Images
  • Nurlaila Main
    Nurlaila Aaqilah Mohammad Ismail capai aspirasi berkat sumbangan derma masyarakat. (Gambar-gambar: PPIS)

Sumbangan masyarakat boleh bantu pelajar di bawah jagaan PPIS capai aspirasi

SINGAPURA: Seawal usia sembilan tahun lagi, Nurlaila Aaqilah Mohammad Ismail sudah kehilangan ibu tercinta akibat barah kolon. Dia juga jarang sekali dapat bertemu dengan bapanya kerana ibu dan bapanya sudah bercerai.

Dalam keadaan begini, dua abang tiri Nurlaila, yang kemudian memikul tanggungjawab menjaganya, bimbang terhadap kesejahteraan mental dan emosi adik mereka itu.

Namun, Nurlaila menunjukkan sikap positif dan bertekad untuk pergi ke sekolah sehari selepas ibunya meninggal dunia kerana tidak mahu terlepas hari pertama persekolahan.

Malah, dia turut konsisten menghadiri kelas tuisyen dan mengikuti program-program di Pusat Jagaan Pelajar Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) di cawangan Bedok, yang dihadirinya sejak setahun sebelum ibunya meninggal dunia.

Dalam mengharungi kehidupan harian tanpa ibu di sisi, Nurlaila mula berasa selesa dan tenang setiap kali dia hadir ke pusat itu. Dari seorang yang pendiam dan pemalu, Nurlaila kini lebih yakin dan mudah bergaul dengan para guru serta pelajar lain. Dia juga menggemari pelbagai kegiatan yang disediakan di pusat tersebut sambil berinteraksi dengan kawan-kawannya di sana.

“Saya suka bermain dengan kawan-kawan di sini kerana kami dapat pergi ke perkhemahan pada musim cuti dan belajar bersama. Kegiatannya amat menyeronokkan,” kata Nurlaila, yang kini menjangkau usia 11 tahun.

Menerusi sokongan yang dihulurkan pusat itu, prestasi akademik Nurlaila juga konsisten dan bertambah baik. Lantaran itu, dia tampil selaku salah seorang pelajar contoh Pusat Jagaan Pelajar PPIS.


Abangnya, Mohammad Noor Saiful Mohammad Sari, berkata: “Sebelum ini kami tidak mampu mendaftarkan kelas tuisyen untuk Nurlaila disebabkan isu kewangan. Tapi dengan kelas-kelas tuisyen yang ditawarkan pusat jagaan pelajar ini, Nurlaila boleh menerima lebih banyak bantuan dari segi pelajarannya.”

Ternyata, pengalaman Nurlaila di Pusat Jagaan Pelajar PPIS menjadi sumber kekuatannya untuk terus menjadi yang terbaik meskipun membesar tanpa ibu.

PPIS menyediakan dua pusat jagaan pelajar - di Bedok dan Jurong - dan menawarkan khidmat jagaan sebelum dan selepas sekolah bagi para pelajar dari usia 7 hingga 14 tahun, yang tiada jagaan alternatif di rumah. Setakat ini, hampir 140 pelajar mengikuti program-program di kedua-dua pusat tersebut.

Kejayaan Nurlaila itu juga adalah hasil sokongan berterusan daripada masyarakat kepada PPIS. Antaranya adalah sumbangan derma kepada Projek Ihsan Ramadan (PIR) PPIS.


Derma-derma daripada kempen tahunan itu disalurkan kepada para penerima bantuan, khususnya wanita dan kanak-kanak, menerusi program-program, subsidi dan bantuan kewangan kendalian PPIS.

Derma anda membolehkan PPIS untuk membantu merealisasikan impian para penerima bantuan yang kurang bernasib baik.

Lantaran itu, sempena Ramadan tahun ini, PPIS sekali lagi mengharapkan bantuan anda untuk menyumbang kepada dana Projek Ihsan Ramadan itu. PPIS menyasarkan untuk mengumpul sebanyak $500,000.

“Menerusi sumbangan ini kami berharap untuk menggunakannya bagi memenuhi keperluan program yang dijalankan selain menampung kerja-kerja peningkatan di pusat-pusat jagaan pelajar kami. Harapan kami agar orang ramai dapat terus menyokong usaha kami untuk memberikan jagaan terbaik kepada para pelajar,” kata CEO PPIS, Tuminah Sapawi.

Bantulah anak-anak kita mencapai aspirasi mereka menerusi saluran-saluran berikut:

1. Derma online di laman giving.sg/ppis
2. Salurkan derma ke Akaun Semasa (Current Account) Maybank: 041-445-558-13
3. Laman ppis.sg
4. Hubungi PPIS di talian 6744 0258 

- BERITAmediacorp/nk

Top