Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sumbangan berterusan masyarakat bantu TAA perkasa insan kurang bernasib baik

Sokongan anda ibarat nadi penting yang berupaya menyuntik sinar harapan kepada insan-insan yang memerlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sumbangan berterusan masyarakat bantu TAA perkasa insan kurang bernasib baik

Majlis pengagihan dana TAA di Wisma Geylang Serai. (Gambar: TAA)

Diterbitkan : 29 Oct 2019 01:56PM Dikemas Kini : 30 Oct 2019 01:24PM

BERITAmediacorp: Sokongan anda ibarat nadi penting yang berupaya menyuntik sinar harapan kepada insan-insan yang memerlukan.

Tahun ini sahaja, disebabkan sifat murah hati masyarakat, Dana Amanah TAA berupaya mengagihkan derma lebih S$1 juta kepada lebih 3,000 penerima bantuan pada bulan Ramadan yang lalu. Jumlah ini adalah yang tertinggi pernah diagihkan TAA dalam sejarah TAA.

Namun, tahukah anda bahawa derma masyarakat bukan setakat terhenti di situ saja?

Menerusi sokongan dan derma anda, TAA berupaya memperluaskan skop bantuan menjangkaui wang ringgit yang diagihkan semasa bulan Ramadan.

Pada tahun 2017, TAA membangunkan rangkaian sokongan sosial dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan lain yang diberi nama Projek Gerak Masyarakat (PGM). Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan para penerima bantuan TAA bahawa terdapat bantuan-bantuan lain daripada badan-badan amal lain.

Selanjutnya, TAA turut meluaskan inisiatif itu menerusi kerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) untuk mencapai matlamat PGM, khususnya dari segi bantuan kewangan.

Antara bantuan dan sokongan yang ditawarkan oleh rakan-rakan PGM termasuk biasiswa dan program-program memperkasa keluarga serta individu.

(Gambar: TAA)

Para sukarelawan TAA semasa lawatan ke rumah para penerima bantuan untuk meninjau keadaan mereka dan mengenal pasti bantuan yang diperlukan. (Gambar: TAA)

TAA BANTU HULUR BANTUAN MENYELURUH

Tahun ini sahaja, TAA sudahpun merujuk lebih 300 kes kepada MUIS dan lebih 700 kes kepada SSO. Tujuannya agar bantuan yang diberikan kepada para penerima lebih menyeluruh.

“Para penerima bantuan tidak hanya memerlukan wang. Mereka juga memerlukan program-program bantu diri. Program seperti habuan makanan hingga ke bantuan perubatan dan pendidikan untuk anak-anak mereka dan juga memperkasa diri mereka sendiri.

“Oleh itu menerusi sokongan dan derma berterusan daripada masyarakat, Dana Amanah TAA dapat bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) yang menawarkan khidmat berbeza-beza, demi membantu memperkasa para penerima bantuan kami,” kongsi Ketua Jawatankuasa Eksekutif TAA, Muhd Harmizan Abdul Hamid.

“TAA BANYAK BANTU SAYA”

Bagi Cik Norimar Ngaji, 55 tahun, bantuan TAA amat besar ertinya. Lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya yang separuh buta, di samping menghidap penyakit-penyakit lain termasuk kencing manis, darah tinggi, masalah kolesterol dan buah pinggang.

15 tahun lamanya Cik Norimar meniti kehidupan dengan hanya bergantung kepada daya penglihatan mata kanannya saja. Namun, sejak lebih kurang setahun lalu, mata kanannya pula sudah mula terjejas.

Daya penglihatan yang bertambah buruk menyukarkan beliau untuk melakukan kegiatan-kegiatan harian seperti memasak dan membaca. Hendak ke mana-mana pun perlu ada yang menemaninya.

“Mata sekarang sebelah sudah memang tak nampak, lagi satu ini bakal tak nampak. Terus saya lagi susah. Saya jarang keluar. Syukur TAA bantu saya,” luah Cik Norimar.

Sejauh ini, sudah dua kali Cik Norimar menerima bantuan dana daripada TAA dalam bulan Ramadan. Beliau juga pernah menerima bantuan MUIS. Namun tahun ini, beliau tidak dapat membuat permohonan baru disebabkan daya penglihatannya.

Di saat fikiran Cik Norimar buntu, TAA tampil membantu beliau dengan urusan permohonan tersebut sehingga ia diluluskan oleh MUIS. Beliau kini kembali menerima bantuan MUIS.

“TAA datang rumah, tanya bantuan apa lagi yang saya dapat. Kemudian dia bantu. Mata saya tak nampak, nak suruh tandatangan dokumen pun saya tak nampak. Macam mana. Saya sungguh berbesar hati, berterima kasih kepada TAA. Banyak bantu saya,” kata Cik Norimar.

Bagi memastikan para penerima bantuan seperti Cik Norimar, terus dibantu, adalah diharapkan agar masyarakat akan terus menyokong dan menderma kepada TAA. Yakinlah, bahawa sumbangan anda disalurkan sepenuhnya bagi membantu dan menampung keperluan insan-insan yang kurang bernasib baik ini.

KEMPEN SINARAN HATI 2019 MAHU ULANG KEJAYAAN KEMPEN TAHUN LALU

Lantaran itu, tahun ini TAA sekali lagi menjalankan Kempen Sinaran Hati selama tiga bulan sehingga Disember ini.

(Gambar: Mediacorp Suria)

(Gambar: Mediacorp Suria)

Jika kempen yang sama tahun lalu berjaya menyatukan masyarakat untuk menderma sehingga jumlah yang dapat diagihkan mencatat paras rekod tertinggi dalam sejarah TAA, iaitu S$1,080,450, tahun ini besar harapan TAA agar semangat itu dapat disemarakkan sekali lagi.

Malah Encik Harmizan turut mendedahkan, kejayaan mencapai jumlah lebih S$1 juta itu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh masyarakat kita kerana ini merupakan kerjasama semua orang.

“Kami ingin menyampaikan kepada masyarakat bahawa TAA dapat mengagihkan jumlah derma sebanyak itu adalah kerana mereka. Dengan adanya sokongan masyarakat, kami dapat merealisasikan aspirasi untuk menghulurkan bantuan kepada para penerima. Pada masa yang sama, kami dapat menyampaikan kepada para penerima bahawa masih ramai yang prihatin,” ujar Encik Harmizan.

Konsert Sinaran Hati pada 15 November 2019 bakal menjadi acara kemuncak bagi kempen tahun ini. Ia bakal diserikan dengan penampilan penyanyi Dayang Nurfaizah dari Malaysia dan Sanisah Huri dari Singapura. Ia juga disokong oleh barisan artis lain seperti Sufi Rashid, Iskandar Ismail, Daly Filsuf dan Isnina.

(Gambar: TAA)

CARA-CARA UNTUK MENDERMA

Anda boleh menghulurkan derma menerusi beberapa kaedah:

Online, dengan menggunakan kad kredit atau debit di laman giving.sg/taa-trust-fund atau cek kepada “TAA Trust
Fund" dan dihantar ke alamat:

Tabung Amal Aidilfitri Trust Fund
845 Geylang Road #04-16
Tanjong Katong Complex
Singapura 400845

Anda juga boleh menghulurkan derma melalui talian telepol:

1900-112-9050 untuk menderma $50

1900-112-9010 untuk menderma $10 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan