Images
  • indranee main
    Buat julung-julung kalinya, lebih 800 pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia dan Filipina diraikan sempena Hari Rahmatan lil Alamin. (Gambar: MUIS)

Sumbangan lebih 800 pekerja asing diiktiraf sempena Hari Rahmatan lil Alamin

SINGAPURA: Ruang interaksi dan pendedahan kepada budaya serta norma sosial sesebuah negara membantu warga asing untuk lebih mudah menyesuaikan diri serta berintegrasi dengan masyarakat tempatan.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah menekankan demikian setelah menyaksikan sendiri kemesraan yang terjalin antara penduduk Singapura dengan para pekerja asing sempena sambutan Hari Rahmatan lil Alamin pagi tadi (18 Nov).

Dianjurkan buat kali ke-11, edisi tahun ini buat julung-julung kalinya turut mengiktiraf golongan tersebut atas sumbangan mereka dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

JAUH DI RANTAUAN, IMPIKAN KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Mereka menyentuh kehidupan seharian warga Singapura dalam banyak cara.

Baik dari segi kebersihan sekitaran, pembinaan bangunan mencakar langit mahupun penjagaan keluarga.


(Gambar-gambar: MUIS)

Semuanya berjauhan dari pangkuan keluarga demi mendambakan masa depan lebih baik.

Sebagai penghargaan, lebih 800 pekerja asing dari tiga negara - Bangladesh, Indonesia dan Filipina - diraikan sempena Hari Rahmatan lil Alamin yang bertujuan menyebarkan belas ihsan kepada semua segmen masyarakat.

Menariknya, mereka juga merupakan relawan di masjid-masjid serata negara yang turun padang untuk menyingsing lengan membantu dalam persiapan semasa solat Jumaat dan bulan Ramadan.

Salah seorangnya ialah pekerja kilang daripada industri perikanan, Shafiqul Islam, 30 tahun.

"Hari ini kita relawan dari Masjid Assyakirin di Taman Jurong, saya dan kawan-kawan gembira dijemput datang ke sini. Orang Singapura - Cina, Melayu - serta orang Indonesia, dan orang Filipina semua datang sini bergembira," kongsi warga Bangladesh itu sambil tersenyum riang.

SATU WADAH LANTUN SIKAP PERIKEMANUSIAAN

Semuanya tampil bersemangat untuk memulakan pagi hari mereka dengan acara senaman beramai-ramai di Bendungan Marina.

Mereka disertai tetamu terhormat Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah, dengan iringan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.


Acara hari ini, menurut Encik Masagos, adalah satu cara MUIS menguar-uarkan pentingnya menerapkan sikap membawa rahmah kepada semua tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.

"MUIS sebagai pemacu Rahmatan lil Alamin menjalankan acara ini sebagai satu simbol yang dapat dilihat ramai. Kami harapkan ia akan menjadi satu budaya yang dapat diterapkan dalam semua jiwa umat Islam di Singapura," ujar Encik Masagos.

Selain hiburan, acara empat jam anjuran Yayasan Rahmat lil Alamin (RLAF) itu juga menawarkan pelbagai khidmat dan program untuk mendorong para pekerja asing menimba ilmu serta kemahiran baru bagi memperbaiki diri.

Terdapat juga pondok-pondok yang menyajikan makanan dan permainan dari negara-negara asal mereka di samping Singapura.

Biarpun satu perkara biasa, Cik Indranee berkata, ia melantunkan sikap perikemanusiaan di mana masyarakat majmuk saling peka akan hal-hal sensitif kaum yang berlainan.

"Oleh itu, apabila anda ada pemahaman lebih baik, anda boleh mempunyai satu masyarakat yang lebih baik hati, satu masyarakat yang lebih inklusif, satu masyarakat di mana benar-benar anda menilai seseorang berdasarkan diri mereka sendiri. Semua orang berpeluang untuk maju dan kami melakukan itu secara harmoni," hujah Cik Indranee.

DANA $5,000 SOKONG MASJID PERTINGKAT PROGRAM BANTU PEKERJA ASING

RLAF turut menyampaikan cek bernilai $5,000 setiap satu kepada dua buah masjid demi menyokong usaha mereka dalam mempromosikan program-program pengayaan diri buat para pekerja asing.


Khususnya, bagi Masjid Al-Muttaqin serta Masjid Mujahidin di mana masing-masing mengendalikan Pusat Pembelajaran Nisaa' dan Pusat Pembelajaran Mujahidah.

Rangkaian program yang ditawarkan pelbagai, termasuk kursus-kursus Bahasa Inggeris, komputer, dandanan diri dan masakan di samping kelas-kelas ugama seperti bacaan Al-Quran serta asas Fardhu Ain.

"Saya guna kursus Bahasa Inggeris itu untuk bercakap dengan anak-anak majikan saya kerana mereka kurang berbahasa Melayu. Saya sudah ambil kursus komputer dan sekarang kursus menjahit. Memang saya suka dengan bidang fesyen," kata Cik Lelie, 30 tahun.

Pembantu rumah yang berasal dari Cilacap, Jawa Tengah, itu sudah bekerja di Singapura selama tujuh tahun.

Pada awalnya ketika baru-baru menjejakkan kaki ke sini, beliau diselubungi perasaan takut. Takut jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan penduduk tempatan dan keadaan sekeliling yang nyata berbeza daripada halaman kampungnya.

Mujur, beliau mempunyai majikan yang penyayang dan sangat prihatin tentang dirinya.

"Mereka sudah anggap saya macam keluarga sendiri. Setiap kali ada acara saya selalu ikut, saya selalu diajak oleh majikan. Nenek majikan ajak saya mengaji di masjid. Jadi saya secara tidak langsung bersosial juga dgn kawan-kawannya," terang Cik Lelie.

Sekitaran yang mesra itu secara tidak langsung mampu mengubat rindu Cik Lelia pada kaum keluarganya dan membantu beliau menguruskan tugasnya di sini dengan lebih licin.

JANGAN HENTI SEBARKAN RAHMAH

RLAF berharap nilai-nilai murni rahmatan lil alamin tidak akan diamalkan untuk sehari ini sahaja dan terhenti di situ.

"Ia merupakan satu usaha untuk memperingatkan kita supaya dalam kehidupan seharian kita juga, kita harus memberikan perhatian kepada mereka, bersifat saksama, bersifat rahmah bila kita berdampingan dengan mereka ataupun berjumpa dengan mereka dan seterusnya," kata Encik Zainul Abidin Ibrahim, Pengarah Eksekutif RLAF.

Sepanjang setahun sehingga hujung September tahun depan, Jawatankuasa RLA menerusi empat kelompok masjid akan menjalankan pelbagai kegiatan yang tertumpu kepada menyebarkan rahmah dalam kalangan masyarakat lebih luas. 

- BERITAmediacorp/aq

Top