAN PEKERJA DIMANFAATKAN

Pihak berkuasa juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan untuk menyokong para pekerja dengan kemahiran khusus.

Sebagai contoh, pekerja yang tidak dapat bekerja sekarang sudah dikerahkan ke bidang-bidang lain yang memerlukan tenaga kerja di mana kemahiran mereka dianggap relevan.

Sejauh ini, 500 anak kapal sudah dihantar ke hospital untuk bertugas sebagai "duta jagaan", memanfaatkan kemahiran perkhidmatan mereka untuk menyokong kerja-kerja bukan klinikal, kata Encik Heng.

Program penempatan semula buat sementara waktu ini akan diperluaskan, dedah Encik Heng. Dalam bidang jagaan kesihatan saja, Pemerintah akan mewujudkan sekitar 4,000 pekerjaan baru, termasuk jawatan tetap.

RANGSANG PELANCONGAN TEMPATAN

Menarik perhatian kepada jumlah pelancong asing yang berkurangan akibat sekatan perjalanan, Encik Heng berkata Pemerintah akan menyokong sektor pelancongan dengan menggalak para penduduk tempatan untuk meneroka pelbagai daya tarikan di dalam negeri, meskipun beliau akur bahawa pembelian warga tempatan tidak akan dapat mengimbangi perbelanjaan pelancong asing.

Pemerintah akan memberikan "Baucar SingapoRediscovers" bernilai S$320 juta - dalam bentuk kredit pelancongan - kepada rakyat Singapura. Lebih banyak perincian akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada September.

"Ramai rakyat Singapura suka melancong tapi tidak dapat berbuat demikian sekarang ... namun saya berharap rakyat Singapura akan mengambil kesempatan untuk meneroka budaya dan warisan, alam semula jadi, kesenian dan seni bina tempatan kita," kata Encik Heng.

Dalam pada itu, bagi syarikat-syarikat yang tidak dapat dibuka dalam masa terdekat ini disebabkan oleh pertimbangan pengurusan keselamatan, seperti pengendali tempat hiburan sebelah malam, Pemerintah akan membantu mereka beralih ke kegiatan lain atau memudahkan pengunduran mereka daripada industri itu, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa perinciannya akan diberikan oleh MTI.

Sokongan seterusnya mungkin akan dihulurkan kepada perniagaan dalam bidang seni dan budaya, serta sektor sukan, yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk menyambung semula kegiatan sepenuhnya, kata Encik Heng, meskipun tiada perincian khusus didedahkan.

"Sektor-sektor ini penting kerana ia memperkukuhkan perpaduan sosial dan kepelbagaian kita," katanya.

"Saya bersedia untuk memberikan sokongan lanjut untuk mengekalkan keupayaan teras yang telah kita bina selama bertahun-tahun, bersama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan